Undang-undang pusaka Islam (faraid) adalah satu sistem yang unik kerana ia bersumberkan wahyu daripada Allah s.w.t sesuai dengan naluri dan fitrah kejadian manusia. Sistem pusaka Islam berbeza dengan sistem pusaka sebelum Islam dalam pelbagai aliran dan fahaman terutama selepas turunya ayal al-mawarith (Surah al-Nisa’ayat 11,12 dan 176). Selepas turun ayat al-mawarith terdapat beberapa perbaharuan dan keistimewaan dalam undang-undang pusaka Islam yang kekal hingga sekarang.
Oleh: Abdul Muhaimin Mahmood
Penolong Pengarah
Cawangan Muamalat dan Sosio Ekonomi (CMSE)
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim
Undang-undang pusaka Islam (faraid) adalah satu sistem yang unik kerana ia bersumberkan wahyu daripada Allah s.w.t sesuai dengan naluri dan fitrah kejadian manusia. Sistem pusaka Islam berbeza dengan sistem pusaka sebelum Islam dalam pelbagai aliran dan fahaman terutama selepas turunya ayal al-mawarith (Surah al-Nisa’ayat 11,12 dan 176). Selepas turun ayat al-mawarith terdapat beberapa perbaharuan dan keistimewaan dalam undang-undang pusaka Islam yang kekal hingga sekarang.
Islam amat mengambil berat tentang pembahagian pusaka si mati dengan menentukan beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Perkara-perkara tesebut penting diketahui untuk menjaga harta peninggalan si mati dari berlaku sebarang penyelewengan dalam pembahagiannya kepada waris-waris.
Menurut jumhur ulama terdiri dari al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Shaficiyyah, liabiliti (hak-hak) yang berkaitan dengan harta pusaka terbahagi kepada 5 iaitu, hak-hak barangan (الحقوق العينية), hak mempersiapkan pengkebumian janazah si mati (التجهيز الميت), hak melangsaikan hutang, melaksanakan wasiat dan yang terakhir mengagihkan harta peninggalan yang masih berbaki kepada para waris mengikut kedudukkan mereka.
Para fuqaha telah bersepakat bahawa hak-hak yang berkaitan dengan harta perniggalan si mati keseluruhannya tidak berada di dalam satu peringkat dan kedudukan dari sudut kekuatan dan persamaan. Oleh kerana itu, maka sepastinya terdapat di sana perkara yang lebih kuat dan perlu diraikan untuk didahulukan di dalam menjalankan pengagihan dan pembahagian ke atas harta pusaka yang telah ditinggalkan oleh si mati.
Sehubungan itu, telah berlaku ijma’fuqaha, bahawa hak-hak waris dan wasiat hendaklah dikemudiankan pengagihannya setelah diagihkan kos mempersiapkan urusan pengebumian dan ditunaikan segala hutang piutang si mati. Demikian juga para fuqaha juga telah berijmac pendapat menyatakan bahawa wasiat merupakan perkara yang perlu didahulukan sebelum dilakukan pengagihan hak-hak para waris. Disini di huraikan satu persatu hak-hak berkaitan dengan al-tarikah mengikut urutan yang perlu diraikan antara satu sama lain;
Hak-hak barangan (الحقوق العينية )
Di kehendaki dengan hak-hak barangan (الحقوق العينية) ialah hak-hak yang berkaitan dengan sesuatu barang dari baranganpeninggalan si mati, sebelum berlakunya kematian. Apabila seseorang membeli sesuatu barangan dari seorang penjual kemudian meninggal dunia sebelum sempat menjelaskan bayaran barangan yang telah dibeli maka penjual adalah merupakan orang yang paling berhak untuk mendapatkan kembali barangan yang telah dibeli oleh si mati.
Demikian juga berkaitan dengan barangan yang telah digadaikan المرهون)) yang masih berada di tangan pemegang gadai المرتهن)). Pemegang gadaian adalah merupakan orang yang paling berhak untuk mendapatkan barangan gadaiaan tersebut seandainya si mati tidak meninggalkan harta selain dari barangan gadaian tersebut.
