Hari Ini 27

Seminggu 27

Sebulan 3564

Jumlah 12158712

Mahar

Maksudnya : Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 08 Jun 2018, 15:42:30.
Ahad, 14 Ogos 2016 16:23

Kepentingan zakat kepada umat Islam

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tarikh Disiarkan: 14 Aug, 2016
Sumber: Utusan Malaysia Online
Oleh: Safina Ramli

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad, Ahli Jawatankuasa Agihan, Zakat Selangor,Datuk Ibrahim Md. Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali
Dari kiri, Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad, Ahli Jawatankuasa Agihan, Zakat Selangor,Datuk Ibrahim Md. Yusof
dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali ketika ditemu bual mengenai isu zakat
di Kuala lumpur baru-baru ini.

“Aku tak nak bayar zakat, aku tak tahu ke mana duit aku dibahagikan,”.

“Aku dah bayar zakat masa bulan Ramadan,”.

“Aku pun hidup susah, macam mana nak bayar zakat,”.

Ayat-ayat di atas mungkin merupakan alasan-alasan klise yang sering disuarakan oleh masyarakat kita yang mencari seribu satu helah untuk melarikan diri daripada menyempurnakan kewajipan dalam menunaikan zakat.

Tidakkah kita sedar bahawa menunaikan zakat itu merupakan salah satu daripada rukun Islam yang kelima malah zakat juga adalah manifestasi kesyukuran kita terhadap rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Bijak pandai ada mengatakan harta itu diumpamakan seperti air mengalir. Selagi air mengalir, selagi itulah ia bersih dan jernih. Jika air bertakung, maka ia kotor dan membusuk.

Oleh itu, zakat merupakan salah satu cara untuk menyucikan harta selain sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah.

Kepentingan zakat dapat dilihat melalui firman Allah di dalam surah At-Taubah, ayat 103 yang bermaksud :

“Ambillah sebahagian dari harta mereka sebagai sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Selain menyucikan harta zakat juga berperanan untuk membangunkan ekonomi umat Islam dengan merapatkan jurang antara golongan kaya serta miskin dengan matlamat mengeluarkan golongan asnaf daripada kepompong kemiskinan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd. Ali mendedahkan seramai 513 penerima zakat di Selangor telah berjaya keluar daripada senarai golongan asnaf melalui pelbagai bantuan yang diberikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bagaimanapun menurutnya, matlamat LZS untuk menjadikan lebih ramai penerima zakat sebagai pembayar zakat tidak akan berhasil tanpa sokongan daripada umat Islam di Selangor.

Katanya, walaupun jumlah pembayar zakat semakin meningkat setiap tahun dan menunjukkan pertambahan yang positif namun jumlah kutipan zakat harta masih belum mencukupi.

“Jumlah kutipan tahun lalu ialah RM627.2 juta manakala jumlah agihan zakat ialah RM676 juta.

“Jumlah agihan pada tahun lalu melebihi kutipan memandangkan selalunya pada bulan Disember merupakan hari yang sibuk kerana orang ramai berpusu-pusu untuk membayar zakat harta mereka dan kita akan mengagihkan terus zakat kepada yang layak,” jelasnya ketika ditemui selepas perbincangan mengenai isu zakat Selangor bersama Majlis Perundingan Melayu (MPM) baru-baru ini.

Husin memberitahu, keperluan asnaf dan fakir miskin di Selangor semakin meningkat setiap tahun dan kini jumlah keperluan asnaf mencapai RM1 bilion setahun.

“Melalui data yang dibanci lebih 40,000 keluarga termasuk dalam senarai golongan yang perlu dibantu.

“Jumlah mereka yang berjaya keluar daripada senarai asnaf masih lagi kurang jika dibandingkan dengan jumlah mereka yang tersenarai.

Kemakmuran ekonomi

“Kita bermatlamat mahu menjadikan Selangor seperti di zaman pemerintahan Khalifah Umar Al Khatab di mana pada zaman itu tiada sesiapa yang layak untuk menerima zakat kerana kemakmuran ekonomi umat Islam,” jelasnya.

Bagi Ahli Jawatankuasa Agihan Zakat Selangor, Datuk Ibrahim Md. Yusof, zakat itu sendiri merupakan sumber kekuatan umat Islam dan melaluinya ekonomi umat Islam dapat diperkasakan.

“Banyak program bantuan kepada asnaf telah dijalankan oleh LZS dan LZS membantu mereka keluar daripada masalah kemiskinan.

“LZS memberi latihan kepada mereka untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, jahitan, malah kini terdapat lebih 100 trak makanan LZS untuk membantu golongan asnaf.

“Kita mahu memperkasakan ekonomi umat Islam kerana ia merupakan satu tuntutan agama, bukan mahu menakut-nakutkan kaum lain,” jelasnya.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, tidak mustahil untuk LZS mengutip lebih daripada RM1 bilion zakat harta jika kesedaran dalam kalangan umat Islam mengenai kewajipan menunaikan zakat harta semakin meningkat.

“Kefahaman kewajipan untuk umat Islam menunaikan zakat fitrah telah jelas dalam masyarakat cuma zakat harta masih ada yang masih kurang faham.

“Seandainya kefahaman orang Islam mengenai kewajipan bayar zakat harta setara dengan zakat harta nanti anggaran zakat Selangor boleh mencapai RM3 bilion setahun, dan melalui zakat tersebut kemakmuran ekonomi umat Islam dapat dijayakan,” jelasnya.

Selain itu katanya, satu pangkalan data yang diselaraskan antara LZS dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara perlu diwujudkan untuk memudahkan proses kemas kini data umat Islam yang mampu untuk membayar zakat serta membantu melicinkan proses urusan zakat.

Hasan berkata, Ibrahim akan dilantik sebagai Pengerusi Task Force Institusi Zakat dan Wakaf MPM bagi memastikan institusi zakat di Selangor menjadi salah satu daripada kepentingan umat Islam dan dijadikan model bagi negeri-negeri lain dalam mengurus tadbir institusi tersebut.

Read 376 times