Hari Ini 0

Seminggu 14

Sebulan 106

Jumlah 55851995

Nazar

Maksudnya : "Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu". Surah al-Hajj 22 : 29

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 02 September 2022, 12:33:52.
  • Jurnal
  • banner sample1
  • Forex Halal Atau Haram

Paparan Al-Quran & Al-Hadis

Memutuskan Janji

Maksudnya : (Mereka dibiarkan menuduh Dengan Yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka Dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang Yang mereka sesatkan Dengan tidak...

+ Lagi

Mata Wang Kripto Global Pasca Bitcoin

Mata wang kripto global pasca bitcoin

Oleh Prof Datuk Dr Ahmad Hidayat Buang

SEJAK kegagalan bitcoin untuk bertahan sebagai pilihan kepada sistem pertukaran mata wang, minat kepada mata wang kripto seperti menurun apatah lagi dalam kalangan ahli perbankan Islam, berikutan fatwa yang melarang penggunaannya.

Masalah menimpa bitcoin dikatakan berpunca daripada ‘volatiliti’ (kemeruapan) yang tinggi. Akibatnya ramai pelabur atau pengguna mata wang berkenaan mengalami kerugian. Begitu juga kos tinggi untuk melombong mata wang berkenaan kerana jumlah ‘galiannya’ berkurangan.

Ini ditambah keengganan banyak regulator untuk memberi pengiktirafan kepada statusnya dan seterusnya menyebabkan kurangnya kerjasama daripada institusi kewangan tradisi untuk membabitkan bitcoin di dalam urus niaga mereka.

Namun, kemelesetan bitcoin tidak menjadikan inovasi mata wang kripto terutama penggunaan teknologi blockchain sesuatu yang ditolak pelabur. Malah ia dilihat peluang perniagaan menguntungkan pada masa hadapan.Ruang ditinggalkan bitcoin pada masa kini dipenuhi perniagaan e-wallet atau e-dompet. Perkhidmatan ditawarkan berkonsep hampir sama, iaitu kos murah dan mudah, serta bertindak sebagai pengantara antara penjual dengan pembeli melalui penggunaan teknologi atas talian terutama telefon pintar.Beza antara e-wallet daripada bitcoin ialah mata wang digunakan masih wang fiat dengan kerjasama institusi perbankan atau kewangan yang akan menyalurkan wang pengguna ke dalam akaun pengendali e-wallet (sungguhpun kini terdapat perkhidmatan e-wallet dibuat tanpa pembabitan sistem perbankan).Terdapat beberapa kritikan terhadap kesahihan atau keharusan e-wallet ini daripada perspektif hukum Syariah.

Sungguhpun diakui beberapa perkara boleh dipertikaikan terutama bagaimana wang disalurkan akan digunakan pengendali e-wallet, namun ini bukanlah masalah besar.Mengikut polisi perbankan Islam sedia ada di Malaysia, wang berkenaan boleh disifatkan sebagai qard atau hutang yang mana boleh dituntut pemberi pinjaman pada bila-bila masa.Cuma bezanya tuntutan dibuat itu bagi tujuan pembayaran bagi pihaknya. Asas kritikan pandangan berkenaan ialah memahami wang dipegang oleh pengendali e-wallet dianggap sebagai simpanan atau mungkin satu bentuk pelaburan. Oleh itu penggunaannya tertakluk kelulusan pemilik wang berkenaan.Dalam akad qard tiada sebarang keizinan diperlukan.

Tinggal lagi masalah kemudahan ditawarkan pengendali e-wallet apakah itu dianggap faedah yang dilarang?Bagi penulis itu adalah satu bentuk qardul hasan yang dibenarkan. Jika pun hujah ini tidak diterima, perkara ini perlu dilihat kepada kemaslahatan lebih besar iaitu memberi kemudahan kepada masyarakat dan tiada sebarang penipuan, penindasan dan kezaliman berlaku.Ini semua dasar dan asas utama Syariah Islam pada sesuatu perkara yang tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram melalui nas al-Quran dan as-Sunah.Perkembangan teknologi atas talian dan kepesatan perniagaan antarabangsa menyebabkan idea cuba dibawa bitcoin iaitu menawarkan sistem mata wang di luar sistem perbankan, tidak dapat diabaikan pelabur.Dengan mempelajari kegagalan bitcoin dan kejayaan atau populariti e-wallet terutama jenama seperti Alibaba dan WeChat menyebabkan terdapatnya usaha untuk mengembalikan idea bitcoin ini dalam bentuk baharu.Pada Jun lalu pengendali laman sosial Facebook mengumumkan akan melancarkan mata wang global kripto bernama Libra.

