Hari Ini 49

Seminggu 1111

Sebulan 4580

Jumlah 16632

Gadaian

Maksudnya : Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Isnin 09 April 2018, 14:29:16.
Jumaat, 19 Ogos 2016 16:07

Memahami konsep wakaf demi ummah

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tarikh Disiarkan: 19 Aug, 2016
Sumber: Utusan Malaysia Online
Oleh: Ismail Omar

KLINIK Wakaf An Nur yang terletak di pekarangan Masjid Nurul Iman Ijok di Batang Berjuntai, Selangor,
memudahkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan. GAMBAR HIASAN

SESUDAH membaca artikel penulis mengenai kebaikan hospital wakaf, Ustaz Amir (bukan nama sebenar), telah menulis surat dan menyatakan hasratnya untuk berwakaf. Beliau seorang pemilik Tanah Rizab Melayu dengan kegunaan pertanian yang terletak di Kedawang, Langkawi. Nilai tanahnya jutaan ringgit. Lokasi bersebelahan lapangan terbang. Berdekatan pula dengan Porto Malai yang terkenal. Beliau berhasrat untuk memajukan ta­nahnya mengikut konsep dan amalan wakaf khas. Membina sebuah hospital wakaf.

Sudah tentu, beberapa perkara perlu diketahui dengan jelas sebelum sesuatu keputusan untuk menjalankan pembangunan hartanah diambil. Fikirkan faktor makro sebelum mengambil tindakan yang mikro. Think global but act local. Justeru, penulis telah menghubungi beliau dan me­nerangkan beberapa perkara penting. Terutama sekali me­ngenai isu wakaf khas iaitu untuk kegunaan hospital.

Wakaf khas ialah kegunaan tanah secara khusus. Hujahan pewakaf yang diniatkan untuk kegunaan wakaf khas mempunyai impak tertentu. Impak ini perlu dikaji dengan teliti sebelum sesuatu bentuk pembangunan dijalankan.

Apabila pewakaf berhasrat memajukan tanahnya sebagai wakaf khas iaitu membina sebuah hospital, timbul isu kerana kegunaan hospital barang kali tidak sesuai dengan keadaan dan persekitar­an semasa. Barangkali sudah ada hospital berdekatan. Begitu juga dengan keperluan semasa dan peralatan kesihatan yang mahal atau sukar diperoleh.

Begitu juga dengan tenaga pakar dan jururawat yang boleh disediakan. Apabila kegunaan khusus telah dijadikan hujah berwakaf, tukar ganti kegunaan hanya boleh dilakukan melalui kaedah istibdal yang perlu mematuhi fatwa yang berkaitan. Proses istibdal agak rumit dan memakan masa yang agak panjang. Lantaran, pewakaf perlu memahami atau diberi kefahaman mengenai wakaf am dan wakaf khas ini.

Daripada 14,356 lot tanah wakaf di seluruh negara atau seluas 30,888.89 hektar, hanya kira-kira 40 peratus yang diwakafkan di bawah kategori wakaf am. Manakala kira-kira 60 peratus pula di bawah kategori wakaf khas terutama sekali kubur, masjid, surau dan tapak madrasah. Di Pahang, terdapat 144 lot tanah wakaf dengan keluasan 74.60 hektar dan tiada tanah wakaf am yang direkodkan. Sebaliknya di Kelantan, daripada 510 lot tanah wakaf (atau 284.92 hektar), terdapat 421 lot tanah wakaf khas (265.20 hektar) dan 89 lot sahaja di bawah kategori wakaf am (19.72 hektar).

Keadaan yang berbeza wujud di Pulau Pinang, hanya 69 lot wakaf khas (atau 37.72 hektar) berbanding 1,083 lot tanah wakaf am atau 704.29 hektar. di Perak, sebanyak 4,915 lot adalah wakaf khas berbanding wakaf am sebanyak 318 lot, manakala di Kedah, terdapat 130 lot wakaf am dan 938 lot wakaf khas.

Perbezaan bilangan lot tanah wakaf am dan wakaf khas begitu ketara di beberapa negeri. Menurut kajian, pewakafan untuk tujuan am memudahkan inisiatif untuk memajukannya. Makna­nya, wakaf khas yang diberi me­nimbulkan risiko untuk dimajukan.

