Hari Ini 168

Seminggu 3180

Sebulan 4408

Jumlah 55294078

Pertanian

Maksudnya : Dan di bumi ada beberapa potong tanah Yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) Yang berumpun dan Yang...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 14 Februari 2020, 12:20:52.

RMKe-12 perlu majukan tanah rizab, wakaf, adat

Oleh Prof Dr Ismail Omar

Pembangunan hartanah boleh dijadikan ukuran pencapaian kemajuan negara. Tahap kemajuan hartanah dipengaruhi undang-undang dan polisi pembangunan sepatutnya mampu mengekang risiko dan keberhasilan yang ada.

Menurut pakar tanah Bank Dunia, Hernando De Soto, apabila wujud masalah hak milikan tanah yang menyebabkan pembangunannya terbantut, nilai modal tanah itu dikatakan membeku. Justeru, perancangan rapi perlu dibuat bagi mencairkannya.

Dalam hal ini, tanah pemilikan orang Melayu dan Bumiputera tidak dibangunkan secara optimum boleh mencerminkan tahap pencapaian kemajuan ekonomi mereka. Oleh itu, isu dan faktor mempengaruhi tahap pembangunan tanah terbabit perlu dikenal pasti dan dikaji supaya dapat ditambah baik.

Sepintas lalu, fakta membuktikan wujud pelbagai kekangan dalam pentadbiran dan pengurusan tanah rizab Melayu, wakaf dan natif di negara kita. Pemilikan hartanah secara keseluruhan bagi Melayu dan Bumiputera adalah kira-kira 18 peratus sahaja. Bagi tanah wakaf pula, hanya 12 peratus dibangunkan daripada 30,000 hektar di seluruh negara.

Selain itu, terdapat kira-kira 230,000 hektar tanah pertanian terbiar dan 300,000 hektar tanah bekas lombong di seluruh negara yang perlu diberi perhatian. Sebahagian besarnya, tanah rizab Melayu, wakaf dan adat Negeri Sembilan yang mempunyai potensi dimajukan. Begitu juga tanah natif di Sabah yang memerlukan perancangan untuk memajukannya.

Walaupun terdapat tanah rizab Melayu, wakaf dan natif yang sudah dan sedang dirancang untuk dimajukan, masih wujud banyak masalah, terutama berkaitan dana kewangan, perundangan serta pemilikan, keadaan fizikal, sosioekonomi, perancangan dan pentadbiran.

Masalah kepemilikan dan kekangan dana menjadi isu utama menyebabkan timbul halangan penawaran dan pembangunan hingga tanah itu tidak dapat dimajukan.

Menurut pakar tanah negara, antara sebab ia berlaku adalah undang-undang tanah sedia ada sudah ketinggalan, tiada keselarasan dan perancangan pentadbiran serta pembangunan tanah lemah. Seterusnya membawa kemunduran dan ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Senario ini mencerminkan kelemahan ekonomi pemilik tanah berkenaan, orang Melayu dan Bumiputera khasnya dan masyarakat setempat serta rakyat keseluruhan secara amnya. Justeru, sudah sampai masanya Pelan Induk Bersepadu dibentuk bagi memaju dan mempertingkatkan pemilikan dan pembangunan tanah rizab Melayu, wakaf dan natif di negara kita di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Seterusnya, menyumbang ke arah mencapai tahap pemilikan tanah rizab Melayu, wakaf dan natif ke tahap sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pemilikan keseluruhan hartanah di negara kita.

Contoh yang baik ialah usaha pembangunan semula tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang hangat diperkatakan. Walaupun tawaran kerajaan RM1,000 sekaki persegi sudah tinggi, harga bukan segala-galanya.

Kerajaan perlu memikirkan pilihan pendekatan pembangunan semula selari hasrat dan impian pemilik tanah. Antaranya termasuk pengukuhan warisan hartanah, budaya Melayu dan keagamaan. Perkara ini selaras Akta Pembangunan Perbadanan Kampong Bahru (Akta 733 tahun 2012). Dalam konteks ini, pembangunan secara wakaf menepati hasrat semua pihak.

Ketika Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), tiada polisi jelas berkaitan pemilikan dan pembangunan hartanah Melayu serta Bumiputera di negara ini. Sedangkan di luar negara perkara sebaliknya berlaku, terutama perancangan dan pembangunan tanah aborigin di Australia; tanah pribumi di Amerika Syarikat dan tanah Maori di New Zealand.

Ketiadaan polisi, inisiatif, strategi dan program tindakan jelas, menyebabkan prestasi serta pulangan bagi hartanah Melayu dan Bumiputera berada di bawah paras optimum. Senario ini mencerminkan kelemahan dan kemunduran tanah berkenaan. Justeru, keprihatinan kerajaan amat diperlukan dalam soal ini.

Perkara ini boleh dilakukan dengan cara mengharmonikan perundangan dan memperkasa tadbir urus bagi meningkatkan ekuiti serta pemilikan hartanah Melayu dan Bumiputera, termasuk membeli hartanah terbabit yang tidak terjual daripada bertukar milik kepada bukan Melayu dan Bumiputera. Tindakan memerlukan sokongan dan dukungan padu semua pihak.

Begitu juga usaha menstruktur semula institusi kewangan negara dan koperasi berkaitan hartanah supaya mampu menyumbang dengan lebih berkesan dalam memajukan serta pemilikan hartanah Melayu dan Bumiputera. Seterusnya, menyusun pelan induk tindakan bersepadu bagi memperkukuh, mempertingkat dan melestarikan tahap pemilikan dan pembangunan hartanah milik Melayu dan Bumiputera di seluruh negara.

Perancangan memajukan tanah perlu dibuat berdasarkan model perniagaan bersifat global dengan mengekalkan ciri Melayu dan Bumiputera serta mengambil kira ikonik yang berjaya dilaksanakan. Contohnya, Summit Hotels & Resorts yang berjaya dibangunkan Aturan Prisma dengan kerjasama Koperasi Tenaga Nasional Berhad dalam memajukan tanah rizab Melayu.

Begitu juga Taman Wakaf Perumahan Seetee Aisyah di Pulau Pinang yang dimajukan bersama antara Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Bank Islam, Bank Al-Rajhi dan UDA Land. Juga, Menara Imarah Wakaf di Kuala Lumpur dimajukan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tabung Haji dan Bank Islam.

Justeru, usaha mantap perlu dilakukan bagi menilai semula polisi, inisiatif, strategi program, pembabitan kumpulan sasaran dan pencapaian dasar sedia ada bagi mengunjurkan sasaran pencapaian RMKe-12 dalam mempertingkatkan pemilikan serta pembangunan harta tanah orang Melayu dan Bumiputera. Sekali lagi, dengan sokongan dan dukungan padu semua pihak, usaha mantap ini mampu meraih kejayaan.

 

Penulis adalah Profesor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA).

Cetak Emel