Hari Ini 6

Seminggu 6

Sebulan 3382

Jumlah 12134792

Kekayaan Allah Dan Keperluan Manusia Kepadanya

Maksudnya : Di situ ada tanda-tanda keterangan Yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. dan sesiapa Yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. dan Allah mewajibkan...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 08 Jun 2018, 15:42:30.

Soalan Lazim : Perbankan

Apakah peranan institusi kewangan Islam?

Institusi kewangan dalam sesebuah ekonomi adalah nadi penggerak kepada pemesatan kegiatan ekonomi. Ia bertindak sebagai pengantara di antara pihak pendeposit yang mempunyai lebihan wang dan pihak yang defisit yang memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti ekonomi. Peranan institusi kewangan sangatlah penting dalam membangun dan memantapkan sesebuah ekonomi melalui penawaran produk dan perkhidmatan kepada pelanggan berteraskan kepada Syariah.

Apakah perbezaan Sistem Kewangan Islam dan Konvensional?

Perbezaan Sistem Kewangan Islam dan Konvensional boleh dilihat kepada konsep dan operasi. Konsep Kewangan Islam merujuk kepada prinsip-prinsip syariah yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang seperti riba, gharar (keraguan), maisir (judi), tadlis (penipuan), penindasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya. Manakala konsep sistem kewangan konvensional pula adalah sebaliknya.

Dari sudut operasi pula, Sistem Kewangan Islam adalah berteraskan akad yang telah dipersetujui oleh Syarak seperti Bai’ Bithaman Ajil (BBA), Wadi’ah, Mudarabah, Musyarakah dan sebagainya. Manakala sistem kewangan konvensional pula operasinya adalah tidak berteraskan akad-akad yang sah dari sudut Syarak dan kebanyakkannya terlibat dalam sistem pinjaman yang berteraskan riba.

Apakah produk yang ditawarkan dalam institusi perbankan Islam?

Antara produk-produk yang ditawarkan dalam institusi perbankan Islam pada masa kini ialah:

  1. Produk deposit
    • Wadi’ah (simpanan) yang digunakan dalam produk-produk berasaskan deposit.
    • Mudarabah (perkongsian keuntungan) yang digunakan dalam produk-produk berasaskan pelaburan.
  2. Produk Pembiayaan
    • Bai Bithaman Ajil – BBA (penjualan dengan harga tertangguh) yang diaplikasikan dalam pelbagai produk pembiayaan.
    • Murabahah seperti mana BBA, Musyarakah (usaha sama) yang diaplikasikan dalam produk pembiyaan usaha sama.
    • Ijarah Thumma Bai’ (sewa beli) digunakan dalam membiayai barangan pengguna terutamanya pembiayaan kenderaan dan sebagainya.

Apakah kesan sekiranya bertransaksi dengan sistem konvensional yang berteraskan riba?

Antara kesan bertransaksi dengan sistem konvensional yang berteraskan riba ke atas individu, keluarga dan masyarakat adalah:

  • Hidup tidak diberkati Allah.
  • Doa tidak dimakbulkan.
  • Sukar mendapat petunjuk dan hidayah Allah.
  • Berhak mendapat bala daripada Allah. S
  • ukar mendapat ilmu.
  • Susah mengerjakan ibadah.
  • Mendapat azab yang pedih di akhirat.
  • Membawa kepada pergaduhan dan permusuhan.
  • Melahirkan sebuah masyarakat yang tidak aman.
  • Melahirkan individu yang bersikap mementingkan diri sendiri.

Apakah Muzakarah Jawatankuasa Kebangsaan telah memutuskan status fatwa yang berkaitan dengan insurans konvensional?

Ya, muzakarah telah memutuskan status insurans konvensional seperti berikut:

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979 telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:

  1. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
  2. Mengandungi unsur judi.
  3. Mengandungi muamalah riba.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 telah membincangkan Kajian Hukum Insurans Am. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam.

Adakah terdapat akta yang berkaitan dengan kewangan dan perbankan Islam?