Bagi Facebook sudah sampai masanya mata wang global diwujudkan bagi tujuan perniagaan antarabangsa yang tidak dikawal institusi perbankan.Sudah tentu Facebook mempunyai kedudukan strategik dan kelebihan untuk melancarkan mata wang ini kerana mempunyai jumlah pemilik akaun dan pelawat yang ramai di seluruh dunia.Bagi mengelak masalah dihadapi bitcoin, mata wang baharu ini akan ditetapkan atau ditambat nilainya dengan mata wang antarabangsa sama ada dolar Amerika Syarikat (AS$) atau euro, serta bon kerajaan bagi mengelak kemeruapan.Seterusnya, bagi tujuan ketelusan tadbir urus, mata wang baharu Libra akan membabitkan banyak pihak sebagai pengasas bersama seperti syarikat kad kredit, syarikat perniagaan atas talian, syarikat telekomunikasi atau badan yang terbabit dengan perniagaan atau urusan wang dalam talian.

Langganan mata wang ini terbuka kepada semua yang mempunyai kemudahan dalam talian dan peranti telekomunikasi pintar atau komputer.Bagi menjadikan mata wang ini menarik, ia akan menawarkan kos atau fi lebih rendah daripada sistem perbankan serta dijamin keselamatannya melalui penggunaan teknologi blockchain.Mata wang kripto Libra dirancang pelancarannya pada pertengahan 2020. Adalah menarik untuk melihat reaksi dan respon ahli perbankan Islam terhadap mata wang baru ini kerana ia berbentuk disentralisasi dan tidak terikat mana-mana bank pusat.Ini antara sebab fatwa melarang penggunaan bitcoin. Adalah diharapkan fatwa atau resolusi yang akan dikeluarkan nanti bersifat positif dan membina.

Penulis adalah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademik Pengajian Islam Univerisiti Malaya (UM)

Cetak Emel

MUZAKARAH AHLI PENASIHAT SYARIAH INSTITUSI KEWANGAN DI MALAYSIA KALI KE-15

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Penyelidikan, Jakim dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) dan Persatuan Penasihat Syariah bagi Kewangan Islam Malaysia (ASAS) telah berjaya menganjurkan Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia Kali ke-15 pada 17 hb.Oktober 2019  (Khamis) bertempat  Mesmera Ballroom ,The Everly Putrajaya.

Muzakarah ini telah dihadiri seramai 170 orang peserta yang terdiri daripada Ahli Panel Penasihat Syariah, Eksekutif Syariah di institusi kewangan dan takaful, pegawai-pegawai kerajaan, pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti seluruh Malaysia dan ahli-ahli akademik.Muzakarah yang dianjurkan pada kali ini bertemakan “Rejuvinasi Fiqh Muamalat Dalam Era Ekonomi Digital Pematuhan Syariah digagaskan bagi mencapai objektif seperti berikut: Mendapatkan cadangan dan ulasan pakar serta strategi berkesan dan realistik dalam mengawal selia skim-skim pelaburan yang ditawarkan oleh institusi bukan di bawah  kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC); Membincangkan tajuk-tajuk terpilih berkaitan isu-isu syariah yang terlibat dalam skim-skim pelaburan masa ini serta berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu syariah; dan Medan perbincangan antara penasihat syariah institusi kewangan di Malaysia dalam usaha membantu Jakim untuk memberi penerangan kepada masyarakat awam berkaitan isu-isu pelaburan pada masa ini.

Majlis perasmian muzakarah ini telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Puan Hajjah Fuziah Binti Salleh . Pengerusi Muzakarah YBhg. Prof. Dr. Ashraf bin Md. Hashim dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar ,Puan Hajjah Hakimah binti Mohamad Yusoff.

Menerusi muzakarah ini sebanyak tiga  kertas kerja telah dibentangkan. Pembentang kertas kerja pertama dengan tajuk “Interpretasi Pembahagian Harta Pusaka dan Hibah Menurut Syariah:Pendekatan yang Praktikal dan Implikasi Hukum”,kertas kerja yang kedua pula bertajuk struktur dan Pengawalseliaan e- wallet dan kertas yang terakhir adalah Penggunaan e wallet mengikut perspektif syarak :Satu Penilaian Awal.Muzakarah diakhiri dengan bacaan rumusan muzakarah yang disampaikan oleh YBrs.Puan Nor Safina binti Zainal , Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan, Jakim manakala, ucapan penutupan muzakarah disempurnakan oleh Ybhg Puan Hajjah Hakimah binti Mohamad Yusoff  ,Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM.

 

Cetak Emel

Cukai bantu ekonomi negara/kosmo 26 jun 2019

Salah seorang pengasas Amerika Syarikat, Benjamin Franklin dalam suratnya kepada saintis Perancis, Jean-Baptiste Leroy menyatakan bahawa tiada di dalam dunia ini yang pasti, kecuali mati dan cukai.Cukai dilaksanakan untuk memenuhi perbelanjaan bagi keperluan kerajaan, rakyat dan negara.Pada masa ini, struktur percukaian negara menetapkan golongan yang dikenakan cukai terdiri daripada perbadanan dan perseorangan, individu, pengeksport dan pengimport, pengilang dan penjudi.

