PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu produk kewangan Islam seperti sukuk dibangunkan supaya menjadi antara produk penting dan teras untuk pembangunan sektor ekonomi kewangan Islam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hasrat itu dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Beliau berkata, pada masa ini tumpuan banyak difokuskan kepada produk dan pensijilan halal.
"Namun, kejayaan dan keupayaan Malaysia untuk membangunkan produk kewangan yang bersifat Islamik ini perlu kita berikan tumpuan pada masa depan.
"Ini kerana kita tahu dan sedar produk kewangan seperti sukuk bukan hanya diminati tetapi sudah pasti pasarannya besar. Kita perlu beri fokus kepada aspek ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri turut menyentuh dan memberi pandangan mengenai beberapa perkara seperti Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) dalam mesyuarat pada Rabu. - Bernama