Hak-hak yang berkaitan dengan barangan ini, merupakan hak yang perlu didahulukan sebelum dilaksanakan hak-hak yang selain daripadanya samada berkaitan dengan hak perbelanjaan pengurusan mempersiapkan pengebumian janazah dan lain-lain. Ini merupakan pendapat yang disepakati oleh al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Shaficiyyah (Badran Abu al-cAinain Badran, al-Mawarith wa al-Wasiyyah wa al-Hibah fi al-Syariat al-Islamiyyah wa al-Qanun, Muassasah Shabab al-Jamicah, Iskandariah, 1985, hlm 12-13. dan Masucah al-Fiqh al-Islami al-Shahirah bi Mausucah Jamal cAbd. al-Nasir al-Fikhiyyah, al-Majlis al-cA’la li al-Shu’un al-Islami, Misr, t.Th, jilid 4, hlm 295)
Perbelanjaan perkebumian dan pengurusan janazah (التجهيز الميت)
Dimaksudkan dengan perbelanjaan perkebumian dan pengurusan janazah (التجهيزالميت) ialah perbelanjaan yang diperlukan bagi menampung kos-kos pengurusan janazah bermula dari waktu kematian sehingga bersemadi janazah di dalam kubur mengikut apa yang selayak bagi yang seumpamanya. Hak-hak yang diambil kira di dalam mempersiapkan urusan pengebumian si mati temasuklah kos-kos yang dibelanjakan untuk tujuan memandi, mengkafan, menggali kubur dan membawa jenazah keperkuburan dan mengkebumikannya.
kadar perbelanjaan yang diperlukan adalah mengikut kedudukan si mati, sama ada dia seorang lelaki atau perempuan, susah atau senang, miskin atau kaya. Segala keperluang ini hendaklah dibelanjakan dengan penuh berhemah tanpa berlebih-lebihan dan terlalu cermat.Kesemua perbelajaan yang berkaitan perkebumian dan pengurusan janazah hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati sekiranya ia mempuyai harta. Demikian juga pengurusan dan perbelanjaan pengkebumian kaum kerabat yang berada di bawah tanggungan si mati (seperti anaknya yang masik kecil dan kedua ibu bapa yang miskin.), sekiranya mereka meninggal dunia sebelum kematian si mati walaupun seketika.
Namun demikian, seandainya si mati tidak meninggalkan sebarang harta maka segala kos perbelanjaan dan pengurusan jenazah si mati hendaklah ditanggung oleh kaum kerabatnya. Jika sekiraya si mati tidak mempuyai kaum kerabat atau mempuyai kaum kerabat yang tidak mampu menampung kos pengurusan dan perbelanjaan pengkebumian si mati disebabkan kemiskinan atau seumpamanya, maka kos penyelenggaraan pengurusan tersebut hendaklah diambil dari harta baitulmal. Sekiranya baitulmal tidak mempunyai wang yang memadai atau baitulmal itu tidak wujud ditempat si mati maka kewajipan menguruskan pengkebumian janazah tertanggung keatas orang-orang kaya dikalangan umat Islam kerana menguruskan pengkebumian jenazah merupakan fardu kifayah keatas mereka yang berkemampuan.
Para fuqaha telah beselisih pendapat mengenai masalah mempersiapkan pengebumian janazah seorang isteri. Apakah perbelanjaan pengurusan pengebumian seorang isteri perlu ditanggung oleh suami sekiranya isteri meninggal dunia sewaktu suami masih hidup atau dari harta peninggalan suami sekiranya si suami telah meninggal dunia, sedangkan jenazah si isteri yang meninggal sebelumnya masih belum lagi disemadikan?
Menurut Pendapat al-Shaficiyyah dan Abi Yusuf dari kalangan al-Hanafiyyah, kos pengurusan dan pengkebumian janazah isteri perlu diambil dari harta suami sekiranya suami masih hidup dan diambil dari harta peninggalan suami sekiranya si suami telah meninggal dunia, tanpa mengambil kira status sosial seorang isteri, sama ada seorang yang kaya atau miskin.
