Hari Ini 83

Seminggu 5605

Sebulan 3305

Jumlah 55263043

Membazir

Maksudnya : Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah Engkau membelanjakan hartamu Dengan boros Yang melampau. Sesungguhnya orang-orang Yang boros itu adalah...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 14 Februari 2020, 12:20:52.
Jumaat, 19 Februari 2016 12:46

Nilai Pekerjaan 
Ikut Neraca Islam

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tarikh Disiarkan: 19 Feb, 2016
Sumber: Utusan Malaysia Online
Oleh: Mohd Radzi Mohd Zain

GESAAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar golongan belia menceburi bidang kerja kategori 3D - bahaya, kotor dan sukar, Ahad lalu wajar disokong. Selain menjadi sumber pendapatan ia juga bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Memanglah kerja kategori 3D ini tidak glamor. Ia bukan kerja golongan kolar putih. Namun semua itu adalah ukuran manusia yang dibuat berdasarkan material. Sedangkan Islam mengukur pekerjaan itu dengan neraca berbeza.

Asas kepada bekerja adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apabila telah didirikan solat, bertebaranlah di muka bumi dan carilah kurniaan Allah... (al-Jumuah: 10).

Ayat ini hadir selepas larangan berjual beli apabila azan solat Jumaat dilaungkan. Ini menunjukkan bagaimana Islam menseimbangkan di antara keperluan material dan rohani manusia. Umat yang berjaya bukanlah yang hanya duduk di masjid tanpa berusaha mencari rezeki. Bukan juga manusia yang sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak lagi mengenal masjid.

Memanglah antara tarikan kepada sesuatu pekerjaan itu adalah jumlah imbuhannya. Untuk itu, penulis bersetuju dengan pandangan Fauziah Arof, dalam kolumnya Rabu lalu agar naikkan gaji kerja 3D ini terutamanya yang terlibat dalam sektor perkhidmatan.

Daripada Miqdam r.a, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang sekali-kali tidak, yang lebih baik daripada memakan makanan hasil dari usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya nabi Allah Daud a.s makan dari hasil usaha tangan baginda sendiri.(Riwayat Bukhari)

Satu faktor lagi yang boleh menarik minat rakyat tempatan terlibat dalam kategori 3D ialah imej kerja itu. Hari ini antara kerja yang hampir dikuasai buruh asing sepenuhnya adalah mengangkut sampah. Memang ia pekerjaan yang kotor. Tetapi ia boleh ‘dibersihkan’ jika masyarakat kita dididik mencontohi masyarakat Jepun dalam bab membuang sampah.

Di Jepun, sampah seperti makanan berlebihan, tulang ikan, ayam, daging dan sebagainya dibasuh dan dikeringkan (gunakan penapis atau jaring untuk tos air). Ini supaya sampah tersebut tidak berbau dan tidak berair. Sampah yang berair akan menyumbang kepada sampah yang berbau. 

Dengan gabungan imbuhan yang lebih tinggi dan imej yang bersih, insya-Allah rakyat tempatan lebih berminat berkhidmat dalam sektor tersebut. Lagipun, penyertaan kita dalam bidang sebegini adalah fardu kifayah. Tanpa pekerja mengangkut sampah persekitaran rumah kita bukan sahaja berbau busuk tetapi mungkin ditenggelami sampah dalam tempoh sebulan.

Bagi mereka yang terlibat dalam pekerjaan 3D, usahlah gusar dengan persepsi dan pandangan manusia. Melakukan pekerjaan yang kotor demi mencari rezeki yang halal adalah jauh lebih mulia daripada pekerja kolar putih yang makan rasuah, menipu dan terlibat dengan maksiat.

Hayatilah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu”. (Riwayat Muslim)

Memang nasib kita di dunia ini tidak sama. Ada yang hidup senang lenang dengan kemewahan yang melimpah ruah, ada yang hidup sederhana dan dan juga yang hidupnya miskin. Namun, semua itu adalah ujian Allah kepada kita untuk melihat sejauh mana kita bersyukur dan bersabar. 

Bagi yang bekerja dalam kategori 3D jangan lupa sujud ke bumi dengan melakukan solat fardu lima waktu sehari semalam serta pelbagai amalan fardu yang lain. Jika ini tidak dijaga, dibimbangi akan tergolong dalam kategori ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Sebabnya, sudahlah hidup susah di dunia, di akhirat kelak bakal diseksa.

Namun, bagi orang mukmin, mereka tidak gusar dengan pandangan negatif masyarakat kerana yakin dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu...(al-Hujurat: 13).

Read 407 times Last modified on Sabtu, 26 Ogos 2017 05:39