Hari Ini 25

Seminggu 419

Sebulan 1364

Jumlah 2149

Membelanjakan Harta

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): apakah Yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) Yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: kedua ibu...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Rabu 10 Januari 2018, 10:14:26.
Selasa, 02 Ogos 2016 16:30

Wakaf kurangkan kos sara hidup

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tarikh Disiarkan: 2 Aug, 2016
Sumber: Utusan Malaysia Online
Oleh: Ismail Omar

HOTEL Ancasa Express atau nama baharunya Ar-Raudhah Suites & Hotel di Jalan Kampung Kolam Georgetown
HOTEL Ancasa Express atau nama baharunya Ar-Raudhah Suites & Hotel di Jalan Kampung Kolam,
Georgetown adalah antara hotel wakaf yang terdapat di negaraini. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

CANTIKNYA budaya berwakaf apabila dijalankan dengan sempurna. Apabila melahirkan anak, tempatnya di hospital wakaf. Apabila besar, dididik di sekolah wakaf. Kemudian me­lanjutkan pelajaran di universiti wakaf. Untuk beribadah, ada masjid wakaf. Naik kenderaan awam yang diwakafkan. Boleh bekerja di pasar raya wakaf atau gedung-gedung perniagaan yang melibatkan wakaf. Ada bank wakaf. Apabila meninggal dunia kembali ke wakaf kuburan. Secara keseluruhan, kos sara hidup boleh dikurangkan.

Semasa berada di Universiti Nairobi, Kenya, penulis berpeluang menziarahi Masjid Jamia Nairobi. Yang membanggakan, masjid ini mempunyai dua restoran halal, dua hotel bajet dan sederetan kedai yang menjual pakaian serta sebuah akademi untuk melatih saudara baharu dalam pengajian al-Quran dan hadis. Alangkah baiknya, kalau masjid-masjid di negara kita mempunyai hotel, restoran, kedai dan sebagainya. Tentu sekali, kalau kena caranya, kos sara hidup boleh dikurangkan.

Sejarah menunjukkan Saidina Uthman telah membeli telaga yang menghasilkan air minuman untuk diwakafkan demi kebaji­k­an rakyat ketika itu. Di Turki, sejak bertahun-tahun dahulu, saluran air yang besar dibina menggunakan sumber wakaf bagi menyalurkan air bersih kepada rakyat. Alangkah baiknya, kalau bekalan air bersih dapat disalurkan melalui syarikat-syarikat air di negara kita menggunakan konsep dan amalan wakaf bekalan air. Loji dan jentera yang digunakan boleh diwakafkan. Sudah tentu manfaatnya akan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Di Indonesia, pelajar perubatan lepasan Universiti Muhammadiyyah akan berkhidmat semula kepada Rumah Sakit Islam Muhammadiyyah bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat. Klinik Wakaf An-Nur yang beroperasi di seluruh negara ini pula hanya mengenakan caj per­khidmatan serendah RM50. Di Johor, pusat hemodialisis memberi perkhidmatan kesihatan yang mudah dan murah. Di Selangor, klinik wakaf bergerak disediakan dengan kos RM60,000 setahun.

Dengan penggunaan sumber wakaf untuk menjana pendidikan, pergantungan bajet daripada kerajaan dapat dikurangkan. Di Turki sahaja ada kira-kira 70 universiti wakaf. Di Indonesia ada kira-kira 12 universiti wakaf. Di Bangladesh, Yayasan Hamdard­ telah menubuhkan Universiti Hamdard dan Kolej Perubatan Unani yang menyediakan pendi­dikan, penginapan dan keper­luan pelajar-pelajar miskin. Begitu juga dengan asrama pelajar yang banyak dibina di Jordan, Mesir. Di Kedah, Asrama Anak Yatim Darul Aitam Wal Masakin dibina di atas tanah wakaf dengan harga RM2.08 juta. Justeru, saranan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi supaya unit wakaf ditubuhkan di setiap universiti awam kena pada masanya.

Di Kedah, kita ada wakaf sawah manakala di Johor pula, ladang wakaf kelapa sawit telah dilak­sanakan di Mersing. Di Pahang wakaf ladang memberi pulangan kira-kira RM6 juta setahun. Selain hasilnya yang lumayan, wakaf ta­naman juga menjana ekonomi dan mengurangkan kos hidup rakyat.

Setakat ini terdapat beberapa hotel wakaf di negara ini. Hotel-hotel wakaf ini beroperasi di Taiping, Negeri Sembilan, Me­laka, Terengganu, Pulau Pinang (Hotel Ancasa Express) dan Pahang (Hotel MS Garden, Hotel Darul Makmur dan Darul Makmur Lodge). Caj penginapan bagi hotel-hotel wakaf ini boleh dikurangkan sesuai dengan konsep dan amalan wakaf. Dengan bersedekah, rezeki melimpah-ruah, nilai bertambah dan barakah. Kebanyakan masjid di negara kita mempunyai saiz tanah yang agak luas. Begitu juga dengan kuburan. Namun, hanya sebahagian sahaja digunakan. Untuk penggunaan tanah yang optimum, disarankan supaya tanaman kontan diusahakan di kawasan yang belum digunakan. Begitu juga dengan ruang yang boleh diletakkan panel solar bagi menjana elektrik. Kemudian, penyaluran ke masjid boleh dilakukan. Hasilnya, bekalan elektrik bagi penggunaan masjid disediakan secara percuma. Lagipun, melalui wakaf alat-alatan, modal tidak diperlukan apabila ada yang mewakafkannya.

Begitu juga sekiranya kawasan rawat dan rehat (R&R) di sepanjang lebuh raya di negara kita dijadikan wakaf, tiada bayaran yang dikenakan. Keadaan ini samalah seperti konsep dan amalan Caravan Saray di Turki yang wujud sekitar kurun ke-13 tanpa dikenakan bayaran malahan rawatan kesihatan dan makanan disediakan kepada musafir.

Pembinaan rumah mampu milik di atas tanah wakaf telah dijalankan secara perkongsian antara agensi berkaitan wakaf (ABW) dan pihak pemaju swasta seperti di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak. Di Singapura­, tanah wakaf dimajukan de­ngan menerbitkan sukuk untuk memba­ngunkan hartanah perdagangan. Projek kompleks perdagangan tiga tingkat dan sebuah masjid serta 107 unit pangsapuri serta bangunan pejabat enam tingkat telah berjaya dibina di Bencoolen Street.

Jelaslah, apabila wakaf menjadi sumber bagi menyediakan kemudahan awam, kos pemba­ngunan kerajaan menjadi rendah. Rakyat pula menikmatinya de­ngan bayaran rendah. Bak ranting tempat berpaut, sesungguhnya wakaf mensejahterakan rakyat.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Felo Penyelidik di Institut Kajian Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Read 53 times