Pendapat ini perpandukan kepada qias terhadap nafkah seorang isteri. Nafkah isteri merupakan kewajipan suami seketika suami masih hudup, begitu juga nafkah pengurusan dan pengkebumian apabila si isteri meninggal dunia. Demikian itu adalah kerana disebabkan hubungan antara suami isteri masih berterusan pada keseluruhannya walaupun setelah berlaku kematian si isteri, di antara hubungan tersebut ialah berlaku pewarisan di antara satu sama lain (suami isteri) dan diharuskan bagi suami memandikan si isteri di sisi fuqaha' al-Shaficiyyah (Ahmad Faraj Husin, Nizom al-Irsh Fi al-Tashric al-Islami, Dar al-Jamiah al-Jadidah Lil Nashri, 2003, hlm 36).
Melangsaikan hutang
Melangsaikan hutang-piutang si mati merupakan kewajipan yang kedua berkaitan dengan harta perninggalan setelah dikeluarkan kos yang diperlukan bagi mempersiapkan pengebumian janazah. (cAbdul al-Karim Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-baitul al-Muslimah, Muassasah al-Risalah, 1997, jilid 11, hlm. 202.) Setelah kos yang berkaitan pengurusan janazah diselesaikan, maka hendaklah dilunaskan segala hutang piutang yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta perninggalanya sekiranya dia ada meninggalkan hutang-piutang yang perlu dilunaskan. Harta pusaka peninggalan si mati tidak boleh diagihkan kepada orang yang telah diwasiatkan dan para waris melainkan setelah segala hutang-piutang yang ditanggung oleh si mati telah selesai dilunaskan. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t:
مِنْبَعْدِوَصِيَّةٍيُوصِيبِهَاأَوْدَيْنٍ
Maksudnya:
(Pembahagian tu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya. (al-Quran, Surah al-Nisa’ 4:1)
Ayat ini menunjukkan bahawa hutang perlu dijelaskan dan dilangsaikan sebelum diagihkan harta pusaka kepada para waris. Namun demikian jika dilihat kepada zahir ayat diatas, menunaikan wasiat merupakan perkara yang perlu didahulukan dari perlunasan hutang-piutang si mati. Namun demikian, perlaksanaanya berlaku sebaliknya iaitu melunaskan hutang merupakan perkara yang didahulukan dari melaksanakan wasiat. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib:
انكم تقرأون الوصية قبل الدين وقد شهدت رسول الله صلى الله عليه وسلم بدأ بالدين قبل الوصية
Maksudnya:
Kalian semua membaca bahawa wasiat sebelum hutang, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah s.a.w telah memulakan dengan melunaskan hutang sebelum wasiat.(Ahmad al-Husori, al- Tarikah Wa al-Wasoya Wa al-Qodoya al-Mutacalik Bihima Fi al-Fiqh al-Islami al-Muqaran, Dar al-Jil Bairu, 1992, hlm 31)
Hikmat Allah swt menyebut wasiat sebelum hutang didalam ayat al-mawarith 4:11 ialah supaya menjadi peringatan Allah swt kepada manusia tentang kewajipan melaksanakan wasiat orang yang telah mati. Demikian tersebut, kerana manusia kebiasaanya mengambil mudah, kedekut dan lalai didalam melaksanakan kewajipan-kewajipan yang berkaitan dengan harta yang melibatkan pemberian secara al-tabarrucat semata-mata.
Manakala hikmah didahulukan perlunasan hutang dari perlaksanaan wasiat ialah hutang tetap menjadi beban kepada orang yang berhutang sama ada semasa hidup atau sesudah ia meninggal duni. Orang yang berhutang masih lagi dituntut oleh pemberi hutang dan apabila dia meninggal dunia maka menjadi tanggungjawab waris untuk menjelaskan hutang tersebut. Manakala wasiat merupakan amal kebajikan semata-mata yang tidak berkaitan dengan pihak yang ketiga (Mohd Zamro Muda dan Mohd Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan Di Malaysia, Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM, 2006 hlm 31.).
Jenis-jenis hutang
Hutang-hutang yang ditinggalkan oleh si mati terbahagi kepada kepada dua jenis iaitu sama ada hutang Allah s.w.t seumpama zakat, kaffarah, nazar, fardu haji dan sebaginya atau hutang sesama manusia. Hutang sesama manusia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
- al-duyun al-ainiyyahiaitu hutang yang berkaitan dengan barang-barang perninggalan sebelum berlaku kematian seperti barang gadaian dan barang jualan yang belum diserahkan sehingga diterima bayaran.