Berdasarkan statistik di atas, tidak hairanlah Ustaz Mus (bukan nama sebenar) dari Majlis Agama Islam Johor mengatakan bahawa wakaf khas menimbulkan banyak masalah dan kerumitan untuk dimajukan berbanding wakaf am. Begitu juga dengan tempoh pembangunan yang akan memakan masa berbanding untuk memajukan wakaf am.

Tempoh yang lebih panjang diperlukan untuk menyelesaikan masalah tukar ganti kategori guna tanah atau menggunakan pendekatan istibdal bagi menyelesaikannya di pejabat tanah. Justeru, kos untuk melaksanakan istibdal bagi memajukan tanah wakaf melalui penukaran kategori khas juga akan meningkat berbanding wakaf am. Apabila kos pemba­ngunan meningkat, harga produk akhir juga cenderung untuk me­ningkat.

Tutur Ustaz Mus lagi, selain memberi kefahaman mengenai kategori wakaf am dan wakaf khas, pewakaf juga perlu me­ngetahui makna kaedah istibdal. Secara ringkas, istibdal adalah menukar ganti tanah wakaf yang bernilai rendah dengan yang bernilai lebih tinggi.

Kaedah istibdal telah digunakan dengan jayanya dalam memajukan tanah wakaf di Bencoolen Street, Singapura dan tempat lain. Selain itu, tambah Ustaz Mus, pewakaf perlu diberi kefahaman yang jelas tentang ibdal iaitu cara untuk mendapatkan (tanah) wakaf. Banyak tanah rizab yang boleh dijadikan wakaf.

Begitu juga, pihak kerajaan boleh mengurniakan wakaf ir­syod. Bagi kebanyakan orang yang ingin berwakaf, mereka takut dengan hartanah yang sedikit dan menyebabkan pewaris kehilangan aset. Dalam konteks ini, wakaf ahli boleh diberikan. Wakaf ahli membolehkan pewaris menerima manfaat wakaf selama tempoh yang dinyatakan. Jadi, hartanah tetap dimanfaatkan pewaris de­ngan syarat-syarat tertentu.

Sehubungan itu, penulis telah menasihati Ustaz Amir supaya mewakafkan tanahnya di bawah kategori wakaf am supaya mudah untuk dimajukan dengan pelbagai kegunaan. Beliau bersetuju. Setelah dipersetujui untuk pembangunan wakaf am, penulis menghubungi beberapa pemaju yang berminat untuk memajukan tanah wakaf.

Nampaknya, ada beberapa pe­maju hartanah yang berwibawa telah menunjukkan minat yang mendalam. Maknanya, kesedaran untuk berwakaf dan melibatkan diri untuk memajukan tanah wakaf dalam kalangan rakyat semakin meningkat. Terus suburkan budaya berwakaf.

Jadi, pendedahan, promosi dan kempen atau kaunseling perlu diberikan kepada pewakaf supaya mewakafkan tanahnya untuk kategori wakaf am. Berbanding wakaf khas, wakaf am memberi pelbagai pilihan untuk memajukan hartanah wakaf.

Oleh yang demikian, untuk memajukan tanah wakaf, penge­tahuan hukum-hakam yang berkaitan wakaf perlu diketahui bagi melicinkan proses pemba­ngunan. Bukan setakat itu sahaja, impak daripada keputusan yang dibuat pewakaf juga hendaklah dikaji untuk memastikan tanah wakaf dapat dimajukan mengikut kesesuaian persekitaran dan permintaan setempat. Apalah guna­nya memajukan tanah yang tidak ada permintaan di pasaran. Ataupun, harga yang rendah di pasaran.

Akhirnya, tanpa kajian pasaran yang mendalam sebelum memajukan tanah wakaf, pihak agensi berkaitan wakaf tidak mendapat manfaat yang optimum apabila tanah yang dimajukan tidak dapat dijual, dipajak, disewa atau digunakan pada tahap tertinggi dan terbaik.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama). Beliau juga ialah pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Read 198 times