Saya sedih mengenangkan keluarga ini, sedih dengan nasib arwah si ibu mereka yang pergi mengadap Ilahi. Mungkin semasa hidup, si ibu ada meninggalkan pesanan tidak bertulis “bahagilah harta ini dan muafakatlah kamu adik-beradik” atau pun mungkin tidak ada pesanan langsung. Arwah si ibu mungkin menyangka anak-anaknya akan bermuafakat dan pandai menguruskan harta yang ditinggalkan namun, sebaliknya yang terjadi.
Itu kisah perbalahan waris-waris yang berlaku di depan saya sendiri. Kita juga sering disajikan dengan pelbagai kisah di dada akhbar iaitu perbalahan keluarga merebut harta peninggalan si mati, si tanggang saman ibu di mahkamah, anak-anak menuntut harta sepencarian arwah ibu di mahkamah, adik bunuh abang gara-gara harta dan pelbagai kisah perebutan harta. Salah siapa?
Kita sebagai umat Islam memandang remeh tentang keperluan membuat perancangan awal harta Islam. Di luar sana masih ramai yang kurang memahami ilmu pewarisan harta. Ini disebabkan oleh sikap mereka yang merasakan pengurusan harta tidak begitu penting.
Bila kita sebut sahaja pasal pengurusan harta Islam, setiap daripada kita orang Islam berpendapat orang yang mempunyai banyak harta sahaja perlu membuat pengurusan harta. Dialog biasa yang saya dengar, “saya tidak ada harta”, tetapi bila ditanya, ada rumah, kereta, wang simpanan, takaful hayat dan lain-lain. Ini bukan harta?
Mengikut statistik yang dikeluarkan pada tahun 2013 (sumber:http://www.statistics.gov.my), penduduk Malaysia beragama Islam adalah sebanyak 61.3 peratus iaitu 18.3 juta orang dan dianggarkan 9 hingga 10 juta umat Islam di Malaysia mampu membuat wasiat dan 90 peratus daripada jumlah tersebut masih tidak menguruskan dan membuat perancangan harta untuk kematian.
Kita perlu ingat bahawa apabila kita meninggal dunia, adakah waris-waris yang kita tinggalkan ini sedia bekerjasama, bermuafakat dan tidak bergaduh berebut harta yang kita tinggalkan? Bagaimana dengan hutang-piutang dan segala hasrat kita? Siapa yang akan melunaskan? Jika waris-waris enggan bekerjasama, bergaduh, bertelingkah berebut harta, akhirnya harta yang kita kumpul itu terbiar begitu sahaja. Kegagalan merancang dan mengurus harta Islam dari awal menyebabkan harta orang Islam di Malaysia beku dan tidak dituntut sebanyak RM66.6 bilion. (sumber: Utusan Malaysia 26 September 2013)
Harta adalah satu elemen penting dalam kehidupan manusia dan umat Islam seharusnya mengurus dan merancang harta dengan baik dan sempurna supaya harta yang dikumpul atau dicari tidak dibazirkan dan dapat digunakan dengan cara yang mengikut syarak.
Pemahaman dan kesedaran umat Islam tentang kepentingan mengurus harta sebelum kematian sangat rendah. Ini menyebabkan banyak harta pusaka orang Islam yang masih belum dituntut. Pengurusan harta pusaka Islam merupakan sesuatu yang penting bagi memastikan harta pusaka ditadbir dengan baik selepas kita meninggal dunia dan segala perkara khususnya melibatkan hutang-piutang yang ditinggalkan si mati dapat diselesaikan selain kebajikan anak-anak terjamin.
Umat Islam dituntut untuk mengurus dan membuat perancangan harta semasa hidup melalui penulisan wasiat di mana di dalam wasiat tersebut kita melantik pentadbir yang amanah untuk menguruskan urusan pentadbiran harta dan pengagihan harta pusaka kepada waris-waris kita.
Pengurusan harta Islam yang dibuat semasa hidup bukan sahaja dapat memudahkan proses pentadbiran sukar yang terpaksa dilalui oleh waris-waris. Langkah itu juga dapat mengelakkan sebarang masalah pada harta pusaka serta mengelakkan pertelingkahan di antara ahli keluarga atau waris-waris berebut harta si mati.
Melalui perancangan harta yang lengkap dan sempurna, kita dapat memastikan harta yang dikumpul semasa hidup dibahagikan kepada waris-waris tersayang. Pentadbir yang dilantik akan memastikan segala hutang-piutang dan hasrat kita dijelaskan dan kebajikan anak-anak bawah umur terbela.
Harta adalah amanah yang diberikan oleh Allah SWT untuk diuruskan dan tanggungjawab kita sebagai pengurus-pengurus harta bagi pihak pemilik sebenarnya iaitu Allah SWT, sepatutnya dilaksanakan sebaik mungkin. Kegagalan kita mengurus dan mentadbir dengan baik pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Norisah Ibrahim adalah Pakar Perancang Harta Pusaka Islam As Salihin Trustee Berhad dan boleh dihubungi menerusi e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.