Artikel

Artikel

Takaful Jamin Nasib Waris


Takaful

 

 

Tulisan saya minggu ini adalah sambungan kepada tulisan minggu lepas. Ramai beranggapan apabila dia telah menamakan penerima hibah untuk manfaat taka­fulnya maka semua masalah selesai.

Jika suami meletakkan nama isteri sebagai penerima hibah manfaat takaful, maka dapatlah isteri itu manfaat takafulnya dan dia boleh melaksanakan arahan suami seperti membayar hutang, menebus pusaka bahagian waris lain dan membuat amal jariah sebagai mana dia­rahkan suaminya.

Sekali lagi saya ulangi bahawa arahan suami ini adalah tertakluk kepada persetujuan isteri itu untuk melaksanakannya. Dia tidak mempunyai obligasi undang-undang atau hukum untuk patuh kepada arahan suami.

Apa pula jadi jika manfaat takaful contohnya bernilai RM1 juta telah dikreditkan ke dalam akaun isteri dan tiba-tiba isteri pula meninggal dunia?

Jika anak-anaknya hanya perempuan sahaja dan ibu bapanya telah meninggal dunia lebih awal, maka waris-waris yang berhak ke atas RM1 juta itu ialah anak-anaknya sebanyak dua pertiga bahagian manakala baki satu pertiga bahagian ialah milik adik-beradik kepada isteri!

Manfaat

Apa yang saya ingin kete­ngahkan di sini ialah hibah takaful hanya menjawab persoalan siapa yang berhak ke atas manfaat itu tetapi ia tidak menyelesaikan segala masalah jauh sekali memastikan arahan si suami tadi terlaksana.

Jadi, bagaimanakah caranya kita ingin memastikan manfaat takaful dapat di manfaat secara maksimum oleh individu se­perti yang kita kehendaki atau digunakan untuk tujuan ter­tentu seperti membayar hutang, amal jariah dan sebagainya?

Sebenarnya, peserta takaful boleh melantik pihak tertentu sebagai pemegang amanah kepada manfaat takaful bagi melaksanakan arahan-arahan tertentu.

Peruntukan ini wujud dalam Seksyen 7 Jadual 10, Akta Per­khid­matan Kewangan Islam 2013. Peserta takaful boleh menyerahkan hak manfaat takafulnya kepada mana-mana pihak yang dikehendaki sebagai pemegang amanah. Kemudian peserta boleh menetapkan apa-apa arahan yang dia mahu pemegang amanah tersebut laksanakan.

Kisah Abu

Izinkan saya berkongsi kisah Abu yang saya bantu untuk me­lalui proses ini. Polisi Abu mempunyai perlindungan bernilai RM1 juta. Dia mempunyai seorang isteri Lina yang merupakan suri rumahtangga dan dua anak perempuan, Mira 11 tahun dan Maira, sembilan tahun. Abu seorang arkitek.

Melalui proses ini, Abu telah menggunakan kuasa di dalam Seksyen 7 untuk menyerahkan hak (absolute assignment) manfaat polisinya kepada Wasiyyah Shoppe.

Dalam masa sama, dia te­lah menyediakan Surat Ikatan Amanah untuk mengarahkan kami mengagih manfaat itu mengikut arahannya. Sebagai syarikat amanah berdaftar, Wasiyyah Shoppe mempunyai bidang kuasa undang-undang untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

Jika Abu meninggal dunia, RM1 juta manfaat takaful atas arahan Abu akan diagih secara berkala. Lina mendapat RM10,000 sebulan sebagai sara hidup manakala anak-anak pula akan menerima RM1,000 setiap seorang yang dibayar melalui ibu mereka.

Menjelang perayaan seperti hari raya atau kejadian ter­tentu seperti menjelang Di­sember setiap tahun, sebanyak RM3,000 akan dibayar kepada Lina sebagai perbelanjaan persediaan raya atau sekolah.

Lina juga akan diperuntukkan sebanyak RM500 tambahan setiap bulan daripada dana itu untuk melanggan perkhidmatan kad perubatan takaful bagi dirinya dan anak-anak. Malah, sampai ke tahap membayar bil utiliti seperti bil air, bil elektrik, cukai tanah dan lain-lain juga boleh ditanggung daripada dana itu.

Jika Lina pula meninggal dunia dalam keadaan anaknya masih di bawah umur, bayaran RM3,000 untuk sara hidup setiap anak akan dibayar oleh Wasiyyah Shoppe kepada penjaga sah (hadhinah) Mira dan Maira.

Beruntung

Ini mengelakkan risiko da­na itu disalahguna atau diseleweng. Selain itu, Abu juga mengarahkan agar dana ini digunakan untuk tujuan amal jariah yang ditetapkan iaitu sumbangan RM500 sebulan kepada Surau Al-Naim, berdekatan rumahnya. Semua arahan ini akan dilaksanakan secara profesional oleh pemegang amanah.

Sebaliknya, jika Abu di­timpa musibah dan mengalami keilatan kekal pula, pemegang amanah akan menampung perbelanjaan kesihatan Abu dengan membayar secara bulanan kepada sesiapa yang menjaga Abu mengikut jumlah yang telah Abu tetapkan dari awalnya.

Jika selepas itu Abu meninggal dunia, maka baki dana itu akan diagihkan pula kepada individu yang ditetapkan Abu. Malah, individu yang menjaga Abu sepanjang dia sakit juga dibayar ujrah bulanan. Barulah tidak timbul isu anak-anak terpaksa berhenti kerja dan hilang punca pendapatan kerana menjaga ayah yang sakit.

Takaful amat berguna dan multi fungsi jika dirancang melalui Seksyen 7 itu. Namun, perlulah dipastikan peme­gang amanah yang dilantik terdiri daripada syarikat amanah profesional yang terikat de­ngan undang-undang bagi melaksanakan arahan-arahan ditetapkan.

Beruntungnya peserta ta­kaful yang telah merancang penggunaan manfaat takafulnya melalui Seksyen 7 ini.

 

ARIFFIN SABIRIN 

PENGASAS WASIYYAH SHOPPE BERHAD.

 

Artikel asal boleh dilayari menerusi pautan: https://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/takaful-jamin-nasib-waris-1.931023

Diterbitkan pada : 17-07-2019
Hits : 7030