Hari Ini 0

Seminggu 8

Sebulan 2

Jumlah 55852857

Harta

Maksudnya : Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu Dengan jalan Yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 06 Januari 2023, 10:10:17.

Mata Wang Kripto Global Pasca Bitcoin

Mata wang kripto global pasca bitcoin

Oleh Prof Datuk Dr Ahmad Hidayat Buang

SEJAK kegagalan bitcoin untuk bertahan sebagai pilihan kepada sistem pertukaran mata wang, minat kepada mata wang kripto seperti menurun apatah lagi dalam kalangan ahli perbankan Islam, berikutan fatwa yang melarang penggunaannya.

Masalah menimpa bitcoin dikatakan berpunca daripada ‘volatiliti’ (kemeruapan) yang tinggi. Akibatnya ramai pelabur atau pengguna mata wang berkenaan mengalami kerugian. Begitu juga kos tinggi untuk melombong mata wang berkenaan kerana jumlah ‘galiannya’ berkurangan.

Ini ditambah keengganan banyak regulator untuk memberi pengiktirafan kepada statusnya dan seterusnya menyebabkan kurangnya kerjasama daripada institusi kewangan tradisi untuk membabitkan bitcoin di dalam urus niaga mereka.

Namun, kemelesetan bitcoin tidak menjadikan inovasi mata wang kripto terutama penggunaan teknologi blockchain sesuatu yang ditolak pelabur. Malah ia dilihat peluang perniagaan menguntungkan pada masa hadapan.Ruang ditinggalkan bitcoin pada masa kini dipenuhi perniagaan e-wallet atau e-dompet. Perkhidmatan ditawarkan berkonsep hampir sama, iaitu kos murah dan mudah, serta bertindak sebagai pengantara antara penjual dengan pembeli melalui penggunaan teknologi atas talian terutama telefon pintar.Beza antara e-wallet daripada bitcoin ialah mata wang digunakan masih wang fiat dengan kerjasama institusi perbankan atau kewangan yang akan menyalurkan wang pengguna ke dalam akaun pengendali e-wallet (sungguhpun kini terdapat perkhidmatan e-wallet dibuat tanpa pembabitan sistem perbankan).Terdapat beberapa kritikan terhadap kesahihan atau keharusan e-wallet ini daripada perspektif hukum Syariah.

Sungguhpun diakui beberapa perkara boleh dipertikaikan terutama bagaimana wang disalurkan akan digunakan pengendali e-wallet, namun ini bukanlah masalah besar.Mengikut polisi perbankan Islam sedia ada di Malaysia, wang berkenaan boleh disifatkan sebagai qard atau hutang yang mana boleh dituntut pemberi pinjaman pada bila-bila masa.Cuma bezanya tuntutan dibuat itu bagi tujuan pembayaran bagi pihaknya. Asas kritikan pandangan berkenaan ialah memahami wang dipegang oleh pengendali e-wallet dianggap sebagai simpanan atau mungkin satu bentuk pelaburan. Oleh itu penggunaannya tertakluk kelulusan pemilik wang berkenaan.Dalam akad qard tiada sebarang keizinan diperlukan.

Tinggal lagi masalah kemudahan ditawarkan pengendali e-wallet apakah itu dianggap faedah yang dilarang?Bagi penulis itu adalah satu bentuk qardul hasan yang dibenarkan. Jika pun hujah ini tidak diterima, perkara ini perlu dilihat kepada kemaslahatan lebih besar iaitu memberi kemudahan kepada masyarakat dan tiada sebarang penipuan, penindasan dan kezaliman berlaku.Ini semua dasar dan asas utama Syariah Islam pada sesuatu perkara yang tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram melalui nas al-Quran dan as-Sunah.Perkembangan teknologi atas talian dan kepesatan perniagaan antarabangsa menyebabkan idea cuba dibawa bitcoin iaitu menawarkan sistem mata wang di luar sistem perbankan, tidak dapat diabaikan pelabur.Dengan mempelajari kegagalan bitcoin dan kejayaan atau populariti e-wallet terutama jenama seperti Alibaba dan WeChat menyebabkan terdapatnya usaha untuk mengembalikan idea bitcoin ini dalam bentuk baharu.Pada Jun lalu pengendali laman sosial Facebook mengumumkan akan melancarkan mata wang global kripto bernama Libra.

