UTUSAN MALAYSIA : 26 JULAI 2019
KOLUM kali ini membincangkan teknologi yang digelar Profesor Harvard Business School, Clayton M. Christensen sebagai disruptive technology (teknologi yang menimbulkan gangguan). Gangguan dimaksudkan di sini adalah bersifat positif terhadap individu yang mempunyai pengetahuan dan pandai menggunakan kemudahan berkenaan.Teknologi seperti ini akan memberikan satu pilihan baharu kepada orang ramai yang sudah sekian lama biasa dengan kaedah lama. Platform elektronik Skim Pelaburan Ahli (SPA) atau lebih dikenali sebagai e-SPA yang bakal diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada bulan depan adalah contoh teknologi atau perkhidmatan sedemikian.SPA yang sebelum ini menggunakan kaedah manual memberi opsyen kepada pencarum untuk melabur sebahagian simpanan dalam Akaun 1 KWSP dalam dana-dana unit amanah atau menerusi mandat persendirian (membuat pelaburan saham di Bursa Malaysia) yang diuruskan oleh institusi pengurusan dana (IPD) dilantik.
Berdasarkan umur mereka, ahli boleh memindah keluar daripada Akaun 1 KWSP sehingga 30 peratus daripada amaun yang melebihi simpanan asas yang akan dilaburkan dalam dana-dana berkelayakan.Sama seperti SPA, pencarum yang menggunakan e-SPA perlu sedar akan risiko pelaburan dalam dana unit amanah. Ahli bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaburan yang dibuat dan KWSP tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian.Mereka juga perlu memahami e-SPA hanyalah satu pilihan saluran pelaburan dan bukan paksaan. Kaedah lama melalui ejen tetap diteruskan.EFISIEN, MUDAH DAN MENJIMATKAN KOSTeknologi baharu yang bakal diperkenalkan ini adalah lebih efisien, senang digunakan dan menjimatkan kos. Ia adalah sama dengan beberapa disruptive technology lain yang telah diperkenalkan KWSP sebelum ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada transaksi kaunter dan urusan secara manual. Pembaharuan yang telah dibuat termasuk kios layan diri, laman web khusus untuk ahli dan majikan serta servis elektronik sepenuhnya menerusi i-Akaun.Pengenalan teknologi baharu itu sudah tentu akan memudahkan kira-kira sejuta pencarum yang kini telah menggunakan SPA secara manual. Untuk rekod sehingga September 2018, KWSP mempunyai 14.09 juta pencarum.KWSP diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias yang dilantik menjawat jawatan itu sejak Ogos tahun lalu. Beliau bukanlah asing kepada organisasi itu kerana sebelum ini telah berkhidmat sebagai Timbalan CEO (Strategi) sejak 2014.Beliau yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Cornell University dan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari King’s College, University of London bertanggungjawab ke atas keseluruhan operasi KWSP termasuk memberikan panduan dan nasihat serta kepemimpinan kepada pasukan pengurusan kanan bagi memastikan strategi dan dasar organisasi dipenuhi.KWSP juga mempunyai piagam pelanggan yang memaparkan janji organisasi itu untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan adalah terbaik dan pantas. Berikut adalah lima manfaat e-SPA:
1. FleksibelPlatform e-SPA membolehkan pelaburan dibuat di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Ini kerana platform berkenaan juga boleh diakses dari luar negara dan sentiasa tersedia selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.Kaedah lama hanya membenarkan pencarum melabur dalam satu IPD sahaja pada setiap tiga bulan manakala melalui e-SPA, jumlah itu adalah lebih banyak asalkan wang yang dilaburkan tidak melebihi 30 peratus daripada amaun yang melebihi simpanan asas.
2. Menjimatkan kosCaj yang akan dikenakan oleh pengurus dana adalah sehingga maksimum 0.5 peratus sahaja berbanding pelaburan menerusi kaedah manual melalui ejen yang mengenakan caj sehingga tiga peratus. Jumlah itu adalah satu penjimatan yang cukup banyak jika jumlah pelaburan adalah tinggi.
3. Paparan yang menyeluruhMaklumat prestasi 382 dana diuruskan oleh 23 IPD yang diluluskan oleh KWSP boleh dilihat menerusi e-SPA sekali gus memudahkan pencarum tanpa perlu melayari laman web setiap institusi berkenaan. Maklumat tersebut disediakan oleh penyedia maklumat kewangan antarabangsa, Lipper.Kemudahan itu akan memudahkan pencarum memantau prestasi dana-dana unit amanah yang dibeli mereka dan membuat keputusan untuk menjual atau terus mengekalkannya.Maklumat yang dipaparkan dalam bentuk grafik dan carta memudahkan pencarum membandingkan prestasi antara satu dana dengan dana lain serta membuat keputusan pelaburan berdasarkan keperluan dan selera masing-masing.4. Pantas dan mengikut masa nyataSemua transaksi menerusi e-SPA akan dipastikan selamat dan dapat diproses dengan pantas kerana tidak perlu lagi melalui ejen. Transaksi berkenaan akan dibuat secara maya tanpa menggunakan kertas.5. Bermanfaat kepada pencarum melebihi usia 55 tahunIndividu yang telah bersara masih boleh melabur melalui e-SPA yang mengenakan caj cukup rendah berbanding menggunakan perkhidmatan ejen. Ini selaras dengan trend semasa apabila individu yang mencapai usia 55 tahun tidak mengeluarkan wang mereka daripada KWSP secara sekali gus sebaliknya memilih untuk membuat pengeluaran dengan beransur-ansur.