Hari Ini 28

Seminggu 28

Sebulan 3565

Jumlah 12158713

Orang-Orang kaya

Maksudnya : Adapun orang Yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), Surah ‘Abasa 80 : 5

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 08 Jun 2018, 15:42:30.

Soalan Lazim : Takaful

Apakah yang dimaksudkan dengan Takaful?

Takaful ialah, suatu skim yang berdasarkan prinsip ta`awun, jamin menjamin atau bantuan bersama. Ia memberikan perlindungan bersama aset dan harta serta menawarkan perkongsian risiko bersama sekiranya salah seorang ahlinya mengalami kerugian.

Adakah Takaful berkaitan dengan kewangan Islam?

Ya, Takaful adalah sebahagian daripada institusi kewangan Islam yang menyediakan perkhidmatan perlindungan kewangan berlandaskan Islam. Ia adalah sebahagian daripada kerangka Sistem kewangan yang ada seperti perbankan Islam dan Pasaran Modal Islam.

Apakah perbezaan antara takaful dan insurans konvensional?

Terdapat beberapa perbezaan antara Operasi Takaful dan insurans konvensional adalah berdasarkan prinsip-prinsip kebersamaan, di mana setiap peserta membuat sumbangan untuk dana takaful. Sekiranya terjadi kerugian, peserta akan menerima jumlah tuntutan tersebut. Tidak seperti insurans konvensional, di mana risiko dipindahkan daripada pemilik insurans kepada syarikat insurans, risiko takaful dikongsi bersama-sama oleh para peserta.

Perbezaan antara takaful dan insurans konvensional adalah seperti jadual berikut:

Bil Perkara Takaful Insurans
1 Konsep Berasaskan semangat kerjasama dan tolong- menolong (ta’awun) dan tabarru' Semata-mata berdasarkan faktor-faktor komersial
2 Akad Wakalah, mudharabah Jual beli
3 Prinsip Bebas daripada 'riba', 'gharar' dan 'maisir' Banyak terlibat dengan 'riba, 'gharar', dan 'maisir'
4 Operasi Di pantau oleh Majlis Penasihat Syariah (SAC) Tiada Majlis Penasihat Syariah (SAC)
5 Keuntungan Keuntungan akan dikongsi  antara pengendali (syarikat) dan peserta berasaskan Mudharabah Mempraktikkan riba (faedah)

Jadual: Perbezaan antara takaful dan insurans konvensional

Apakah akta yang diperuntukkan dalam mengawalselia industri Takaful?

Industri takaful dikawalselia oleh Akta Takaful 1984 yang memberi garis panduan supaya aktiviti takaful selari dengan kehendak Islam.

Apakah hukum menyertai Takaful?

Pada asasnya, sistem Takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan para pesertanya. Dalam erti kata lain, ia merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama bagi membantu mereka yang memerlukannya. Oleh kerana terdapat beberapa amalan insurans konvensional yang bercanggah dengan prinsip syarak seperti riba (faedah), maisir (perjudian) dan gharar (ketidakjelasan), maka masyarakat wajib untuk memilih skim takaful yang diiktiraf sebagai patuh syariah. Amalan Takaful yang dipraktikkan sekarang menggunakan gabungan dua jenis akad (kontrak) utama. Ianya adalah kontrak Tabarru’ (derma) dan Wakalah (egensi) yang bebas daripada sebarang unsur riba, maisir dan gharar.

Apakah hukum menggunakan insurans konvensional bagi kenderaan berisiko tinggi kerana Takaful tidak menyediakan perlindungan jenis tersebut?

Hukum asal menggunakan produk insurans konvensional adalah haram kerana terdapat beberapa amalan insurans konvensional yang bercanggah dengan prinsip syarak seperti riba (faedah), maisir (perjudian) dan gharar (ketidakjelasan). Sungguhpun begitu, pengecualian diberikan dalam keadaan ini berdasarkan kepada kaedah fiqh:

الضرورة تبيح المحظورات

Maksudnya: Keperluan mengharuskan sesuatu yang dilarang.

Walaubagaimanapun, pengecualian ini adalah tertakluk sehingga ada syarikat takaful menyediakan perlindungan takaful kepada kenderaan-kenderaan ini. Pengecualian ini adalah berdasarkan kepada kaedah:

الضرورة تقدر بقدرها

Maksudnya: Keperluan adalah ditentukan oleh setakat mana pentingnya ia.

Cetak Emel