Hasil Kerajaan Persekutuan antara lain turut disumbangkan oleh hasil cukai langsung, seperti Cukai Korporat, Pendapatan Individu serta Keuntungan dan Duti Setem, yang ditadbir dan dipungut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.Sementara cukai tidak langsung yang di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia merangkumi Duti Kastam dan Eksais, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta Levi Keuntungan Luar Biasa.SST bukan merupakan sistem percukaian baharu di Malaysia, malah dilaksanakan sejak tahun 1970-an sebelum digantikan dengan GST yang berkuat kuasa pada 1 April 2015 bagi menangani kelemahan yang wujud dalam sistem sebelumnya.Ia termasuk kesan cukai bertindih atau berganda, pemindahan harga dan nilai, tidak menggalakkan integrasi menegak, kerenah birokrasi dan isu-isu klasifikasi. Namun demikian, rejim percukaian negara sekali lagi akan mengalami perubahan dengan pemansuhan GST kepada SST, berkuat kuasa 1 September ini.Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusof Saari menegaskan, ekoran pengumuman mengenai pelaksanaan semula SST, terdapat kekeliruan dan salah tafsir mengenai GST yang memerlukan penjelasan.“Secara teknikal, cukai GST adalah lebih murah berbanding SST kerana ia dikenakan ke atas nilai tambah atau bahasa mudahnya, margin keuntungan setiap rantaian bekalan.“Walaupun ia dikenakan pada setiap rantaian bekalan, ia lebih kecil kerana dikenakan pada penjanaan nilai ditambah, sementara SST pula adalah cukai yang dikenakan ke atas harga jualan barangan akhir barangan,” ujarnya.Beliau menambah, apabila kos pengeluaran lebih rendah, harga barangan cenderung untuk turun.“Secara praktikalnya, penurunan harga tidak berlaku selepas tiga tahun pelaksanaan GST,” ujarnya.Mohd. Yusof menjelaskan, kajian menunjukkan terdapat empat faktor mengapa harga terus meningkat selepas pelaksanaan GST.“Pertama, kadar kepatuhan firma kepada sistem GST masih rendah, malah tidak sampai 50 peratus daripada perniagaan yang mendaftar di bawah sistem berkenaan sedangkan andaian yang digunakan bila GST dilaksanakan adalah kepatuhan 100 peratus.“Kedua, penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berwajib menyebabkan manipulasi harga di pasaran dan ketiga, pemahaman terhadap GST yang masih rendah oleh firma, pengguna dan pihak berwajib,” katanya.Faktor keempat, beliau berkata, faktor tekanan harga bukan GST seperti kadar mata wang ringgit yang lemah menyebabkan import barangan menjadi mahal, upah minimum yang meningkatkan kos buruh dan struktur pasaran yang bersifat monopoli.“Faktor pertama hingga ketiga tidak lagi relevan apabila GST dihapuskan tetapi faktor keempat masih relevan.“Impak ke atas harga akibat penghapusan GST mungkin tidak terkesan ataupun hanya minimum kerana pengeluar masih terbeban oleh peningkatan kos pengeluaran akibat kos import bahan mentah dan buruh.“Malah, rakyat dapat melihat walaupun tiada sebarang cukai dikenakan, sama ada GST mahupun SST, pada masa ini, harga barangan di pasaran tidak menunjukkan trend yang menurun,” katanya.Oleh itu, Mohd. Yusof menekankan bahawa menganggap GST sebagai punca kenaikan harga adalah tidak tepat.

Cetak Emel

Zakat fitrah RM21 seorang?

BERBEZA berdasarkan keputusan jawatankuasa fatwa setiap negeri, kadar bayaran zakat fitrah ditentukan mengikut makanan asasi sesebuah negara daripada jenis yang mengenyangkan.

Dalam konteks di negara ini, zakat fitrah dinilai menerusi harga beras dan di Selangor misalnya kadar zakat ditetapkan RM7 seorang. Persoalannya bagaimana pula sekiranya seseorang itu menggunakan beras yang lebih mahal daripada kadar beras ditetapkan?

Menjawab persoalan tersebut, Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil menggalakkan orang ramai membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan. Nilai tersebut adalah RM7, RM14 dan RM21 bagi seorang.

Berikut temu bual bersama Ketua Divisyen Penyelidikan Dan Pusat Kecemerlangan, LZS, Dr. Adibah Abd. Wahab mengulas keperluan kempen yang dijalankan, di samping dalil pensyariatannya mengikut pandangan Islam.