Akta-akta yang berkaitan dengan kewangan dan perbankan Islam di Malaysia antaranya ialah Akta Perbankan Islam 1983, Akta Takaful 1984, Akta Institusi Kewangan dan Perbankan 1989, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, dan Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Pihak manakah yang bertanggungjawab mengawasi Sistem Kewangan Islam di Malaysia?

Bank Negara Malaysia (BNM) ialah pihak yang bertanggungjawab dalam mengawalselia dan mengawasi institusi-institusi Perbankan Islam dan takaful di Malaysia dan dalam masa yang sama sebagai Bank Pusat bagi Malaysia. BNM turut berperanan mewujudkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Antara institusi lain yang bertanggungjawab mengawalselia sistem kewangan Islam termasuklah Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang bertindak sebagai pemantau Pasaran Modal Islam di Malaysia.

Apakah hukum institusi kewangan Islam mengenakan bayaran tambahan ke atas pembayaran lewat?

Hukumnya adalah harus berdasarkan kepada Resolusi Syariah yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat ke-4 bertarikh 14 Februari 1998, mesyuarat ke-95 bertarikh 28 Januari 2010 dan mesyuarat ke-101 bertarikh 20 Mei 2010 telah memutuskan bahawa pengenaan caj pembayaran lewat oleh institusi kewangan Islam yang merangkumi kedua-dua konsep gharamah (denda atau penalti) dan ta`widh (ganti rugi) adalah dibenarkan, tertakluk kepada perkara berikut:

  1. Ta`widh boleh dikenakan ke atas kelewatan pembayaran obligasi kewangan yang terhasil daripada akad-akad pertukaran (seperti jual beli dan sewaan) dan qard;
  2. Ta`widh hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh pelunasan hutang yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak;
  3. Institusi perbankan Islam boleh mengiktiraf ta`widh sebagai pendapatan atas dasar ia dikenakan sebagai ganti rugi atas kerugian sebenar yang dialami oleh institusi perbankan Islam;
  4. dan Gharamah tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan, sebaliknya perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan tertentu.

Apakah hukum mempromosi kad kredit konvensional?

Menggunakan perkhidmatan dan produk perbankan konvensional adalah haram kerana terlibat dengan riba, gharar dan judi. Justeru mempromosikan produk bank konvensional seperti kad kredit adalah haram. Ini berdasarkan hadis Rasulullah:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ

Bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, yang memberi makan, 2 orang saksi dan jurutulisnya, kedudukan mereka itu semuanya sama

Apakah hukum pihak koperasi mengenakan caj perkhidmatan untuk pinjaman?

Garis Panduan Mengenai Pembiayaan Islam Oleh Koperasi yang dikeluarkan di bawah seksyen 86B dan subseksyen 51(1) Akta Koperasi 1993 ada menyatakan mengenai caj perkhidmatan bagi pinjaman tanpa faedah.

Mengenakan caj perkhidmatan adalah harus namun hendaklah mengikut kadar perbelanjaan sebenar bagi perkhidmatan yang disediakan sahaja. Ini adalah bagi menampung perbelanjaan pengurusan yang dijalankan. Adalah lebih baik jika amaun perbelanjaan sebenar ini ditetapkan oleh pihak ke tiga atau Jawatankuasa Syariah koperasi”.

Apakah hukum pemberian ibra’/rebat untuk penyelesaian awal pembiayaan?

Dalam konteks kewangan Islam, ibra’ atau Da` wa ta`ajjal merujuk kepada rebat (pelepasan hak) yang diberikan oleh satu pihak kepada satu pihak lain dalam urusan mua`malah seperti jual beli dan sewaan. Misalnya, pihak institusi kewangan Islam akan memberikan ibra’ kepada pelanggan yang melunaskan hutang lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui semasa akad dimeterai. Ibra’ dalam konteks pelepasan hak untuk menuntut hutang (sama ada sebahagian atau keseluruhan hutang) oleh pemberi pinjaman merupakan suatu perkara yang digalakkan oleh Islam. Hak tersebut merupakan tanggungan (dzimmah) pihak lain yang perlu dilaksanakan terhadapnya. Da` wa ta`ajjal pula merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk perbuatan mengurangkan sebahagian hutang apabila penghutang menyelesaikan hutang lebih awal.

Cetak Emel