- Al-duyun al-mutlaqah iaitu hutang yang tidak berkaitan dengan barang dari barang-barang perninggalan. Hutang piutang yang tidak berkaitan dengan barang perninggalan terbahagi kepada dua bahagian sama ada Dain al-sihhah iaitu hutang yang telah disabitkan melalui keterangan (al-bayyinah) walaupun ketika dalam keadaan sakit yang membawa kepada kematian atau hutang yang telah disabitkan melalui pengakuan si mati atau melalui keengganannya untuk bersumpah sewaktu masih berkeadaan sihat. Termasuk di dalam din al-sihhah juga hutang yang diperakui oleh si mati ketika didalam keadan sakit dan dikuatkan melalui penyaksian orang yang melihat seumpama upah seorang doktor, harga ubat dan lain-lain lagi. Dain al-marad iaitu mana-mana hutang yang telah disabitkan melalui pengakuang si mati ketika didalam keadaan sakit yang membawa kepada kematiannya atau apa yang termasuk dalam hukum orang yang sakit seumpama pengakuan mereka yang keluar ke medang peperangan atau yang dibawa keluar untuk dijatuhkan hukuman al-qisasatau al-had.
Hutang Allah s.w.t dan hutang sesama manusia
Para ulama telah bersepakat bahawa hutang sesama manusia wajib dilunaskan dengan menggunakan harta peninggalan si mati. Menurut jumhur fuqaha, hutang-hutang Allah s.w.t wajib dilangsaikan dan ianya merupakan termasuk dalam perkara yang perlu dilunaskan dengan menggunakan harta perninggalan si mati tanpa mengira si mati ada meninggalkan wasiat agar dilunaskan ataupun tidak. Hak Allah s.w.t hendaklah dilunaskan terlebih dahulu daripada al-wasiah dan al-mawarith. Sekiranya si mati ada mewasiatkan agar hutang Allah s.w.t dilunaskan, maka wasiat tersebut tidak terhad kepada 1/3 dari harta perninggalan si mati kerana wasiat agar dilunaskan hutang Allah s.w.t adalah seumpama wasiat agar dilunaskan hutang-piutang yang telah sabit sesama manusia.
Walaupun jumhur fuqaha telah bersepakat diatas kewajipan melunaskan hutang-hutang Allah swt sebagaimana wajib dilunaskan hutang-hutang sesama manusia, namun demikian, jumhur fuqaha berselisih pendapat dalam menentukan hutang yang mana satu perlu perlu didahulukan sama ada hutang terhahadap Allah swt atau hutang sesama manusia kepada tiga pendapat:
Pendapat al-Shaficiyyah dan al-Zahiriyyah. Hutang-hutang Allah s.w.t seperti zakat, al-kaffaraat, fardu haji dan lain-lain perlu didahulukan pembayarannya sebelum hutang sesama manusia dijelaskan.
Pendapat al-Malikiyyah. Walaupun hutang Allah swt wajib dilunaskan, namun demikian hutang sesama manusia perlu terlebih dahulu dilangsaikan penbayarannya sebelun hutang Allah swt kerana manusia berhajat dan memerlukan harta sedangkan Allah swt maha kaya dan tidak berhajat kepadanya.
