datang daripada golongan pemimpin. Tidak kiralah pemimpin dalam dunia korporat, sektor awam mahupun negara. Tidak kira juga sama ada pemimpin asing mahupun pemimpin tempatan. Semuanya tertakluk pada apa yang hendak diumumkan.
Berita baik sudah tentulah memberi kesan positif manakala khabar kurang baik yang diumumkan kepada orang ramai sudah tentulah memberi kesan yang kurang baik juga. Kesan positif ini merangkumi kesan terhadap orang ramai, pelabur dan negara.
Dalam bidang kewangan, misalnya, pengumuman positif melonjakkan Bursa Saham Malaysia. Ambil contoh pengumuman positif yang dibuat oleh Pengerusi Rezab Persekutuan Amerika Syarikat (AS). Dari dahulu sehingga sekarang pengumuman daripada seseorang yang memegang jawatan Pengerusi Rezab Persekutuan AS akan memberi kesan kepada bursa saham seluruh dunia. Begitu juga jika pengumuman negatif yang menunjukkan kelembapan ekonomi AS, maka kesan negatif akan merebak kepada bursa-bursa saham seluruh dunia.
Bagi syarikat pula, pengumuman pengunduran serta merta seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mahupun juruaudit luar yang berkualiti tinggi juga memberi kesan kepada saham syarikat. Malah, jika syarikat menerima laporan audit selain daripada laporan bersih atau tidak bersyarat, maka saham syarikat juga akan menerima tempiasnya dalam beberapa hari selepas pengumuman laporan audit tersebut.
Ini bermaksud pelabur telah memberi reaksi negatif terhadap pengumuman laporan audit yang dikeluarkan oleh juruaudit luar. Itu kesan pengumuman berita yang kurang baik kepada orang ramai termasuklah kepada pelabur yang mana natijahnya akan dirasai oleh pihak yang menerima berita yang kurang baik tersebut.
Namun, di sebalik pengumuman-pengumuman tersebut, sering kali kita disajikan dengan pengumuman-pengumuman positif yang menarik perhatian ramai pihak. Misalnya, minggu lalu, kerajaan mengumumkan beberapa khabar baik buat rakyat dan juga peniaga. Bantuan khas RM500 kepada 388,111 pekebun kecil serba sedikit membantu meringankan kehidupan mereka tatkala harga getah rendah.
Beberapa hari sebelum itu pula, kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM500 sempena Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam. Meskipun nilai RM500 tidak begitu tinggi, namun nilai ini juga membantu meringankan beban penjawat awam dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kalau kita lihat dalam konteks lebih luas, ramai lagi yang bekerja tidak menerima sebarang bantuan seperti ini. Lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi yang masih tidak menentu di seluruh dunia yang menyaksikan ramai pekerja terpaksa diberhentikan, syarikat terpaksa mengurangkan perbelanjaan dan tidak kurang juga tercari-cari pekerjaan untuk menyara kehidupan mereka, maka bantuan seperti ini adalah satu rezeki di bulan Ramadan. Bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh-Nya.
Selain itu, pengumuman mengenai pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat ketiga yang lebih cepat iaitu lebih tepat lagi pada hari ini, 15 Jun sudah tentulah memberi khabar baik bukan sahaja kepada penerima BR1M tetapi juga peniaga.
Pada waktu inilah, wang tersebut akan digunakan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, maka peniaga juga boleh menumpang rezeki atas perbelanjaan yang dibuat oleh penerima BR1M dan penjawat awam. Dengan kata lain, impaknya bukan setakat terbatas kepada mereka yang mendapat khabar baik ini secara langsung tetapi juga buat mereka yang mendapat kesan positif secara tidak langsung.
Dalam konteks ini, ekonomi domestik sewajarnya dirancakkan tatkala rakyat mungkin berhati-hati untuk berbelanja. Masing-masing mula menyedari impak ketidaktentuan ekonomi dunia memberi kesan terhadap kocek masing-masing. Dalam hal ini, mahu tidak mahu, perbelanjaan domestik perlu juga dirancakkan. Tidak boleh dalam keadaan lesu yang memberi kesan berganda terhadap ekonomi domestik.
Cuma apa yang penting di sini, diharapkan tiada pihak yang mengambil kesempatan atas bantuan yang diberikan kepada penjawat awam mahupun kepada penerima BR1M dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati. Apalah gunanya bantuan diberikan jika tidak dapat dinikmati oleh si penerima dengan nilai yang sewajarnya.
Hal ini sering berlaku setiap kali pengumuman mengenai bantuan kepada penjawat awam, kenaikan gaji penjawat awam mahupun bantuan-bantuan lain yang diumumkan oleh kerajaan. Sayugia diingatkan kesan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bukan sahaja diterima oleh si penerima bantuan tetapi juga kepada rakyat Malaysia lain. Sebagai peniaga, bulan Ramadan ini bukan bulan mencari rezeki berlipat kali ganda sehingga menindas orang lain. Sebaliknya, bulan mencari keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT atas segala hasil perniagaan yang diterimanya.
Keberkatan inilah yang selalu kita buat-buat tidak nampak. Yang kita sering nampak wang ringgit dalam bentuk fizikal, walhal itu belum lagi menjamin keberkatan. Sebab itulah, setiap kali pengumuman ekonomi yang dibuat oleh mana-mana pihak terutamanya oleh pemimpin negara, perlulah diutamakan impak keberkatannya terhadap kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Inilah yang perlu dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita. Baharulah jelas kelihatan impak keberkatan ekonomi itu demi untuk kesejahteraan rakyat dan kemapanan kemajuan ekonomi Malaysia.
DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.