Hari Ini 108

Seminggu 275

Sebulan 2023

Jumlah 24341

Ghanimah (Harta Rampasan)

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). oleh itu, bertaqwalah kamu kepada...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 08 Jun 2018, 15:42:30.
Khamis, 04 Ogos 2016 16:36

MAINS perkasa institusi wakaf

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tarikh Disiarkan: 4 Aug, 2016
Sumber: Utusan Malaysia Online

Jana ekonomi umat Islam untuk manfaat semua

MAHUKAH kita apabila berehat di rumah tanpa berbuat apa-apa sambil melayan keletah anak-anak tetapi pada setiap masa wang terus menambah dalam akaun peribadi. Jumlahnya bukan sedikit tetapi berganda-ganda sehingga bila-bila hatta selepas mati sekalipun. Tawaran ini amat menarik dan ia adalah realiti bukannya sekadar angan-angan Mat Jenin, perlu ditegaskan ini juga bukannya iklan mana-mana skim cepat kaya yang berlambak di luar sana.

Rahsianya ialah berwakaf iaitu menyerahkan harta yang dimiliki untuk kegunaan umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Para ulama berpendapat amalan ini merupakan ibadah berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 261 yang bermaksud: “Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat 100 biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua-dua ibu bapanya,” - Riwayat Muslim.

Justeru, untuk memperkasa lagi institusi wakaf di Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menubuhkan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (PWNS) pada 10 Jun 2005 yang merupakan anak syarikat 100 peratus milik penuh MAINS Holdings Sdn. Bhd.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan Pengerusi PWNS.

Pada awal penubuhannya, PWNS merupakan sebuah entiti kecil dengan bilangan sumber manusia yang terhad. Bermula pada 2013, PWNS berkembang dengan pertambahan jumlah kakitangan dan pengenalan kepada pelbagai produk serta perkhidmatan wakaf.

Pada masa ini, PWNS mempunyai seorang Pemangku Pengurus yang menaungi beberapa bahagian iaitu Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Pemasaran dan Dakwah, Bahagian Klinik dan Pusat Hemodialisis serta Bahagian Tugas-Tugas Khas.

Antara beberapa produk, perkhidmatan dan pembangunan wakaf yang sediakan oleh PWNS:

1. Skim Wakaf Tunai

Merupakan satu pendekatan mudah dan efektif untuk mewakafkan harta pada masa kini. Kaedah ini menghapuskan pemikiran tradisional yang berpendapat bahawa wakaf hanya untuk golongan berharta sahaja yang mempunyai hartanah seperti rumah dan tanah untuk diwakafkan.

  • Dengan kemudahan berwakaf serendah RM1, PWNS membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk turut sama menginfakkan harta melalui wakaf.
  • Semua sumbangan akan dikumpulkan sebagai modal untuk membeli dan membangunkan aset kekal seperti masjid, rumah anak yatim, klinik serta pusat dialisis, bangunan komersial dan sebagainya yang dapat memberi pulangan semula kepada masyarakat.

Bagaimana menyumbang untuk Wakaf Tunai:

  1. Isi borang Skim Wakaf Tunai di kaunter PWNS di Senawang atau muat turun borang di laman web PWNS.
  2. Sumbangan terus ke akaun wakaf atas nama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Am Islamik Bank: 009-202-200795-1.
  3. Melalui Tabung Wakaf di setiap cawangan Pusat Zakat Negeri Sembilan dan masjid-masjid terpilih dalam Negeri Sembilan.
  4. Membuat potongan gaji. Ia disasarkan untuk kakitangan kerajaan dan swasta yang mempunyai pendapatan bulanan bagi memudahkan mereka berwakaf dengan nilai minimum RM5 sebulan.
  5. Ini merupakan cara yang praktikal bagi golongan yang sentiasa sibuk dan menghadapi kekangan masa untuk hadir ke kaunter PWNS.
  6. Borang potongan gaji boleh didapati di kaunter pejabat PWNS di Senawang atau dimuat turun di laman web PWNS.

2. Wakaf Harta

Pewakaf yang mempunyai harta alih seperti kereta dan al-Quran atau tidak alih seperti tanah dan rumah boleh mewakafkan harta tersebut sama ada sebagai wakaf am atau wakaf khas.

  •  Wakaf am bermaksud tidak dikhaskan kepada penerima tertentu dan boleh dibangunkan untuk apa-apa maksud selagi bersesuaian dengan kehendak syarak.
  •  Wakaf khas ialah wakaf yang dinyatakan secara spesifik tujuannya oleh pewakaf sendiri. Justeru, harta tersebut perlu disalurkan kepada penerima yang telah ditentukan.

3. Bazaar Wakaf dan Wakaf Mart

Merupakan projek usaha sama antara MAINS dengan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Yayasan Waqaf Malaysia dalam membangunkan hartanah wakaf di atas tapak tanah wakaf masjid yang dikenal pasti berdaya maju di Negeri Sembilan.

Projek ini memberi peluang kepada 20 orang peniaga untuk menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk runcit, koperasi, industri kecil dan sederhana, kedai pakaian, makanan dan sebagainya.

Hasil kutipan sewa premis ini dipecahkan kepada peratusan untuk diserahkan kepada masjid berkenaan, dimasukkan ke dalam akaun PWNS dan digunakan untuk kos penambahbaikan premis.

4. Klinik, Pusat Dialisis Waqaf An-Nur

Projek amal kerjasama antara MAINS dengan Hospital Pakar Seremban (KPJ). Projek wakaf kesihatan ini dilaksanakan untuk memberi perkhidmatan rawatan kesihatan sempurna kepada masyarakat berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa dan agama.

  • Pesakit hanya perlu membayar RM5 bagi setiap rawatan dan ubat-ubatan yang diterima di klinik ini.
  • Perkhidmatan pusat dialisis pula berperanan memberikan rawatan kepada pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan dan kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh MAINS.
  • Pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di pusat dialisis ini perlu mengisi Borang Permohonan Bantuan Perubatan yang boleh didapati di Pejabat Baitulmal MAINS setiap daerah.

Pada penghujung Mei 2016, cawangan baharu Klinik Waqaf An-Nur di Masjid Jamek An-Nur, Rembau telah dibuka untuk orang ramai, manakala pusat dialisis dijangka mula beroperasi pada tahun 2017 di lokasi yang sama.

Read 224 times