Keratan Media

Keratan Media

Persiapan Sebelum Melabur Dalam Unit Amanah


dana patuh syariah

PASTI ramai yang biasa mendengar mengenai unit amanah yang juga dikenali sebagai unit trust.

Unit amanah ialah salah satu instrumen pelaburan yang sangat popular di Malaysia selain pelaburan saham, hartanah, emas dan macam-macam lagi.

Tetapi sebelum membuat persiapan untuk melabur ke dalam unit amanah, perlu benar-benar mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan unit amanah.

Unit amanah ialah wang daripada ramai pelabur individu yang dikumpulkan untuk membeli beberapa kelas aset berlainan dalam kuantiti besar.

Seterusnya pengurus dana profesional akan menentukan peratusan daripada dana yang akan dilaburkan dalam setiap kelas aset, mengenal pasti negara, industri dan syarikat yang mempunyai prospek serta pulangan terbaik.

Setiap pelabur akan menerima unit di dalam dana ini yang mana setiap unit mewakili campuran pelbagai kelas aset seperti saham, bon dan simpanan tetap.

 

Persediaan

Setelah mengetahui dan faham apa yang dimaksudkan dengan unit amanah, pastikan membuat persiapan terlebih dahulu sebelum memulakan pelaburan.

Terdapat lima persediaan yang perlu diberi perhatian iaitu kenal pasti toleransi terhadap risiko; kenal pasti modal pelaburan; bandingkan prestasi dana; kenal pasti adakah pelaburan itu berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti; dan kenal pasti sama ada dana pelaburan unit amanah tersebut patuh syariah.

1. Kenal pasti toleransi terhadap risiko

Secara umum risiko boleh dikelaskan kepada rendah, sederhana dan tinggi. Lagi tinggi risiko, lagi tinggi potensi pulangan pelaburan atau kerugian.

Bagi mereka yang tidak sanggup untuk berdepan dengan risiko kehilangan modal, bermakna toleransi terhadap risiko adalah rendah. Maka, potensi pulangan juga adalah rendah.

Pelaburan saham pula dikategorikan sebagai risiko tinggi. Menerusi pelaburan saham, pelabur berpotensi untuk mendapatkan pulangan setinggi 30 peratus sehari tetapi perlu juga bersedia untuk berdepan dengan risiko kerugian 30 peratus dalam masa sehari!

Untuk pengetahuan umum, unit amanah sememangnya tergolong dalam kategori pelaburan berisiko sederhana. Namun dalam pelaburan unit amanah itu sendiri ada yang berisiko rendah, sederhana dan tinggi. Ia bergantung kepada objektif dana itu berkenaan.

Oleh itu, pastikan memilih dana yang sesuai dengan tahap toleransi terhadap risiko. Pelaburan dalam unit amanah merupakan pelaburan dengan tempoh masa yang panjang.

Tempoh yang disarankan untuk pelaburan unit amanah adalah di antara tiga hingga 20 tahun.

Jika mampu untuk bersabar dan mahu lihat pelaburan dibuat terus berkembang tidak kira keadaan ekonomi bagus atau merudum, maka melabur dengan unit amanah adalah pilihan terbaik.

2. Modal pelaburan

Setelah kenal pasti kesesuaian pelaburan unit amanah yang dipilih, seterusnya ambil tahu pula berapa modal minima yang diperlukan untuk mula melabur. Ada dana yang memerlukan modal serendah RM100 ada yang memerlukan modal RM1,000 dan ada juga yang memerlukan jumlah lebih tinggi.

Seterusnya, ambil tahu juga berapa modal tambahan jika mahu menambah bilangan unit dalam dana unit amanah tersebut.

Ada unit amanah yang membenarkan pelabur menambah pegangan unit dengan modal serendah RM50 ada juga perlu tambah minima RM100.

Pelabur tentukan pilihan kerana ia perlu sesuai untuk pelabur yang ingin melabur secara konsisten pada setiap bulan untuk jangka masa panjang.

3. Bandingkan prestasi dana

Perlu tahu bahawa tujuan melabur ialah untuk mengembangkan duit pelaburan. Jadi sebelum melabur bandingkan juga prestasi dana di antara dana-dana yang berada di dalam kategori sama.

Sebagai contoh, jika mahu melabur di dalam dana ekuiti bandingkan dulu prestasi dana daripada beberapa syarikat yang menawarkan dana ekuiti bagi memastikan kualiti dana dan pengurus dana adalah baik.

Tetapi harus ingat, bahawa prestasi terdahulu tidak menjamin prestasi akan datang. Jika pelabur perlu tukar ke dana yang lain untuk meraih pulangan yang lebih tinggi, maka bertukarlah.

4. Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti

Dalam dunia serba moden kini, terlalu banyak pilihan pelaburan yang ada di depan mata. Untuk itu, pelabir harus mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan unit amanah yang hendak dilaburkan itu telah berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Ini kerana semua produk unit amanah mesti didaftarkan dengan SC, iaitu sebuah badan berautoriti yang mengawal selia semua jenis pelaburan di Malaysia.

Semakan ini perlu kerana mengikut data yang dikeluarkan oleh Bank Negara, seramai 974,301 individu telah kerugian RM3.8 bilion oleh skim-skim penipuan yang banyak terdapat di Malaysia.

Oleh itu, jika sayangkan duit maka buatlah semakan dengan menghubungi pihak SC di talian 03-6204 8000 dan minta untuk disambungkan kepada Jabatan Tabung Amanah dan Pengurusan Pelaburan atau layari laman web SC di www.sc.com.my. Pastikan dana yang mahu dilaburkan itu sah terlebih dahulu.

5. Dana pelaburan unit amanah patuh syariah

Sebagai pelabur yang beragama Islam perlu memastikan dana yang mahu dilaburkan itu patuh syariah. Ini bagi memastikan pulangan daripada pelaburan tersebut adalah halal.

Elak daripada melabur ke dalam pelaburan dana konvensional yang mempunyai unsur-unsur riba, judi atau ketidakpastian. Biar pulangan diterima sedikit asalkan berkat, itu adalah lebih utama daripada mencari keuntungan yang tinggi tetapi melalui jalan yang tidak halal.

*Tips pelaburan & penerangan berkaitan pengurusan kewangan ini dikongsikan oleh PMB Investment Berhad.

 

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/37807/BISNES/Persiapan-sebelum-melabur-dalam-unit-amanah© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Diterbitkan pada : 16-07-2019
Hits : 9513