Artikel

Artikel

Aplikasi e-Wallet: Adakah Ia Mematuhi Syariah?


 e wallet

Revolusi industri 4.0 semakin meledak dengan pelbagai teknologi terkini bagi menggantikan teknologi tradisional. Ia bukan hanya menyentuh aspek teknologi pengkomputeran dan komunikasi, tetapi menyerap dalam semua aspek kehidupan termasuk kejuruteraan, perubatan, sosial, ekonomi, kewangan bahkan politik.

Fintech merujuk kepada teknologi kewangan (financial technology) terkini. Blockchain, Teknologi Lejer Teragih (Distributed Ledger Technology), Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), IOT, Big Data Analytics adalah sebahagian teknologi yang sedang mengadaptasi kewangan konvensional dan tradisional. Industri kewangan dan perbankan tidak lagi dilihat eksklusif dalam menyediakan produk kewangan yang komprehensif.

Apabila konsep pembayaran elektronik (e-payment) diperkenalkan, ia mempercepatkan banyak transaksi tradisional. Pengguna tidak perlu lagi beratur panjang untuk tujuan pembayaran bil, yuran dan pemindahan sebaliknya cukup dengan melayari aplikasi atau web pembayaran pada bila-bila masa dan dimana sahaja. Inovasi ini sahaja sudah cukup memberikan keselesaan kepada pengguna.

Namun inovasi ini tidak terhenti begitu sahaja. Penggunaan e-payment masih ada kekangan kerana ia belum cukup pantas. Proses e-payment memiliki birokrasi tersendiri kerana ia masih dipegang oleh sektor perbankan. Pemain teknologi masih belum berpuas hati dengan sistem e-payment. Mereka mahu teknologi ini lebih cepat dan terus kepada pengguna.

E-dompet (E-wallet) telah diperkenalkan oleh pemain teknologi. Kini sebarang bentuk pembayaran semakin mudah. Pengguna perlu memiliki kod tersendiri dan pemindahan kepada pihak lain hanya dengan hanya menggunakan kod sahaja. Pengguna dan pedagang hanya perlu satu 'scan' untuk memindahkan wang antara satu sama lain. Ia berperanan seperti dompet tradisional. Apabila pengguna pergi ke kedai untuk membeli barang, pengguna memindahkan wang dari dompet mereka ke dompet pekedai. Yang membezakan dompet biasa dan e-wallet hanyalah bentuknya; dompet berbentuk fizikal manakala e-wallet dalam bentuk maya. Contoh e-wallet yang terkenal di Malaysia adalah GrabPay, Touch n Go, Boost, Vcash dan Razerpay. Di dunia, Samsung Pay, Alipay, Googlepay adalah jenama yang popular.

Kecanggihan teknologi e-wallet ini memungkinkan lagi inovasi pada masa hadapan. Tidak mustahil satu hari nanti kita tidak memerlukan lagi aplikasi dalam telefon bimbit, tetapi cukup dengan cap jari atau retina mata untuk pemindahan wang. Teknologi blockchain menggunakan retina mata sebagai identiti telahpun digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menghantar bantuan kemanusiaan bagi memastikan ia telus, selamat dan terus sampai kepada pihak yang sepatutnya.

Namun, sejauh manakah teknologi e-wallet ini mematuhi prinsip syariah?

Islam hakikatnya tidak pernah menghalang sebarang bentuk teknologi baru. Bahkan Islam mengiktiraf dan menggalakkan penggunaan akal manusia pada tahap maksimum untuk kemaslahatan kehidupan manusia. Islam memandu prinsip akal agar tidak bercanggah dengan kehidupan manusiawi. Jenis apapun teknologi yang direka cipta, ia mestilah bertujuan untuk kebaikan kehidupan manusia dan bukan mencabar kekuasaan tuhan.

Prinsip syariah dalam mualamat dan transaksi moden yang berlaku hari ini adalah halal selagi tidak mempunyai unsur riba, gharar, judi, perkara yang haram dan kezaliman. Ia tidak semestinya terikat dengan akad-akad yang berlaku di zaman dahulu. Evolosi dan inovasi manusia tetap perlu diraikan sesuai dengan zamannya. Imam Malik R.A menyatakan 'Setiap perkara yang dianggap jual beli oleh manusia adalah dikira jual beli'.

Adakah transaksi melalui e-wallet ini memiliki unsur yang boleh membawa kepada pengharamannya?

Sebelum membahaskan unsur-unsur ini, adalah wajar untuk kita meletakkan beberapa prinsip untuk dijadikan panduan. Pertama, setiap aplikasi e-wallet adalah unik dan memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Sudah pasti setiap e-wallet mempunyai keistimewaan masing-masing. Sudah pasti tahap sekuriti, kaedah pemindahan, kaedah pengeluaran dan had e-wallet adalah berbeza.

Kedua, sejarah dan objektif kewujudan e-wallet ini juga berbeza. Tidak dinafikan asal penggunaan aplikasi adalah terhad, tetapi perkembangan semasa menjadikan ia berkembang dan keluar dari maksud asal. Contohnya, Touch n Go adalah asalnya terhad kepada pembayaran tol tetapi ia kini boleh menjadi satu kaedah pembayaran yang meluas. Lazada juga asalnya adalah platform jual-beli tetapi mereka berkembang kepada e-wallet yang bukan sahaja untuk pembelian di platform mereka sahaja.

