Hari Ini 187

Seminggu 2453

Sebulan 9404

Jumlah 17798322

Zakat Dan Sedekah

Maksudnya : Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang Yang rukuk. Surah al-Baqarah 2 : 43

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Selasa 06 Ogos 2019, 12:37:35.
Jumaat, 22 Januari 2016 12:49

MAIWP manfaatkan NBOS

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tarikh Disiarkan: 22 Jan, 2016
Sumber: Utusan Malaysia Online
Oleh: Hashnan Abdullah

USAHA bagi memastikan keperluan setiap asnaf yang menerima bantuan zakat dipenuhi bukannya satu kerja mudah. Ini kerana, setiap asnaf itu mempunyai keperluan tersendiri dalam menempuh kehidupan seharian.

Ada yang perlukan bantuan sara diri, biasiswa pendidikan anak-anak, modal perniagaan, kemudahan rawatan kesihatan, perumahan, membayar hutang dan lain-lain.

Kepelbagaian itu tidak dinafikan menjadi cabaran getir majlis agama Islam negeri apabila menguruskan pengagihan zakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak terkecuali dalam hal ini.

Namun, bagi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Jaffar, pengenalan pendekatan Strategi Lautan Biru (NBOS) oleh kerajaan Persekutuan telah memberi sedikit kelegaan kepada pihaknya dalam mengagihkan wang zakat yang diterima MAIWP.

Apa tidaknya, pendekatan itu membolehkan MAIWP menjalinkan kerjasama merentasi kementerian atau agensi kerajaan bagi membolehkan golongan asnaf menikmati manfaat daripada dana zakat yang dikutip.

“Tujuan utama kerjasama di bawah NBOS adalah bagi membolehkan pihaknya mewujudkan prasarana dan kemudahan untuk masyarakat termasuk golongan asnaf,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

MANFAATKAN KELEBIHAN

Setiap agensi mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing. MAIWP mempunyai kekuatan dari segi dana zakat manakala agensi kerajaan lain pula mempunyai kekuatan dari segi tenaga pakar dan sumber kemudahan lain.

Oleh itu, kerjasama di bawah strategi tersebut dapat menggembleng sumber dan kekuatan yang ada bagi menghasilkan impak yang berkesan kepada masyarakat umum, khususnya umat Islam.

Malah, dalam masa sama, kerjasama sedemikian mampu memberi manfaat kepada ummah kerana pelaksanaan sesuatu perancangan atau projek pembangunan dapat dipercepatkan.

“Bagi saya, apa yang penting kerjasama itu memberi peluang kepada kami memperluaskan skop penerima manfaat zakat di Wilayah Persekutuan,” katanya.

PROJEK MAIWP BAWAH NBOS

Zainal Abidin menyenaraikan antara projek MAIWP yang dilaksanakan di bawah NBOS adalah Kedai Rakyat MAIWP yang terletak di perumahan kerajaan di Presint 5, Putrajaya. Ia yang dibuka pada 2007 merupakan premis jualan barangan keperluan asas. 

Projek itu adalah hasil kerjasama antara MAIWP, Jabatan Wakaf, Zakat Dan haji (Jawhar), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri (BPH-JPM).

Lebih menarik lagi, projek itu turut mendapat kerjasama daripada sektor swasta iaitu Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) sebagai pembekal barangan runcit.

Sehingga kini, MAIWP telah membuka dua lagi premis Kedai Rakyat MAIWP iaitu di Presint 9, Putrajaya dan satu lagi berbentuk kiosk di Imarah Wakaf MAIWP, Jalan Perak, Kuala Lumpur.

“Dengan penubuhan Kedai Rakyat MAIWP ini dapat membantu usaha kerajaan meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan keperluan asasi pada harga yang lebih murah.

Usaha MAIWP tidak terhenti dalam bidang ekonomi sahaja. Mereka meneroka pula bidang perubatan dan kesihatan dengan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

BIDANG PERUBATAN DAN KESIHATAN

Dua projek terbesar MAIWP dalam bidang tersebut ialah Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia MAIWP yang terletak di sebuah pangsapuri di Fasa 8R3 Presint 8, Putrajaya. Pusat yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2012 itu turut membabitkan kerjasama BPH-JPM dan Hospital Putrajaya.

“Bagi saya, apa yang penting dengan kerjasama itu, sebuah pusat bersalin dapat dibuka dalam tempoh yang cepat berbanding membina sebuah bangunan yang tentunya memakan masa antara dua hingga tiga tahun,” katanya.

Melalui kerjasama itu, MAIWP telah meluluskan sebanyak RM3.27 juta dari dana zakat kepada Hospital Putrajaya bagi kos ubahsuai bangunan dan peralatan manakala Hospital Putrajaya dan Kementerian Kesihatan menyediakan tenaga kerja dan kepakaran. 

“Antara objektif penubuhan pusat bersalin ini adalah menyediakan kemudahan kelahiran untuk kes-kes bersalin berisiko rendah dan memberikan pengalaman kelahiran dalam suasana selesa dan kondusif yang bersifat kelahiran di rumah.

“Malah, penubuhan pusat ini juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan wad bersalin di Hospital Putrajaya,” katanya lagi.

Kerjasama kedua adalah penubuhan Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang yang beroperasi di Jalan 3/3C, Sri Utara, off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. 

Pusat yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Februari 2014 itu merupakan kerjasama antara MAIWP, Hospital Selayang dan Kementerian Kesihatan. 

“Melalui kerjasama ini, MAIWP telah meluluskan peruntukan zakat sebanyak RM9.8 juta bagi pembelian bangunan, pengubahsuaian bangunan dan pembelian peralatan pembedahan.

“Manakala Hospital Selayang dan Kementerian Kesihatan pula menyediakan tenaga kerja dan kepakaran bagi menjalankan operasi pusat tersebut,” kata Zainal Abidin.

MANFAAT BERGANDA 

Penubuhan pusat ini membolehkan jumlah pembedahan pesakit katarak dapat dipertingkatkan dan dapat meningkatkan peratusan pesakit yang menjalani pembedahan katarak dalam tempoh setahun.

Malah, pusat itu telah membolehkan waktu menunggu pesakit katarak untuk menjalani rawatan dipercepatkan dari empat minggu kepada dua minggu.“Pusat itu juga memenangi Anugerah Inovasi JPM 2015. Ia juga telah menyumbang kepada kejayaan MAIWP dinobatkan sebagai Jabatan Paling Inovatif JPM 2015,” katanya. 

Selain menerima Anugerah Inovasi, MAIWP turut menerima Sijil Audit Bersih Tanpa Teguran 9 Tahun Berturut-turut dan penarafan 4 bintang (Sangat Baik) bagi Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan 3 tahun berturut-turut daripada Jabatan Audit Negara. Ini membuktikan bahawa pengurusan kewangan di MAIWP sentiasa telus, cekap dan sistematik.

Read 230 times Last modified on Sabtu, 26 Ogos 2017 03:57