Pendapat al-Hanabilah. Hutang terhadap Allah swt dan hutang sesama manusia mempunyai kedudukkan yang sama didalam melangsaikannya sama ada diwasiatkat agar dilunaskan ataupun tidak, kerana perkataan (au dain) didalam firman Allah swt merangkumi kesemua hutang sama ada yang berkaitan dengan Allah mahupun sesama manusia. (Ibid :31, dan Ahmad Faraj Husin, Nizom al-Irsh Fi al-Tashric al-Islami, Dar al-Jamiah al-Jadidah Lil Nashri, 2003, hlm 39-40, dan Ahmad al-Husori, al- Tarikah Wa al-Wasoya Wa al-Qodoya al-Mutacalik Bihima Fi al-Fiqh al-Islami al-Muqaran, Dar al-Jil Bairu, 1992, hlm 32-34. dan Masucah al-Fiqh al-Islami al-Shahirah bi Mausucah Jamal cAbd. al-Nasir al-Fikhiyyah, al-Majlis al-cA’la li al-Shu’un al-Islami, Misr, t.Th, jilid 4, hlm 293-295)
Hutang al-sihhahdan al-marad
Ulama telah bersepakat bahawa hutang diantara sesama manusia wajib dilunaskan daripada harta perninggalan si mati dan perlunasan hutang si mati hendaklah didahulukan daripada melaksanakan wasiat dan sebelum diagihkan harta pusaka kepada ahli waris. Walaupun demikian, para culama berselisih pendapat mengenai hutang sesama manusia yang melibatkan hutang al-sihhahdan al-marad yang bersempit-sempit atau bersesak-sesak antara satu sama lain sewaktu perlunasan hutang. Apakah kedua-duanya berada dalam satu peringkat ataupun salah satu darinya mempunyai kekuatan berbeza yang membolehkan ia didahulukan apabila berlaku pertembungan antara kedua-duanya?
Menurut pandangan ulama al-Hanafiyyah, mereka membezakan antara hutan al-sihhahdan al-marad, apabila berlaku kersesakan antara kedua-duanya sewaktu perlunasan hutang. Mereka berpendapat hutang al-sihhah lebih tinggi kedudukan berbanding hutangal-marad. Oleh itu, maka hutang al-sihhah perlu didahulukan kerana ia lebih kuat dari hutang al-marad.Namun demikian, kedua-dua wajib dilunaskan sekiranya harta perninggalan mencukupi untuk menampung kedua-duanya. Sekiranya harta peninggalan tak mencukupi untuk menjelaskan kedua-duanya maka hutang al-sihhah hendaklah dilunaskan terlebih dahulu dan apa yang berbaki setelah itu diberikan kepada permiutang-permiutan al-marad mengikut nisbah kadar hutang masing-masing.
Namun demikian, menurut pandangan jumhur fuqaha, mereka tidak membezakan kewajipan melunaskan hutang al-sihhahdan al-marad, kedua-duanya merupakan hak yang telah sabit pada tanggungan si mati. Oleh itu, sekiranya harta perninggalan si mati tidak mencukupi untuk menampung hutang-hutang tersebut, maka kesemua permiutan berhak menerima bahagian masing-masing mengikut nisbah kadar hutang masing-masing tanpa membezakan diantara hutang al-sihhah danal-marad(Ahmad al-Husori. al- Tarikah Wa al-Wasoya Wa al-Qodoya al-Mutacalik Bihima Fi al-Fiqh al-Islami al-Muqaran. Dar al-Jil Beirut. 1992: 36).
Melaksanakan wasiat
Wasiat merupakan hak yang ketiga berkaitan dengan harta perninggalan si mati. Wasiat perlu dilaksanakan setelah dilunaskan kesemua hak-hak yang berkaitan dengan mempersiapkan pengebumian janazah dan setelah dilangsaikan segala hutang piutang si mati. Wasiat juga hendaklah didahulukan perlaksanaanya sebelum diagihkan harta perninggalan si mati kepada ahli waris.
Wasiat yang telah ditinggaklkan oleh si mati hendaklah dilaksanakan dalam lingkungan 1/3 dari keseluruhan harta peninggalan si mati setelah ditolak kos pengurusan pengkebumian jenazah dan setelah dilunaskan kesemua hutang piutang si mati. Sekiranya wasiat si mati dalam lingkungan 1/3 maka ia hendaklah dilaksanakan tanpa berhajat kepada izin dan persetujuan ahli waris. Sekiranya wasiat yang ditinggalakan si mati adalah melebihi dari 1/3 harta yang ditinggalkan (iaitu 1/3 dari baki harta peninggalan si mati setelah ditolak kos pengurusan pengkebumian jenazah dan setelah dilunaskan kesemua hutang piutang si mati), maka wasiat tersebut hendaklah dilaksanakan setakat lingkungan1/3, manakala yang selebihnya berhajat kepaza izin dan persetujuan daripada ahli waris. Sekiranya mereka bersetuju dan mengizinkan maka wasiat itu dapat dilaksanakan sepenuhnya dan sekiranya mereka tidak bersetuju maka wasiat tersebut hendaklah dilaksanakan setakat 1/3 sahaja.
