Soalan Lazim : Umum
Muamalat ialah aktiviti yang melibatkan perhubungan manusia dengan manusia. Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariah Allah s.w.t yang melibatkan ekonomi dan sosial Islam.
Muamalat dewasa ini lebih popular digunakan untuk aktiviti dalam sistem kewangan dan ekonomi Islam. Islam memberi kelonggaran kepada manusia bagi menggunakan akal fikiran yang diberikan oleh Allah bagi mencari cara-cara yang sesuai dengan kehendak manusia dan kemampuannya untuk mencapai kehidupan yang baik dan selesa selaras dengan prinsip Syarak.
Portal ini diwujudkan untuk menjadi salah satu platform dalam menyebarkan maklumat yang berguna kepada orang ramai khususnya berhubung dengan muamalat dan kewangan Islam.
Setiap aktiviti muamalat yang dilakukan oleh setiap muslim perlulah mengikut prinsip-prinsip utama muamalat Islam. Ia merupakan asas etika dalam perbuatan manusia. Prinsip tersebut menjamin agar setiap tindakan yang dilakukan sentiasa tepat dengan kehendak Islam dan sesuai dengan keinginan manusia yang sentiasa inginkan kebaikan dan keselesaan dalam kehidupan. Antara prinsip-prinsip dalam muamalat ialah prinsip kebenaran, prinsip amanah, prinsip keikhlasan, prinsip keadilan, prinsip persaudaraan dan prinsip pengetahuan.
Muamalah secara umum ialah aturan-aturan (hukum) Allah untuk mengatur kehidupan manusia dengan urusan duniawi atau dalam pergaulan sosial. Secara khususnya, Muamalah bermaksud aturan-aturan Allah yang wajib ditaati yang mengatur hubungan manusia dengan manusia dalam kaitannya dengan cara memperoleh dan mengembangkan harta. Oleh itu, muamalat dan muamalah mempunyai kaitan kerana ia melibatkan aktiviti manusia sesama manusia untuk mendapatkan kehendak dan keperluan hidup serta berlandaskan syariah.
Pelaksanaan sistem muamalat adalah untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Muamalat yang dijalankan berlandaskan syariat Islam akan melahirkan masyarakat yang aman dan jauh daripada sebarang penipuan, pemerasan, penindasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya. Selain itu, ianya juga dapat memastikan semua kegiatan ekonomi yang dijalankan bebas daripada sebarang perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t. Seterusnya membolehkan manusia menikmati kurniaan Allah dengan cara yang betul dan diredhainya.
Sistem Ekonomi Islam adalah berteraskan akidah kerana dengan akidah inilah, sistem ekonomi Islam dapat terlaksana dengan sempurna dan memaksimumkan manfaatnya. Ini kerana pelaksana kepada sistem ekonomi Islam ini sewajarnya mengetahui segala tindakan yang dibuat mestilah selari dengan kehendak Allah, dan akhirnya akan mendapat keredaan daripada-Nya. Secara umumnya, ekonomi Islam mementingkan perkara-perkara berikut:
- Semua aktiviti yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan syariat Allah kerana dengan berpandukan kepada-Nya kita akan memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi.Usaha ini memerlukan kepada pengetahuan dan pemahaman yang betul berkenaan soal halal dan haram sesuatu aktiviti. Justeru, segala urusan yang dilakukan wajiblah diniatkan semata-mata untuk mendapatkan keredaan-Nya.
- Mementingkan konsep keadilan dan kepentingan sejagat. Perkara ini sangat penting kerana setiap manusia mempunyai hak-hak tertentu yang perlu dipenuhi dengan saksama. Sama ada kaya atau miskin, setiap daripada manusia itu mempunyai haknya yang tersendiri. Konsep keadilan ini boleh diterjemahkan melalui aktiviti zakat dimana mereka yang berharta menzakatkan hartanya atau menginfakkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
- Keikhlasan dalam memperjuangkan sistem ekonomi Islam. Nilai ini mesti bergerak seiring dengan semua aktiviti agar ia akan membuahkan hasil yang cukup cemerlang dan lumayan yang bersesuaian dengan pandangan syariah Islam.
Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memperjuangkan sistem ekonomi Islam ini sebagai salah satu cabang dalam Muamalat Islam. Ia bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan atau meningkatkan taraf hidup umat Islam, malah yang lebih penting, ia adalah sebagai memenuhi tuntutan akidah Islam itu sendiri.
JAKIM merupakan agensi yang bertanggungjawab bagi pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia turut bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri serta agensi pusat dalam urusan berkaitan muamalat dan kewangan Islam. Selaras dengan visi dan misi JAKIM, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan khususnya SM memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah semasa berdasarkan fungsi berikut:
- Menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan dengan sistem muamalat dan sosio ekonomi yang terdapat di Malaysia.
- Menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap pembangunan muamalat dan sosio ekonomi dari perspektif Islam; dan
- Memperakukan hasil kajian kepada agensi-agensi pusat yang berkaitan dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk diterima pakai serta dilaksanakan.
Pengambilan deposit secara haram adalah suatu perbuatan menerima, mengambil, atau menyetujuterima deposit (wang, logam berharga, batu berharga, apa-apa artikel lain dan sebagainya) daripada orang awam atau pelabur, yang menjanjikan pembayaran semula deposit tersebut biasanya dengan faedah atau pulangan atau dengan sebarang balasan yang berupa wang atau nilaian wang, tanpa mempunyai satu lesen yang sah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).
Urus niaga mata wang asing haram ialah aktiviti membeli atau menjual mata wang asing di antara dua orang dan tiada seorang daripada mereka adalah seorang peniaga yang diberi kuasa melainkan jika orang itu telah mendapatkan kebenaran daripada Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW). Aktiviti ini juga termasuk membeli atau menjual mata wang asing oleh seorang pemastautin yang bukan seorang peniaga yang diberi kuasa dengan seorang di luar Malaysia melainkan jika orang itu telah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW.
Menurut Islam, wajib membayar upah kepada pihak yang memberikan khidmat sebaik sahaja selesai tugasan yang diberikan. Ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdillah bin Umar RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
أَعْطُوا الاَجِيرَ أَجْرَهُ قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ
Bermaksud: “Berilah kepada pekerja upahnya sebelum kering peluhnya”.
Harus mengenakan caj tambahan kerana lewat bayar bil di atas kecuaian pengguna. Keharusan ini adalah kerana pengguna ingkar membayar pada masanya dan menyebabkan timbul kerugian kepada pihak yang menyediakan perkhidmatan. Apatah lagi jika pengguna itu mampu membuat pembayaran tetapi sengaja melewat-lewatkan pembayaran tersebut.
Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ
Bermaksud: “Kemungkiran orang yang kaya (dalam membayar hutang) adalah satu kezaliman”
Walaubagaimanapun, Syarikat utiliti hanya boleh mengiktiraf kos kerugian sebenar sebagai pendapatan dan selebihnya perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan.
Untung atas angin adalah sebarang aktiviti yang dilakukan oleh individu dalam urusniaga yang menyebabkannya memperolehi keuntungan tanpa melalui usaha ataupun modal. Ia biasanya dilakukan oleh mereka yang menjadi perantaraan sesuatu urusan atau lebih dikenali sebagai ‘orang tengah’. Keuntungan yang diperolehi itu disebut dengan pelbagai istilah seperti imbuhan, insentif, komisen dan sebagainya
Aktiviti perniagaan pengurup mata wang tertakluk di bawah Akta Pengawalan Pertukaran Wang 1953. Perniagaan mata wang asing ini tergolong di dalam bay’ al-sarf iaitu jual beli mata wang dengan mata wang lain termasuk emas dan perak. Oleh itu, ia perlu memenuhi syarat-syarat perniagaan bay’ al-sarf sebagaimana berikut:
- Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item (matawang yang dijual dan yang dibeli) sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
- Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
- Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-syart.
Menurut syariah, hukum urus niaga Forex adalah tertakluk kepada syarat-syarat umum jual-beli dan syarat-syarat khusus bagi bay’ al-sarf.
Syarat-syarat umum jual beli:
- Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (ahliyyah al-ta`aqud);
- Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;
- Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli; dan
- Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penangguhan serahan serta sighah ijab dan qabul mestilah selari dari semua aspek termasuk dari segi jumlah/kadar barang pertukaran.
Syarat-syarat khusus Bay’ al-Sarf:
Berlaku taqabud (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
- Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
- Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-syart.
Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012, hukum perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (Individual Spot Forex) melalui Platfom Elektronik adalah haram kerana mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian.
Selain itu, ia juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953, adalah satu kesalahan untuk seseorang individu di Malaysia membeli atau menjual mata wang asing atau melakukan apa-apa tindakan yang melibatkan, berhubung dengan, atau persediaan untuk, membeli atau menjual mata wang asing dengan mana-mana orang, selain daripada peniaga berdaftar. Di bawah Akta ini juga, adalah satu kesalahan untuk seseorang itu membantu atau bersubahat dengan orang lain untuk membeli atau menjual mata wang asing dengan mana-mana orang, kecuali orang tersebut ialah peniaga yang dibenarkan.
Kunci harga adalah salah satu unsur janji atau wa`d dalam transaksi urusniaga. Wa`d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa`d dari sebelah pihak dan bukannya muwa`adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa`d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat janji untuk membeli emas dengan harga tertentu. Janji untuk membeli ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan yang dilarang dalam transaksi jual beli barang ribawi.
Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan. Selain itu, konsep al-rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.