Ketiga, e-wallet adalah sejenis penyedia perkhidmatan pra-bayar. Untuk menggunakan e-wallet, kita perlu mengisi atau topup e-wallet kita dengan jumlah wang sebelum ia boleh digunakan. Ia akan terbit dengan nilai untuk membuat pembayaran. Umum mengetahui bahawa model perniagaan pra-bayar ini bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia, sebaliknya ia telah bermula sejak lebih 30 tahun yang lampau.

Keempat, e-wallet tidak sama dengan deposit perbankan. E-wallet masih menggunakan perkhidmatan perbankan bagi tujuan perekodan dan pembayaran. Bank Negara Malaysia (BNM) juga membezakan senarai bank dan syarikat yang dibenarkan untuk pengoperasian e-money (termasuk e-wallet).

Syarikat penyedia E-Wallet tidak dibenarkan untuk menggunakan wang deposit e-wallet untuk apa jenis tujuan melainkan transaksi yang dilakukan oleh pengguna e-wallet itu sahaja. Contohnya, sekiranya A mendepositkan RM100 ke dalam e-wallet tetapi tidak berbuat apa-apa, RM100 itu tidak boleh digunakan oleh syarikat penyedia e-wallet untuk apa-apa tujuan. Ia harus kekal dalam akaun khas milik pelanggan. Sekiranya A melakukan transaksi pemindahan kepada B sebanyak RM100, barulah syarikat penyedia e-wallet melakukan pemindahan deposit RM 100 tadi kepada pihak B. Di situ mungkin syarikat penyedia e-wallet akan mengenakan caj pemindahan sebagai upah perkhidmatan transaksi.

Secara umumnya, perkhidmatan e-wallet ini tidaklah dilihat mempunyai unsur-unsur yang bercanggah dengan prinsip syariah selagi barangan dan perkhidmatan yang dibeli adalah patuh syariah seperti tidak membeli arak yang diharamkan. Adaptasi Fiqh (Takyif fiqhi) mungkin menimbulkan persoalan namun ia masih tidak terkeluar dari prinsip yang dibenarkan syariah. Ia boleh dikira sebagai akad moden yang diterima oleh syariah. Walaubagaimanapun, ada beberapa isu yang dibangkitkan sebagai peringatan kepada syarikat penyedia e-wallet.

Pertama, promosi bonus isi semula. Ada syarikat penyedia e-wallet menawarkan bonus bagi setiap isian semula sebagai promosi menggunakan e-wallet mereka. Isi RM100 dan dapat bonus tambahan RM5. Adakah itu termasuk riba? Pada pandangan penulis, ia perlu diperhalusi dengan tuntas. Adakah RM100 isian semula itu adalah bentuk pinjaman pelanggan kepada syarikat penyedia e-wallet? Sekiranya ia berbentuk pinjaman, maka RM5 bonus adalah dikira faedah ke atas pinjaman tersebut dan sudah pasti ia bentuk riba yang diharamkan. Walaubagaimanapun, penulis tidak melihat ia satu bentuk pinjaman kerana syarikat penyedia e-wallet tidak mempunyai apa-apa hak penggunaan terhadap isian semula tersebut. Ia tidak sama seperti bank yang mempunyai hak untuk melakukan pelaburan dan aktiviti yang dibenarkan.

Tambahan pula, kebanyakkan syarikat penyedia e-wallet mensyaratkan pembelian bagi menggunakan bonus tersebut. Ini kerana, biasanya syarikat penyedia e-wallet menggunakan keuntungan caj transaksi pembelian bagi membayar bonus tersebut kepada pelanggan. Dengan ertikata lain, bonus tersebut diambil dari keuntungan caj pembelian, bukan wang pelanggan. Kedua, syarikat penyedia e-wallet menyediakan peruntukan khas bagi memasarkan e-wallet mereka untuk menarik ramai pelanggan. Maka, kebarangkalian ia akad pinjaman adalah agak jauh.

Namun, jika syarikat penyedia e-wallet menggunakan wang milik pelanggan bagi aktiviti lain (selain yang dibenarkan) dan memberi bonus kepada pelanggan, ia termasuk dari bentuk pinjaman dan terdedah kepada pengharaman riba. Sekiranya ini berlaku, syarikat penyedia e-wallet telahpun melanggar peraturan sebagai penyedia e-wallet dan boleh ditarik 'lesen' mereka.

Kedua, promosi yang bercanggah syariat. Ada syarikat penyedia e-wallet menawarkan 'lucky draw' kepada pelanggan yang menggunakan e-wallet mereka. Ia semata-mata menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan e-wallet. Contohnya, mereka perlu membayar RM1 dari e-wallet untuk menyertai satu 'lucky draw'. Sekiranya menang, mereka akan menerima hadiah berupa gadjet bernilai ribuan ringgit. Mereka yang tidak berjaya akan dipulangkan kembali wang mereka ke dalam e-wallet masing-masing. Komitmen walupun RM1 untuk menyertai 'lucky draw' adalah satu bentuk perjudian yang tidak dibenarkan walaupun ia dipulangkan kembali jika tidak berjaya. Ia sama seperti menyertai perjudian tetapi tidak mengeluarkan duit sendiri.

Kesimpulannya, perkhidmatan e-wallet tidaklah melanggar prinsip syariah apatah lagi ia sebenarnya membantu manusia memudahkan urusan hariannya. Walaubagaimanapun, terdapat teknikal proses dan kaedah promosi yang perlu diteliti oleh syarikat penyedia e-wallet sekiranya ingin memastikan perkhidmatan mereka patuh syariah.

Dr Azrul Azlan Iskandar Mirza,
Fakulti Ekonomi & Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia
Diterbitkan pada : 16-07-2019
Hits : 58532