Walau bagaimanapun sambutan masyarakat Islam terhadap sistem baharu ini masih lagi disifatkan sebagai lukewarm atau suam-suam sahaja di mana setelah lebih sebulan dilancarkan jumlah pelaburan yang telah direbut oleh pencarum hanyalah mencatatkan 41.07 peratus daripada keseluruhan dana yang diperuntukkan di bawah skim berkenaan.
Ini adalah mengambil kira akan statistik jumlah tenaga kerja negara yang pada ketika ini berada pada angka 14.4 juta. Jika ditolak jumlah penjawat awam seramai 1.6 juta, maka jumlah pencarum KWSP daripada jumlah pekerja swasta secara kasarnya mungkin menjangkau 12 juta dan jika diambil kira 61.3% penduduk negara ini adalah beragama Islam, maka terdapat 7.4 juta pekerja yang beragama Islam di sektor swasta yang secara perundangannya wajib mencarum kepada KWSP dan jumlah peruntukan RM100 bilion ini sewajarnya telah habis direbut dalam masa sebulan setengah dilaksanakan hingga ke saat ini.
Adakah pencarum Islam begitu berhati-hati dalam membuat keputusan atau menunggu hingga 23 Disember 2016, iaitu tarikh akhir untuk mereka membuat pilihan menukar mod pelaburan mereka kepada sistem yang berlandas syariah? Atau apakah mungkin kesedaran akan kewajipan untuk beralih kepada sistem yang diredai Allah ini kurang diambil perhatian oleh masyarakat Islam hari ini atas faktor materialisme dan kepatuhan kepada agama adalah sesuatu yang memerlukan satu analisis dan penelitian yang serius?
Maqasid al-Syariah adalah satu cabang ilmu yang amat penting dalam Islam. Maqasid berasal dari kalimah maqsud atau maqsad yang bererti kehendak, matlamat atau tujuan. Oleh itu, Maqasid al-Syariah bererti tujuan, natijah atau maksud yang dikehendaki oleh syarak di sebalik pengsyariatan hukumnya melalui sumber dalilnya iaitu al-Quran dan sunnah. Maqasid didefinisikan sebagai mewujudkan kebaikan (manafaah) dan menolak keburukan serta menghilangkan kemudaratan (mafsadah). Keperluan manusia untuk mematuhi hukum maqasid telah dibicarakan oleh ramai para fuqaha Islam.
Bapa Maqasid Syariah iaitu Imam Abu Ishaq Al Shatibi, ulama unggul yang berasal dari Granada, Sepanyol sewaktu wilayah itu ditadbir oleh Emir Bani Ummayah dalam kitabnya yang terulung iaitu Al Muwafaqat telah bertegas mengatakan bahawa Allah SWT telah menetapkan sesuatu hukum itu setelah mengambil kira segala bentuk kebaikan dalam kehidupan manusia itu sendiri.
Ini adalah selaras dengan ketetapan Allah SWT melalui firman-Nya: “Dialah yang menciptakan segala benda yang ada di bumi untuk kamu (manusia), kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya ke arah langit lalu dijadikan tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.” ( Surah Al Baqarah :2:29).
Justeru, sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah, maka adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk segera beralih kepada sistem berteraskan syariah bagi memastikan bahawa setiap pendapatan yang diperoleh daripada dividen tahunan KWSP itu adalah patuh syariah dan memenuhi ciri-ciri halalan toyibban.
Ketetapan untuk menjaga harta agar sentiasa bersih dan dalam keredaan Allah adalah satu keperluan asas dalam hidup seorang Islam yang mengaku dirinya beriman kepada Allah SWT. Islam menjadikan persetujuan jual beli antara kedua dua belah pihak sebagai asas jual beli dan muamalah di samping mensyariatkan keperluan berzakat, sedekah, wakaf, penyelesaian hutang dan sebagainya. Di samping itu, Islam mengharamkan pengambilan harta melalui penindasan,penipuan, mencuri, memakan riba, rasuah, pecah amanah dan sebagainya.
Justeru, dengan beranjak kepada sistem pelaburan yang patuh syariah maka seorang pencarum Islam itu dapat tidur lena dan memastikan bahawa segala pendapatan yang diperoleh daripada caruman untuk keperluan hari tuanya adalah benar-benar bersih dari sebarang kemungkaran dan penderhakaan kepada Allah SWT.
Ini adalah selaras dengan peringatan Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri dengan betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Dalam keadaan itu mereka akan berkata: “Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” ( Surah al-Baqarah – 2 : 275).
Selaras dengan bulan Zulhijah yang mulia ini, maka adalah wajar kepada pencarum beragama Islam yang belum lagi menukarkan mod pelaburan mereka kepada sistem patuh syariah untuk segera berbuat demikian sebagai mematuhi kepada perintah Allah seperti yang dinyatakan dalam ayat al-Quran. Mudah-mudahan dengan rezeki dan pendapatan bersih yang digunakan untuk menyara kehidupan kita di usia emas nanti akan berupaya untuk mendekatkan diri dan ahli keluarga kita kepada kehidupan yang sejahtera duniawi dan ukhrawi.
Penulis ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia