KUALA LUMPUR: Datuk Mohammad Faiz Azmi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang baharu berkuatkuasa 16 Jun 2024.
Beliau akan menggantikan Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin yang akan bersara sebagai Pengerusi Eksekutif SC berkuat kuasa 15 Jun 2024.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, Mohammad Faiz dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SC baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 16 Jun 2024 hingga 15 Jun 2027.
Ia berkata, pelantikan itu adalah selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498].
Katanya, Mohammad Faiz mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang kewangan, pasaran modal, audit dan pengurusan kewangan.
Beliau berkelulusan Bachelor of Arts (Hons) dalam Undang Undang daripada Durham University dan didaftarkan sebagai Barrister, Bar of England & Wales oleh Honourable Society of Lincoln's Inn.
Beliau juga dianugerahkan Honorary Degree of Doctorate in Laws oleh University of Nottingham.
Mohammad Faiz adalah ahli dalam beberapa badan profesional seperti Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Antara pengalaman beliau adalah pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia, Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan Pengerusi Kelab Perniagaan Kuala Lumpur (KLBC).
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni (Perundangan) daripada Durham University dan ahli beberapa badan profesional seperti ICAEW, Mohammad Faiz berpengalaman menjadi Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia dan Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB).
Beliau adalah Ahli Lembaga SC sejak 15 Ogos 2023.
Berbekalkan pengalaman yang ada, MOF yakin beliau mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi.
"MOF berterima kasih kepada Awang Adek atas perkhidmatan beliau di SC dan percaya kepakaran serta pengalaman beliau akan dapat terus dimanfaatkan oleh pasaran kewangan negara," kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Di bawah kepemimpinan Awang Adek, SC telah merombak dua undang-undang pasaran modal utama yang kini menunggu kelulusan kerajaan, dan memperkenalkan Bursa Sosial (Social Exchange), platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif melalui penggemblengan dana swasta dan dermawan dalam memenuhi keperluan golongan kurang bernasib baik.
Lain-lain pencapaian beliau termasuk Program Siswazah Pasaran Modal (investED) untuk memastikan kumpulan tenaga mahir industri yang mampan, pelancaran prinsip Maqasid al-Shariah untuk pasaran modal Islam, dan pelancaran pelan hala tuju untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan.