Keratan Media

Keratan Media

Suruhanjaya Sekuriti, IsDB jalin kerjasama majukan pasaran modal Islam, kewangan sosial


Oleh : BERNAMA

RIYADH: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB), sekali gus membuka ruang kerjasama lebih erat dalam pasaran modal Islam (ICM) dan meluaskan jangkauan teknologi kewangan (fintech) serta kewangan sosial Islam, terutama wakaf.

Lebih bermakna, pemeteraian MoU yang penting dan pertama seumpamanya antara pengawal selia pasaran modal Malaysia dan bank pembangunan pelbagai hala perdana wilayah selatan global itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden dan Pengerusi IsDB, Dr Muhammad Al Jasser dalam satu majlis di sini.

MoU ditandatangani Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Naib Presiden Kewangan yang juga Ketua Pegawai Kewangan IsDB, Dr Zamir Iqbal di luar Mesyuarat Agung Tahunan IsDB 2024 di sini.

Anwar dan Muhammad Al Jasser dalam mesyuarat pada Mac 2023 bersetuju agar pengawal selia, pihak berkuasa dan perniagaan di Malaysia bekerjasama erat dengan IsDB untuk meneroka bidang kerjasama baharu.

Ini termasuk membangunkan dan merintis produk kewangan Islam yang inovatif, mempromosikan industri halal dan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Dalam MoU itu, SC dan IsDB akan bekerjasama dalam beberapa bidang utama seperti memudah cara inovasi dalam fintech Islam, menggalakkan pembangunan kewangan sosial Islam dan menggalakkan aliran masuk pelaburan.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pembinaan kapasiti, perkongsian pengetahuan dan projek teknikal bersama dalam bidang berkepentingan utama melibatkan ICM yang boleh dimodalkan oleh kedua-dua institusi bagi manfaat negara anggota IsDB lain.

Awang Adek ketika ditemui media berkata, sinergi kerjasama itu menandakan satu kejayaan bersejarah bagi SC dan IsDB.

"Kami berhasrat meluaskan dan mendalami tahap fintech Islam melalui skala dan pasaran baharu, serta meluaskan peluang melalui kewangan sosial, termasuk pembangunan aset wakaf dengan memanfaatkan pasaran modal dan kepakaran pembangunan kewangan masing-masing," katanya.

Beliau turut menyifatkan MoU itu selaras inisiatif strategik utama untuk ICM Malaysia di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 3 (2021 – 2025), termasuk memperluaskan jangkauan ICM kepada pemegang kepentingan ekonomi yang lebih luas selain menerima kerjasama dan inovasi bagi tujuan pertumbuhan.

Muhammad Al Jasser pula berkata, MoU itu menyaksikan SC dan IsDB akan bekerjasama untuk meningkatkan teknologi kewangan Islam, kewangan sosial dan menarik pelaburan asing dalam pasaran swasta.

"Kerjasama ini akan meningkatkan pasaran modal Islam bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh negara anggota IsDB, mengutamakan sokongan untuk PMKS dan pasaran swasta yang penting untuk pemerkasaan ekonomi," katanya.

Pada 2023, ICM Malaysia berkembang 4.5 peratus kepada RM2.4 trilion, manakala sukuk belum tebus meningkat 7.4 peratus dan ekuiti patuh Syariah menokok 1.5 peratus.

Malaysia juga kekal peneraju global dalam ICM, terutama sukuk belum tebus serta pengurusan dana Islam, selain meraih kedudukan teratas dalam indeks global seperti Indeks Fintech Islam, Petunjuk Ekonomi Islam Global dan Petunjuk Pembangunan Kewangan Islam global bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Pautan Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1240668/suruhanjaya-sekuriti-isdb-jalin-kerjasama-majukan-pasaran-modal

Diterbitkan pada : 29-04-2024
Hits : 5