Bagi Facebook sudah sampai masanya mata wang global diwujudkan bagi tujuan perniagaan antarabangsa yang tidak dikawal institusi perbankan.Sudah tentu Facebook mempunyai kedudukan strategik dan kelebihan untuk melancarkan mata wang ini kerana mempunyai jumlah pemilik akaun dan pelawat yang ramai di seluruh dunia.Bagi mengelak masalah dihadapi bitcoin, mata wang baharu ini akan ditetapkan atau ditambat nilainya dengan mata wang antarabangsa sama ada dolar Amerika Syarikat (AS$) atau euro, serta bon kerajaan bagi mengelak kemeruapan.Seterusnya, bagi tujuan ketelusan tadbir urus, mata wang baharu Libra akan membabitkan banyak pihak sebagai pengasas bersama seperti syarikat kad kredit, syarikat perniagaan atas talian, syarikat telekomunikasi atau badan yang terbabit dengan perniagaan atau urusan wang dalam talian.

Langganan mata wang ini terbuka kepada semua yang mempunyai kemudahan dalam talian dan peranti telekomunikasi pintar atau komputer.Bagi menjadikan mata wang ini menarik, ia akan menawarkan kos atau fi lebih rendah daripada sistem perbankan serta dijamin keselamatannya melalui penggunaan teknologi blockchain.Mata wang kripto Libra dirancang pelancarannya pada pertengahan 2020. Adalah menarik untuk melihat reaksi dan respon ahli perbankan Islam terhadap mata wang baru ini kerana ia berbentuk disentralisasi dan tidak terikat mana-mana bank pusat.Ini antara sebab fatwa melarang penggunaan bitcoin. Adalah diharapkan fatwa atau resolusi yang akan dikeluarkan nanti bersifat positif dan membina.

Penulis adalah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademik Pengajian Islam Univerisiti Malaya (UM)

Cetak Emel

Diskusi Penyelidikan Isu-Isu Muamalat “Forex : Halal Atau Haram?”

Putrajaya – 24 Ogos 2022, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelidikan telah menganjurkan Webinar Diskusi Penyelidikan Isu-Isu Muamalat Siri 2/2022 yang memberi fokus kepada isu-isu terkini berkaitan Forex. Diskusi yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 11.00 pagi bertujuan untuk memberi maklumat dan kefahaman serta meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya umat Islam mengenai isu-isu Syariah yang berkaitan dengan Forex.Isu-isu Syariah ini telah dikupas secara terperinci oleh Tuan Haji Lokmanulhakim bin Hussain, Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam dan telah dihoskan oleh Ustaz Wan Rumaizi bin Wan Husin, yang juga seorang Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam.Diskusi ini telah disiarkan secara langsung melalui platform media sosial rasmi JAKIM iaitu Facebook My JAKIM/ Youtube JAKIM dan twitter.

 

Cetak Emel

MENYUNTIK NYAWA BARU PKS

UTUSAN MALAYSIA 26 JULAI 2019

KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) memudahkan pinjaman kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) bukanlah petanda bahawa sektor itu mengalami tempoh yang sukar sebelum ini. Sebaliknya, ia menunjukkan satu bentuk sokongan kerajaan terhadap PKS yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara.Dalam hal itu, Menteri Pembangunan Usahawan, DATUK SERI MOHD. REDZUAN YUSOF berkata, inisiatif berkenaan akan memberi impak positif kepada ekosistem PKS sekali gus memberi kesan baik kepada aliran tunai dan operasi perniagaan mereka.“PKS adalah komponen penting dalam ekonomi, mencakupi 98.5 peratus entiti perniagaan di Malaysia. Mereka menyumbang 37.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2017 dan menyumbang 66 peratus daripada tenaga kerja dan 17.3 peratus daripada eksport,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM baru-baru ini.

UTUSAN: Apakah isu-isu yang sedang membelenggu PKS ketika ini dan kesan yang dihadapi mereka akibat ketentuan ekonomi global?

