Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan-cadangan tersebut telah dikemukakan untuk dilaksanakan oleh pihak kerajaan melalui jabatan-jabatan dan agensi berkaitan.
Katanya, cadangan-cadangan tersebut juga akan diperincikan terlebih dahulu oleh majlis berkenaan sebelum diketengahkan dalam ijtimak atau pertemuan besar-besaran melibatkan ketujuh-tujuh kluster yang akan dianjurkan kelak.
“Antaranya, kluster ekonomi memberi tumpuan kepada hal ehwal wakaf korporat dan juga beberapa aspek lain termasuk sistem halal global.
“Kluster pendidikan mengutarakan beberapa pemikiran dan perdebatan baharu dalam pendidikan Islam yang tidak terhad kepada pendidikan formal secara konvensional tetapi juga pendidikan kerohanian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Lab Panel Majlis Perundingan Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kluster perundangan Islam pula berpendapat, falsafah perundangan Islam seharusnya diwujudkan sebagai keselarian kepada sistem perundangan sedia ada.
Kata beliau, kluster tersebut juga menyarankan agar peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diperkukuhkan dengan adanya beberapa tokoh sesuai dalam kepimpinan Suhakam.
“Mereka turut menyarankan agar seminar falsafah perundangan Islam diadakan pada bulan Oktober kelak,” katanya.
Beliau memberitahu, kluster politik menyarankan kebersamaan antara parti politik pelbagai latar belakang dalam mengadakan satu acuan bersama dan mengetepikan perbezaan pegangan politik demi agama Islam.