Mimbar: Adakah pelaksanaan ini merupakan fatwa baharu yang diperkenal?

Adibah: Amalan ini bukan baharu, ia dilaksanakan sebelum ini bukan sahaja di Selangor, tetapi beberapa negeri di Malaysia mengikut pusat pungutan zakat masing-masing.

Tetapi pelaksanaannya sebelum ini lebih kepada kesedaran individu. Namun, pada tahun ini, kita memikirkan perlunya usaha untuk menggalakkan umat Islam membayar zakat fitrah mengikut beras yang dimakan supaya amalan zakat fitrah mereka lebih sempurna dan tepat.

Apakah hukum dan dalil terhadap pensyariatannya?

Zakat wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam yang cukup syarat. Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 12 Disember 2017 menetapkan kadar umum dan minimum zakat fitrah pada tahun ini ialah RM7.

Namun kadar bayaran mengikut harga beras yang dimakan ini hukumnya sunat. Tidak menjadi masalah walaupun kita menggunakan beras yang mahal untuk membayar mengikut nilai minimum iaitu RM7, begitu juga sebaliknya.

“Daripada Abi Said al-Khudri r.a., sesungguhnya kami pada zaman Rasulullah SAW memberinya (membayar zakat fitrah) satu sha’ daripada makanan yang dimakan, satu sha’ daripada kurma.” - Riwayat Bukhari.

Apakah keperluan membayar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan ini?

Kita dituntut untuk melakukan ibadah secara yang terbaik apatah lagi ketika melaksanakan ibadah wajib seperti zakat fitrah.

Melebihkan bayaran zakat fitrah adalah sunat dan lebih afdal (lebih baik) yang akan dikurniakan oleh Allah dengan ganjaran berlipat kali ganda apatah lagi pada bulan Ramadan yang dijanjikan kerahmatan dan keberkatan.

Amalan ini juga merupakan satu peluang untuk mencantikkan amalan wajib selain sedekah sunat yang turut dilaksanakan.

Bagaimanakah kadar pengiraan bayaran zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini?

Kadarnya ialah satu sha’ (gantang) makanan asasi iaitu jika di Malaysia ialah beras. Satu gantang Baghdad menyamai 2.6 kilogram. Maka kadar fitrah ditentukan dengan mengambil 2.6 kilogram dan didarabkan dengan harga beras yang dimakan.

Namun, sebagai panduan dan memudahkan pembayar, kita menentukan kadar mengikut kategori beras. Ia berdasarkan harga beras yang dikeluarkan oleh pihak berwajib mengikut harga semasa.

Bagi sesiapa yang menggunakan beras berharga RM2.60 sekilogram, kadar zakat fitrahnya ialah RM7 dan bagi orang ramai yang menggunakan beras lebih mahal iaitu berharga RM2.60 sehingga RM8.80 sekilogram, mereka digalakkan membayar zakat fitrah pada kadar RM14 seorang, manakala bagi yang menggunakan harga beras berharga RM8.80 dan ke atas mereka digalakkan membayar fitrah pada kadar RM21 bagi seorang.

Kelebihan terhadap individu yang melebihkan membayar zakat atau mengikut harga beras dimakan?

Zakat adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan untuk menguji keimanan setiap hamba. Andai kata kita menjadi pemurah dan mampu memberikan lebih atau mengikut harga beras yang dimakan, itu menunjukkan kita berjaya mengikis penyakit kedekut atau bakhil dalam diri.

Rasulullah menggalakkan kita melipatgandakan kebaikan pada bulan Ramadan kerana amalan menunaikan ibadah fardu dalam bulan mulia ini akan digandakan oleh Allah sebanyak 70 kali, manakala amalan sunat akan menerima ganjaran ibadah wajib.

Selain itu, pembayaran zakat ini dapat menyucikan harta dan membawa keberkatan dalam hidup. Banyak harta tidak semestinya bahagia dan sedikit tidak semestinya tidak mencukupi. Itulah keberkatan yang perlu kita cari.

Kemudahan yang disediakan LZS untuk umat Islam membuat pembayaran zakat?

LZS melantik seramai 2,760 penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini. Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat di 27 cawangan LZS di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang.Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui penolong amil institut pengajian tinggi (IPT) di 14 IPT seluruh Selangor.

Kesemua cawangan LZS beroperasi tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan. Ini bagi memudahkan masyarakat mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.

Orang ramai juga boleh membuat pembayaran menerusi dalam talian dengan melayari laman web rasmi LZS, pembayaran kad kredit dan menerusi perbankan dalam talian.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/zakat-fitrah-rm21-seorang-1.681934#ixzz5HQVKPUop © Utusan Melayu (M) Bhd

Cetak Emel

  • 1
  • 2

Pengumuman

002 demostration

Keratan Media

003 newspaper
[+ LAGI]