Keratan Media

Keratan Media

Perkukuh tadbir urus projek pendanaan awam elak penyelewengan


Oleh : Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin

Oleh Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin - Jun 26, 2024 @ 8:31am

MUTAKHIR ini, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan beberapa isu pendanaan awam atau crowdfunding. Isu ini hangat diperkatakan berikutan pembabitan pempengaruh dalam mempromosi sejumlah projek kebajikan melalui platform pendanaan awam untuk mengutip derma daripada masyarakat bagi membiayai projek kebajikan.

Namun, beberapa persoalan mula timbul terutama membabitkan aspek pengurusan dana awam ini termasuk keabsahan dari sudut undang-undang, ketelusan maklumat dan pelaporan dana serta pemantauan dan keberkesanan projek kebajikan itu sendiri.

Secara umumnya, pendanaan awam merujuk kepada kaedah pengumpulan dana awam berasaskan internet membabitkan sumbangan dalam talian.

Kebiasaannya, dana disumbangkan adalah dalam jumlah kecil dari individu, namun membabitkan bilangan orang yang ramai. Projek pendanaan awam selalunya mempunyai sasaran jumlah sumbangan berdasarkan satu tempoh ditetapkan bagi mencapai tujuan khusus terutama melaksanakan aktiviti kebajikan.

 

Pendanaan awam membabitkan empat pihak utama iaitu penyumbang, platform, penerima manfaat dan pengurus projek. Penyumbang adalah masyarakat memberikan derma, manakala platform pendanaan awam bertindak selaku orang tengah mengumpulkan serta menyalurkan dana.

Penerima manfaat pula terdiri daripada individu atau organisasi mendapat hasil daripada pelaksanaan projek pendanaan awam dibuat. Akhirnya, pengurus projek merujuk kepada mereka menggunakan dana awam diperoleh untuk merealisasikan tujuan atau objektif sesebuah projek.

 

Terdapat empat jenis model pendanaan awam biasanya diamalkan di seluruh dunia. Pertama, berasaskan sumbangan atau derma dengan penyumbang tidak menerima sebarang pulangan daripada sumbangan dilakukan. Kedua, berasaskan pinjaman iaitu penyumbang biasanya menerima pulangan dalam bentuk faedah atau keuntungan hasil projek dibiayai pendanaan awam.

Ketiga, berasaskan ganjaran yang mana penyumbang akan ditawarkan ganjaran terkait dengan produk atau perkhidmatan hasil daripada pembiayaan dibuat. Keempat, berasaskan ekuiti iaitu penyumbang akan memperoleh pulangan dalam bentuk ekuiti pemilikan, dividen atau hak dalam mana-mana projek pendanaan awam dibiayai.

Dalam konteks Malaysia, satu garis panduan pendanaan awam dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (EC) pada 2015 membabitkan pendanaan awam berasaskan ekuiti dan pinjaman.

Melalui Malaysia Co-investment Fund (MyCIF), sejumlah 54,695 projek pendanaan awam dibuat membabitkan sejumlah RM3.82 bilion dana swasta, memberi manfaat kepada lebih 6,328 perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Sehingga kini, terdapat 20 entiti didaftarkan secara sah di bawah dua model pendanaan awam berasaskan ekuiti dan pinjaman.

Bagaimanapun, model pendanaan awam berasaskan sumbangan sehingga kini masih tidak mempunyai sebarang garis panduan atau undang-undang khusus untuk mengawal dan memantau sumbangan awam terhadap aktiviti atau projek di bawah model pendanaan awam.

Begitu juga dengan pendanaan awam Islam, tiada sebarang kerangka atau garis panduan khusus bagi mengenal pasti dan mengawal selia platform terbabit dengan aktiviti berunsurkan agama Islam atau aliran dana kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf, sedekah dan infak.

Pendedahan maklumat tidak menyeluruh

Daripada aspek pengurusan kewangan, antara kelemahan ketara dalam pengurusan pendanaan awam berasaskan sumbangan adalah apabila pelaporan dan pendedahan maklumat kewangan mengenai sesebuah projek tidak dibuat secara menyeluruh.

Kebiasaannya, maklumat boleh didapati secara umum adalah terhad kepada sasaran kutipan serta jumlah kutipan dana semasa. Perincian mengenai penggunaan dan perbelanjaan dana awam ini kebiasaannya tidak disertakan, menyebabkan timbul persoalan sejauh manakah dana ini diagihkan dan dimanfaatkan.

Tanpa kawal selia dan maklumat mencukupi, ia boleh menjerumuskan kepada risiko penyelewengan dan salah guna dana awam. Selain itu, dari sudut pematuhan syariah, ketiadaan kontrak syariah dan akad jelas bagi sesetengah projek pendanaan awam Islam juga menimbulkan keraguan sejauh manakah tahap kepatuhan syariah dilaksanakan oleh platform pendanaan awam Islam.

Ini termasuklah pemantauan dan kawal selia dalam menjamin kepatuhan syariah terhadap aktiviti serta projek pendanaan awam dijalankan.

Dalam hal ini, pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan EC perlu segera membangunkan satu standard, kerangka atau garis panduan bagi pendanaan awam berasaskan sumbangan.

Ini termasuk kerangka dan panduan berkaitan tadbir urus, pengurusan kewangan dengan menyenaraikan peranan dan tanggungjawab semua pihak berkaitan termasuk lembaga pemegang amanah, pengurusan platform pendanaan awam, pengurus projek serta pihak berkuasa.

Bagi platform pendanaan awam Islam pula, perlu diwujudkan satu kriteria khusus untuk mengenal pasti dan mengiktiraf sesebuah platform oleh pihak berkuasa. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu menyediakan satu garis panduan berkenaan metodologi penapisan syariah untuk memastikan setiap projek pendanaan awam ditawarkan selaras prinsip syariah.

Bagi pengurus platform pendanaan awam berasaskan sumbangan, adalah disyorkan untuk mendedahkan lebih banyak maklumat kewangan mengenai organisasi menaungi platform termasuklah laporan kewangan tahunan diaudit, latar belakang organisasi dan tadbir urus platform, kontrak syariah digunakan serta butiran kos bagi setiap projek dijalankan.

Tambahan pula, selain maklumat mengenai jumlah kutipan sumbangan diterima secara nyata, turut digalakkan untuk menyediakan maklumat lain berkenaan projek pendanaan awam termasuk maklumat penerima manfaat serta hasil dan kesan pelaksanaan projek pendanaan awam dijalankan.

Justeru, sudah tiba masanya pihak berkuasa memainkan peranan penting dalam memantau dan mengawal selia aktiviti pendanaan awam terutama bagi model pendanaan awam berasaskan sumbangan.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri, Universiti Sains Islam Malaysia

 

https://www.bharian.com.my/

Pautan Penuh : https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2024/06/1263423/perkukuh-tadbir-urus-projek-pendanaan-awam-elak-penyelewengan

Diterbitkan pada : 02-07-2024
Hits : 17