Keratan Media

Keratan Media

30 peratus terdedah kepada penipuan - Kaji selidik SC


Oleh : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Tinjauan Pelabur Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang diterbitkan di laman webnya menunjukkan bahawa 30 peratus atau 384 daripada 1,302 responden lebih terdedah kepada penipuan.

Dalam satu kenyataan, SC berkata, kajian berkenaan turut menunjukkan bahawa kumpulan yang terdedah itu bergantung kepada keluarga dan rakan untuk membuat keputusan pelaburan.

"Mereka juga melabur dalam skim tanpa pengesahan maklumat yang diberikan dan mudah dipengaruhi oleh individu yang tidak berlesen dan tidak berkelayakan.

"Penemuan ini memberi bayangan atas peningkatan kesediaan pelabur untuk didedahkan kepada peluang pelaburan dan untuk melabur tanpa memahami risiko sepenuhnya.

"Ia menunjukkan jurang yang kritikal dalam celik pelaburan dan mengenai tahap kerentanan terhadap penipuan, dengan pelabur lebih cenderung menjadi mangsa skim penipuan," katanya.

Menyedari perkara itu SC awal tahun ini memperkenalkan fungsi Semak Sebelum Labur (Investment Checker) di laman web rasminya untuk membantu pelabur mengesahkan kesahihan entiti pelaburan dan membuat keputusan pelaburan yang termaklum.

Laman Semak Sebelum Labur berfungsi sebagai pusat sehenti untuk orang ramai menyemak dan mengesahkan kesahihan entiti dan individu yang menawarkan peluang pelaburan.

Sejak dilancarkan, laman berkenaan menjadi antara yang paling kerap dikunjungi, dengan lebih 25,000 lawatan setakat ini.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek, turut memberi amaran kepada orang ramai mengenai penipu (scammers) yang kerap menggunakan label 'patuh syariah' atau nama pempengaruh untuk memberi kepercayaan dan kesahihan kepada skim mereka, terutamanya kepada pelabur beragama Islam.

"Malah, mereka juga cukup berani menyalahgunakan nama agensi seperti SC, Bank Negara Malaysia (BNM), pengantara berlesen, serta selebriti tempatan dan pemimpin agama.

"Orang ramai harus sedar bahawa hanya kerana sesuatu produk itu dikatakan patuh syariah atau dikaitkan dengan individu berprofil tinggi tidak bermakna produk itu bagus dan modal atau pulangannya terjamin," katanya.

Sementara itu, SC akan melangsungkan pameran pendidikan pelabur tahunannya Bersama InvestSmart@Johor 2024 pada hujung minggu ini.

Penganjuran pameran berkenaan menjadi sebahagian daripada usahanya untuk terus memperkasakan pelabur dengan pengetahuan pelaburan yang tepat.

Acara yang berlangsung selama tiga hari itu, bermula hari ini di Pusat Pameran Mid Valley, pusat beli-belah Mid Valley SouthKey, Johor Bahru itu bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai pelaburan dan mempromosikan celik kewangan.

Bertemakan 'Bijak Labur Hidup Makmur', acara itu menampilkan 38 peserta pameran terdiri daripada firma kewangan dan pasaran modal, persatuan industri serta agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Lebih 11,000 pengunjung dijangka menghadiri Bersama Investsmart@Johor, yang turut menampilkan ceramah umum dan perbincangan panel oleh pakar kewangan dan pasaran modal.

Berucap pada majlis perasmian, Awang Adek berkata, Johor menjadi lokasi terbaik untuk Bersama InvestSmart tahun ini berikutan kejayaan acara sama di Pulau Pinang tahun lalu, Sarawak pada 2022 dan Sabah (2019).

"Amat tepat pada masanya untuk kita mengadakan acara ini di Johor pada tahun ini. Baru-baru ini Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pencapaian luar biasa negeri dalam menarik pelaburan berjumlah RM113.7 bilion, mewujudkan 35,000 pekerjaan, dalam tempoh satu tempoh dua tahun sahaja.

"Ini akan membawa lebih banyak kekayaan kepada negeri dan individu yang tinggal di dalamnya, dan dengan ini, menjadikan pelaburan bijak lebih penting terutamanya pada peringkat individu," katanya.

Pautan Penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/05/1248194/30-peratus-terdedah-kepada-penipuan-kaji-selidik-sc

Diterbitkan pada : 17-05-2024
Hits : 8