Ledakan industri kewangan Islam telah membuka lebaran baru terhadap pola pemikiran masyarakat Islam di seluruh dunia. Umat Islam pada hari ini mula peka serta sensitif terhadap aktiviti-aktiviti seharian mereka sama ada aktiviti-aktiviti tersebut bertepatan dengan prinsip-prinsip syariah atau sebaliknya. Kepesatan pembangunan industri kewangan Islam yang meliputi sektor perbankan, takaful, pasaran modal, al-rahn, pengurusan harta amanah dan sebagainya menyemarakkan lagi anjakan pemikiran umat Islam untuk mula beralih kepada instrumen atau produk kewangan Islam yang kini mula mendapat tempat di hati mereka.
Perkembangan ini telah menimbulkan banyak persoalan dan kemusykilan di kalangan masyarakat negara ini berkaitan status hukum bagi transaksi-transaksi dan instrumen-instrumen kewangan yang berada di pasaran. Bagi menyahut cabaran dan keperluan semasa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sebuah agensi pusat yang menguruskan penyelarasan pembangunan hal ehwal Islam di negara ini melalui sekretariat di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan portal e-Muamalat.
E-Muamalat merupakan portal yang dibangunkan khusus untuk memuatkan perbahasan fiqh muamalat sebagai rujukan berautoriti bagi umat Islam khususnya yang melibatkan penentuan hukum -hakam dalam bidang kewangan, kontrak, perniagaan dan sebagainya.
Perkataan “muamalat’’ merujuk kepada urusan kehidupan manusia yang berkaitan dengan kegiatan harian dalam semua bidang meliputi akad, iltizam dan tasarruf yang membawa kesan pertukaran hak milik barangan atau wang untuk mendapat manfaat secara bersama berdasarkan kerelaan dan kepuasan. Justeru, pengisian portal e-Muamalat adalah menjurus kepada aktiviti-aktiviti menjana dan memperkasakan sistem ekonomi Islam secara mapan dan bersepadu selaras dengan prinsip-prinsip syariah yang meliputi transaksi-transaksi seperti jual beli, sewa, gadaian, hutang, upah serta instrumen kewangan seperti sukuk dan sebagainya.
Selain itu, portal ini turut berperanan sebagai pangkalan data yang memuatkan maklumat dalam bentuk artikel, glosari, direktori, dan sebagainya di samping mengetengahkan isu-isu semasa dalam industri kewangan Islam di negara ini. Portal e-Muamalat turut menyediakan pautan ke laman web agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan industri kewangan Islam.