Keratan Media

Keratan Media

Rangka kerja ESG-i bimbing PKS patuh syariah


Oleh : Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) melancarkan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus Islam (ESG-i) yang pertama di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, rangka kerja ESG-I bertujuan untuk membimbing perniagaan tempatan, terutamanya pemula perniagaan dan Perusahaan Mikro, Kecil, Sederhana (PKS) mematuhi objektif Maqasid Syariah serta piawaian etika pelaburan.

Menurutnya, ESG-I framework yang dilancarkan juga menggunakan kerangka Maqasid Syariah.

"Kerangka maqasid Syariah untuk perlindungan ataupun pemeliharaan daripada aspek akal, diri, harta, agama dan sebagainya.

"Jadi saya rasa ini merupakan satu pendekatan yang terbaik dan boleh menarik ramai pelabur," katanya selepas merasmikan Pelancaran Kertas Kajian ISRA: Rangka Kerja Penilaian ESG-Islam untuk PKS di Forum Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini, pada Khamis.

Beliau menambah,melalui rangka kerja tersebut, perniagaan yang dijalankan perlu mematuhi parameter utama iaitu manusia, planet, keuntungan dan juga prinsip.

Universiti INCEIF, melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, akan bekerjasama dengan Ficus Capital untuk mendapatkan maklum balas dan idea daripada pelbagai pihak berkepentingan, dalam membangunkan Rangka Kerja ESG-i tersebut.

Pautan Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/667597/berita/nasional/rangka-kerja-esg-i-bimbing-pks-patuh-syariah

Diterbitkan pada : 31-05-2024
Hits : 8