MOHD. REDZUAN: Bukan hanya PKS, tetapi seluruh ekonomi global menghadapi masa yang mencabar. Terdapat beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan sektor ini iaitu:

Pertumbuhan teknologi yang begitu pantas.

Ini menyukarkan PKS untuk mengejarnya. Kebanyakan mereka tidak terlibat dalam aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) kerana pelaburan modalnya melebihi kemampuan selain menggunakan tenaga kerja tidak mahir menyebabkan mereka sukar bergerak ke dalam aktiviti tambah nilai yang lebih tinggi.

Tidak sepadan dengan pasaran modal

insanPara usahawan kebanyakannya enggan menghantar pekerja mereka untuk latihan kerana dikhuatiri boleh mengganggu dalam aktiviti kerja.Kebanyakan usahawan sukar untuk mengekalkan kesetiaan pekerja kerana tawaran ganjaran rendah dan faedah yang tidak kompetitif.

Akses pembiayaan

Usahawan perusahaan mikro terutamanya menghadapi cabaran untuk mendapatkan pembiayaan bank kerana kekangan  kelayakan kredit yang lemah, rekod kewangan yang tidak baik atau kekurangan daya saing perniagaan.

Akses pasaran

Di pasaran domestik, usahawan mempunyai akses terhad untuk mendapatkan perolehan kerajaan atau syarikat-syarikat besar kerana terdapat persepsi negatif bahawa produk dan perkhidmatan PKS adalah berkualiti rendah. Mereka juga kurang fokus dalam strategi pemasaran dan jenama sekali gus menyukarkan mereka untuk menjual produk dan perkhidmatan dalam jumlah banyak.Persekitaran undang-undang dan peraturan Cabaran usahawan masih berkisar soal pendaftaran perniagaan dan mendapatkan lesen dan permit selain kesukaran mematuhi peraturan-peraturan tertentu.Di samping itu, ada undang-undang tertentu yang menyekat pembentukan perniagaan dan pertumbuhan usahawan seperti Undang-undang Kebankrapan dan juga rejim cukai. Dengan prospek ekonomi yang tidak menentu, usahawan tempatan juga menghadapi cabaran kenaikan harga komoditi, kadar pertukaran, peningkatan perbelanjaan perniagaan dan perdagangan global yang perlahan. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global, namun ekonomi Malaysia masih diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih cepat sebanyak 4.9 peratus berbanding 4.8 peratus pada 2018.Berdasarkan kaji selidik 3Q 2018 SME Corp Malaysia baru-baru ini, kebanyakan PKS menjangkakan pertumbuhan perniagaan mereka pada tahun ini sebanyak 44 peratus dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.Selain itu, di bawah Bajet 2019, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM17.94 bilion yang akan memberi manfaat kepada PKS. Bajet ini sangat menyokong PKS dan dijangka akan terus meningkatkan prestasi perniagaan sektor itu yang merupakan enjin pertumbuhan penting bagi negara.

Apakah faktor-faktor kemerosotan pinjaman PKS?

Mengikut kajian SME Corp Malaysia juga mendapati antara sebab-sebabnya ialah masalah aliran tunai serta masalah pembayaran oleh penghutang yang diakui sebanyak 37.7 peratus responden dalam kajian itu. Sebanyak 69.8 peratus pula menyatakan ia disebabkan oleh kos perniagaan yang tinggi manakala 43.0 peratus disebabkan pembayaran lewat oleh pelanggan.Ia memberikan masalah lebih besar apabila pihak bank mengenakan kompaun kepada mereka tanpa memberikan kelonggaran yang sepadan. Selain itu, masalah aliran tunai juga berlaku disebabkan peningkatan kos pembiayaan dan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selain tekanan kadar pertukaran Ringgit yang lebih rendah.

Bagaimanakah Datuk melihat kelonggaran BNM ini membantu PKS?

