Hari Ini 27

Seminggu 27

Sebulan 3564

Jumlah 12158712

Ikatan Perjanjian

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 08 Jun 2018, 15:42:30.
Rabu, 20 Jun 2018 15:15

Sistem zakat ganti GST?

Written by
Rate this item
(0 votes)

Ahmad Zaharuddin Sani Sabri

 

BARU-BARU ini Menteri Kewangan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa hutang dan liabiliti yang ditanggung Kerajaan Persekutuan setakat 31 Disember 2017 adalah berjumlah RM1.087 trilion - satu angka yang cukup besar, menakutkan serta di luar imaginasi kita.

Sejajar dengan itu satu tabung yang dinamakan “Tabung Harapan” dilancarkan agar rakyat boleh sama-sama menyumbang untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh kerajaan.

Sehingga penulisan ini dihasilkan dana yang berjaya dikumpulkan sudah mencecah RM20 juta.

Untuk negara kita, tabung sebegini merupakan kali kedua diadakan. Kali pertama adalah ketika negara memerlukan dana perbelanjaan untuk menuntut kemerdekaan. Ketika itu, rakyat dengan tanpa mengira kedudukan dan bangsa sama-sama menghulurkan apa yang ada demi misi suci, membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Terimbau penulis pengkisahan orang dahulu yang memberikan emas, permata, perhiasan diri termasuk juga geran tanah sebagai ganti wang ringgit, asalkan dapat menyumbang untuk menjadikan kehidupan generasi mendatang lebih terjamin.

Sekarang tiba pula masa kita untuk berkorban untuk generasi akan datang.

Kalau selama ini kita menjuarai pengumpulan dana untuk Palestin, Syria mahupun Rohingya, sudah tiba masanya kali ini kita menyalurkan dana luar untuk kebaikan negara sendiri pula.

Kepada pengkritik usaha murni ini, sedarkah anda bahawa konsep ini juga pernah diperkenalkan di Korea Selatan?

Ketika nilai matawang Korea Selatan merudum kira-kira 20 tahun yang lalu gara-gara krisis kewangan Asia, kerajaan  negara itu terpaksa meminjam AS$55 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia untuk mengelakkannya jatuh muflis.

Rentetan daripada itu, rakyat Korea Selatan melancarkan ‘kempen menderma emas’ (금모으기 운동 – geummoeugi undong). Emas dipilih disebabkan nilai matawang Korea Selatan ketika itu semakin jatuh.

Dalam masa dua bulan sahaja, 3.5 juta rakyat Korea Selatan berjaya menyumbang sebanyak AS$2.2 bilion. Walaupun dana yang dikumpulkan itu tidak dapat melangsaikan hutang serta-merta, tapi sumbangan rakyat itu sangat membantu. Korea Selatan berjaya menjelaskan kesemua hutangnya dalam masa tidak sampai empat tahun.

Semangat patriotik sebeginilah yang kita dambakan. Adakah mungkin semangat 1955 kembali kita bangkitkan untuk rakyat Malaysia?

Sejajar dengan itu, penulis merasakan satu sistem yang lebih holistik boleh diterapkan ketika kita mengadakan reformasi ekonomi negara adalah sistem zakat yang kita dukung lebih daripada 1500 tahun. Sistem zakat ini wajar dijadikan cagaran ke arah pembaharuan negara.

zakat

 Sistem zakat ini wajar dijadikan cagaran ke arah pembaharuan negara.

Zakat perniagaan boleh sahaja menggantikan kaedah GST dan SST yang sememangnya sudah diketahui mempunyai lompong-lompong yang akan menyebabkan kebajikan rakyat terhakis.

Zakat gaji dan harta juga boleh dikenakan secara menyeluruh ke atas setiap mereka yang mendapat kenikmatan rezeki di Malaysia.

Bagi penulis, jika kefahaman mengenai konsep ini boleh diterapkan dengan jayanya pasti mereka yang bukan beragama Islam pun tidak ragu-ragu menerimanya.

Apa yang perlu diperbetulkan ialah pengurusan zakat yang masih agak terkebelakang berbanding dengan dana yang dimiliki oleh Baitulmal yang mencecah ratusan juta ringgit di setiap negeri.

Satu sistem yang up-to-date perlu diadaptasikan segera manakala kaedah pengagihannya juga perlu dilihat kembali kerana zaman sudah berubah, keperluan juga sudah tidak sama seperti 1500 tahun yang lalu.

Keterbukaan dalam melihat kembali sistem zakat perlu dilaksanakan segera, dalam keadaan negara 'darurat' ketika ini. Jangan ada lagi sikap prejudis terhadap sistem yang sudah terbukti keberkesanannya.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) apatah lagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu segera bangkit daripada lamunan. Segerakan satu blue print untuk kerajaan agar kita sama-sama dapat membina Malaysia yang baharu.

Kita lakukan ini bukan sekadar untuk generasi kini tapi untuk legasi mendatang supaya kehidupan mereka boleh bebas daripada dibelenggu hutang yang melampaui batas.

PENULIS ialah Pengarah Institut Pemikiran Dr. Mahathir (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/malaysia-kita/rencana/sistem-zakat-ganti-gst-1.685878#ixzz5IwlPtgpd © Utusan Melayu (M) Bhd 

Read 152 times Last modified on Rabu, 20 Jun 2018 16:02