Sekiranya setengan dari ahli waris bersetuju (dengan meraikan syarat yang perlu dipenuhi bagi ahli waris yang bersetuju iaitu persetujuan hendaklah setelah berlaku kematian pewasiat, waris merupakan seorang yang boleh menbuat al-tabarru’ dan waris merupakan seorang yang mengetahui berkaitan dengan wasiat )عالما بالوصية)) untuk dilaksanakan wasiat yang melebihi 1/3, sedangkan setengah yang lain tidak bersetuju, maka wasiat tersebut hendaklah dilaksanakan keatas ahli waris yang bersetuju setakat mana kadar bahagiannya sahaja, kerana setiap dari mereka mempunyai kuasa untuk mengizinkan dan menolak didalam kadar bahagian masing-masing.
Apabila setengah dari waris mengizinkan atau bersetuju dengan wasiat yang melebih dari 1/3 , sedangkan sentengah yang lain menolak maka timbul satu persoalan bagaimana hendah diketahui kadar bagi wasiat tersebut? Cara tersebut adalah dengan membahagikan harta peninggalan (pusakan) dengan dua pembahagian, pertama pembahagian dengan tanggapan semua waris bersetuju dan kedua dengan membuat pembahagian dengan tanggapan mereka semua tidak bersetuju, setelah itu maka mereka yang bersetuju hendaklah mengambil bahagian mereka mengikut bahagian pertama manakala yang tidak bersetuju hendaklah mengambil bahagian mereka dari pembahagian yang kedua(Ahmad Faraj Husin, Nizom al-Irth Fi al-Tashric al-Islami, 2003, hlm 51).
Contoh bagi perkara tesebut seperti berikut:
Sekiranya seseorang mati meninggalkan 3 orang waris (seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan) dan meninggalakan harta pusaka RM 12,000. Kemudian itu, didapati separuh dari wang tersebut telah diwasiatkan agar diberikan kepada rumah anak yatim. Oleh sebab itu, maka seorang dari anak perempuan si mati bersetuju dan dua saudaranya tidak bersetuju diatas wasiat tersebut. Untuk mengetahui kadar bagi wasiat dalam permasalahan ini, maka harta pusaka tersebut hendaklah dibuat dua pembahagian seperti berikut:
- Dibahagikan mengikut andaian semua waris bersetuju. Iaitu diberiakan kepada yang diwasiatkan sebanyak RM 6000 iaitu 1/2 harta pusaka. Baki dari wasiat diberikan kepada anak lelaki[1]RM 3000; dan bagi setiap orang anak perempuan mendapat RM1500
- Dibahagikan mengikut andaian semua tidak bersetuju, iaitu diberikan kepada yang diwasiatkan sebanyak RM 4000, iaitu kadar 1/3, anak lelaki mendapat RM 4000 dan kemudian setiap orang anak perempuan mendapat RM 2000.
Oleh kerana seorang dari anak perempuan bersetuju dan dua saudaranya tidak bersetuju, maka bagi anak perempuan yang bersetuju dilaksanakan wasiat yang melebihi dari 1/3, maka ia hendaklah mengambil haknya mengikut pembahagian yang pertama iaitu sebanyak RM 1.500, manakala dua saudaranya yang tidak bersetuju mendapat bahagian masing-masing dari bahagian yang kedua iaitu bagi anak lelaki mendapat RM 4000 dan yang perempuan mendapat RM 2000. Adapun yang selebih dari bahagian tersebut sebanyak RM 4.500 hendaklah diberikan kepada rumah anak yatim sebagimana yang diwasiatkan oleh si mati.
Mengagihkan harta pusaka kepada para waris.
Mengagihkan harta pusaka kepada ahli waris merupakan hak yang keempat dari hak-hak yang berkaitan dengan harta pusaka. Pengagihan ini hendaklah dilakukan seandainya terdapat disana saki-baki dari harta pusaka si mati setelah dilangsaikan segala kos yang berkaitan dengan pengurusan pengkebumian, hutang piutang dan sebarang wasiat yang ditinggalkan oleh si mati. Harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati hendaklah diagihkan kepada para waris mengikut apa yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t didalam al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ menurut turutan kedudukan mereka.