Langkah untuk melonggarkan garis panduan pinjaman oleh BNM ini memberi kesan positif kepada ekosistem PKS. Di bawah garis panduan terdahulu, PKS yang membuat penjadualan semula pinjaman mereka akan diklasifikasikan sebagai terjejas di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS). Mereka juga tidak dapat memperoleh pendanaan lanjut walaupun perniagaan mereka berdaya maju. Ini seterusnya akan menjejaskan aliran tunai dan operasi perniagaan PKS.Oleh itu, melalui langkah ini, PKS yang menghadapi kesusahan sementara akan dapat memperoleh pembiayaan yang diperlukan dan meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa. Oleh itu, langkah ini amat penting dan proaktif dalam membantu PKS untuk terus bertahan meskipun menghadapi cabaran semasa terutama jika ia disebabkan oleh faktor luaran yang boleh menjejaskan kemampuan mereka untuk membayar balik pinjaman mereka.

Apakah langkah-langkah lain yang boleh dicadangkan kepada kerajaan untuk membantu PKS?

Kerajaan terus menyokong agenda jangka panjang bagi pembangunan PKS melalui pelaksanaan Pelan Induk PKS. Inisiatif sokongan lain termasuklah Dasar Keusahawanan Kebangsaan (DKN) yang baru dilancarkan. Ia turut memberi tumpuan dan galakan pembentukan perniagaan melalui pembudayaan keusahawanan terutamanya dalam kalangan belia dan wanita. Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan produktiviti PKS dengan menggalakkan peralihan ke arah automasi dan inovasi perniagaan.BNM boleh turun padang bertemu dengan para usahawan PKS mengenai garis panduan pinjaman ini serta moratarium yang dikenakan. Ini akan mewujudkan kesedaran kepada para usahawan yang memerlukan penjadualan semula pinjaman disebabkan oleh masalah aliran tunai sementara.

Apakah langkah baharu yang diperkenalkan kerajaan bagi pembiayaan alternatif PKS?

Kerajaan telah mengesahkan lapan langkah baharu bagi meningkatkan lagi pertumbuhan KDNK PKS termasuk mekanisme pembiayaan alternatif pada Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 April lalu.Di bawah langkah ini, kerajaan akan memperkenalkan program untuk memacu pertumbuhan pendanaan awam (equity crowdfunding), memperkenalkan mekanisme pembiayaan alternatif baharu seperti penyediaan pinjaman terbuka antara rakan setara atau Peer-to-Peer (P2P) selain menyesuaikan skim manfaat rebat oleh industri seperti aeroangkasa dan bioteknologi.Kerajaan juga menjalankan kajian analisis pembiayaan dana alternatif yang dilaksanakan negara lain untuk PKS bersaing serta meningkatkan produk dan mekanisme pembiayaan alternatif untuk PKS dengan kerjasama BNM, Suruhanjaya Sekuriti dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).Dengan langkah-langkah baharu ini, PKS digalakkan untuk memilih pembiayaan alternatif sebagai sumber pembiayaan.

Cetak Emel

FAHAMI PELABURAN DANA UNIT AMANAH

UTUSAN MALAYSIA : 26 JULAI 2019

KOLUM kali ini  membincangkan teknologi yang digelar Profesor Harvard Business School, Clayton M. Christensen sebagai disruptive technology (teknologi yang menimbulkan gangguan). Gangguan dimaksudkan di sini adalah bersifat positif terhadap individu yang mempunyai pengetahuan dan pandai menggunakan kemudahan berkenaan.Teknologi seperti ini akan memberikan satu pilihan baharu kepada orang ramai yang sudah sekian lama biasa dengan kaedah lama. Platform elektronik Skim Pelaburan Ahli (SPA) atau lebih dikenali sebagai e-SPA yang bakal diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada bulan depan adalah contoh teknologi atau perkhidmatan sedemikian.SPA yang sebelum ini menggunakan kaedah manual memberi opsyen kepada pencarum untuk melabur sebahagian simpanan dalam Akaun 1 KWSP dalam dana-dana unit amanah atau menerusi mandat persendirian (membuat pelaburan saham di Bursa Malaysia)  yang diuruskan oleh institusi pengurusan dana (IPD) dilantik.

Berdasarkan umur mereka, ahli boleh memindah keluar daripada Akaun 1 KWSP sehingga 30 peratus daripada amaun yang melebihi simpanan asas yang akan dilaburkan dalam dana-dana berkelayakan.Sama seperti SPA, pencarum yang menggunakan e-SPA perlu sedar akan risiko pelaburan dalam dana unit amanah. Ahli bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaburan yang dibuat dan KWSP tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian.Mereka juga perlu memahami e-SPA hanyalah satu pilihan saluran pelaburan dan bukan paksaan. Kaedah lama melalui ejen tetap diteruskan.EFISIEN, MUDAH DAN MENJIMATKAN KOSTeknologi baharu yang bakal diperkenalkan ini adalah lebih efisien, senang digunakan dan menjimatkan kos. Ia adalah sama dengan beberapa disruptive technology lain yang telah diperkenalkan KWSP sebelum ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada transaksi kaunter dan urusan secara manual. Pembaharuan yang telah dibuat termasuk kios layan diri, laman web khusus untuk ahli dan majikan serta servis elektronik sepenuhnya menerusi i-Akaun.Pengenalan teknologi baharu itu sudah tentu akan memudahkan kira-kira sejuta pencarum yang kini telah menggunakan SPA secara manual. Untuk rekod sehingga September 2018, KWSP mempunyai 14.09 juta pencarum.KWSP diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias yang dilantik menjawat jawatan itu sejak Ogos tahun lalu. Beliau bukanlah asing kepada organisasi itu kerana sebelum ini telah berkhidmat sebagai Timbalan CEO (Strategi) sejak 2014.Beliau yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Cornell University dan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari King’s College, University of London bertanggungjawab ke atas keseluruhan operasi KWSP termasuk memberikan panduan dan nasihat serta kepemimpinan kepada pasukan pengurusan kanan bagi memastikan strategi dan dasar organisasi dipenuhi.KWSP juga mempunyai piagam pelanggan yang memaparkan janji organisasi itu untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan adalah terbaik dan pantas. Berikut adalah lima manfaat e-SPA:

1. FleksibelPlatform e-SPA membolehkan pelaburan dibuat di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Ini kerana platform berkenaan juga boleh diakses dari luar negara dan sentiasa tersedia selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.Kaedah lama hanya membenarkan pencarum melabur dalam satu IPD sahaja pada setiap tiga bulan manakala melalui e-SPA, jumlah itu adalah lebih banyak asalkan wang yang dilaburkan tidak melebihi 30 peratus daripada amaun yang melebihi simpanan asas.

2. Menjimatkan kosCaj yang akan dikenakan oleh pengurus dana adalah sehingga maksimum 0.5 peratus sahaja berbanding pelaburan menerusi kaedah manual melalui ejen yang mengenakan caj sehingga tiga peratus. Jumlah itu adalah satu penjimatan yang cukup banyak jika jumlah pelaburan adalah tinggi.

3. Paparan yang menyeluruhMaklumat prestasi 382 dana diuruskan oleh 23 IPD yang diluluskan oleh KWSP boleh dilihat menerusi e-SPA sekali gus memudahkan pencarum tanpa perlu melayari laman web setiap institusi berkenaan. Maklumat tersebut disediakan oleh penyedia maklumat kewangan antarabangsa, Lipper.Kemudahan itu akan memudahkan pencarum memantau prestasi dana-dana unit amanah yang dibeli mereka dan membuat keputusan untuk menjual atau terus mengekalkannya.Maklumat yang dipaparkan dalam bentuk grafik dan carta  memudahkan pencarum membandingkan prestasi antara satu dana dengan dana lain serta membuat keputusan pelaburan berdasarkan keperluan dan selera masing-masing.4. Pantas dan mengikut masa nyataSemua transaksi menerusi e-SPA akan dipastikan selamat dan dapat diproses dengan pantas kerana tidak perlu lagi melalui ejen. Transaksi berkenaan akan dibuat secara maya tanpa menggunakan kertas.5. Bermanfaat kepada pencarum melebihi usia 55 tahunIndividu yang telah bersara masih boleh melabur melalui e-SPA yang mengenakan caj cukup rendah berbanding menggunakan perkhidmatan ejen. Ini selaras dengan trend semasa apabila individu yang mencapai usia 55 tahun tidak mengeluarkan wang mereka daripada KWSP secara sekali gus sebaliknya memilih untuk membuat pengeluaran dengan beransur-ansur.

 

Cetak Emel