Para waris yang berhak menerima harta pusaka tidak kesemuanya berada dalam satu golongan dan martabat yang sama. Mereka mempunyai kriterial dan martabat kedudukan yang berbeza diantara satu sama lain. Dalam undang-undang pusaka Islam terdapat tiga jenis golongan waris, iaitu waris ashab al-furud, casabah dandhawi al-arham. Ketiga-tiga golongan waris tersebut mempunyai tafsiran dan implikasi hukum yang berbeza dalam undang-undang pusaka Islam.
Martabat para waris yang berhak menerima harta pusaka.
Para ulama telah meletakkan urutan martabat para waris yang berhak menerima harta pusaka. Merujuk kepada pandangan Madhhab al-Shaficiyyah dan al-Malikiyyah, urutan para waris yanh berhak ialah dimulakan dengan ashab al-furud, al-casabah al-nasabiyyah, al-casabah al-sababiyyah, baitul al-malsekiranya ia mempunyai sistem yang baik, al-radd[2]kepada ashab al-furud (zawi al-siham) mengikut pendapat mutaakhir mazhab dan di akhiridengandhawil al-Arham.
Waris al-asabah al-nasabiyyah bermaksud kaum kerabat si mati yang berhak menerima apa yang berbaki dari harta pusaka yang tidak dihabiskan oleh waris ashab al-furud atau menerima keseluruhan harta pusaka apabila tidak didapati seorangpun waris dari kalangan ashab al-furud dan apabila tidak didapati sesuatu harta yang berbaki setelah dihabiskan oleh ashab al-furud maka mereka tidak akan mendapat sesuatupun dari harta pusaka.cAsabah al-nasabiyyah terbahagi kepada tiga jenis:
- cAsabah bi al-nafs Iaitu asabah dengan dirinya sendiri. Ia membawa maksud kesemua lelaki yang tidak diselangi nasabnya kepada si mati oleh perempuan, seumpama ayah atan bapa, anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki,saudara lelaki sebapa dan lai-lain.
- cAsabah bi al-ghayriaituasabah dengan yang lain. Ia bermaksud kesemua waris perempuan yang menerima fardu 1/2 apabila bersendirian (seorang) atau 2/3 apabila apabila berbilang-bilang (dua orang atau lebih). Mereka akan menerima casabah bi al-ghayr ketika mewarisi bersama-samadengan waris-waris lelaki (casabah bi al-nafs) yang sedarjat atau setaraf dengan mereka. Mereka terdiri daripada empat orang iaitu:
- Anak perempuan (seorang atau lebih) ketika mewarisi bersama-sama dengan anak lelaki yang sedarjat dan setaraf dengannya.
- Anak perempuan kepada anak lelaki (seorang atau lebih) ketika mewarisi bersama-sama dengan anak lelaki kepada anak lelaki.
- Saudara perempuan seibu sebapa (seorang atau lebih) ketika mewarisi bersama-sama dengan saudara lelaki seibu sebapa.
- Saudara perempua sebapa (seorang atau lebih) ketika mewarisi bersama-sama dengan saudara lelaki sebapa.
- cAsabah maca al-ghayr iaitu asabah bersama dengan yang lain. Ia bermaksud waris perempuan yang menerima casabah (baki) dengan sebab berkumpul bersama-sama waris perempuan yang lain. Waris-waris yang terlibat dalam bentukcasabah ini terdiri dari dua orang iaitu saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa. Mereka akan menerima casabah (baki) apabila mewarisi besama-sama dengan anak perempuan (seorang atau lebih) atau anak perempuan kepada anak lelaki (seorang atau lebih) atau bersama dengan kedua-duanya sekali. Dalam asabah ini, saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa akan mendapat apa yang berbaki setelah diberikan saham-saham ashab al-furud .
[1]Anak lelaki mendapat sekali ganda lebih banyak dari anak perempuan ( Satu bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan).
[2]al-radddari segi bahasa bermaksud menolak, memalingkan dan mengembalikan. Manakala dari segi istilah pusaka al-radd bermaksud mengembalikan atau memberikan lebihan harta pusaka kepada waris ashab al-furud mengikut nisbah kadar fardu masing-masing ketika tiada waris asabah.