Hari Ini 177

Seminggu 2443

Sebulan 9394

Jumlah 17798312

Membelanjakan Harta

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): apakah Yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) Yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: kedua ibu...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Selasa 06 Ogos 2019, 12:37:35.
Jumaat, 08 Januari 2016 12:38

Pematuhan Syariah: Sejauhmana 
peranan institusi kewangan ?

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tarikh Disiarkan: 8 Jan, 2016
Sumber: Utusan Malaysia Online
Oleh: Mohd Hafizal Elias

GELARAN selaku institusi kewangan Islam merupakan suatu cabaran yang berat kepada perbankan Islam dan pengendali takaful di Malaysia. Lebih-lebih lagi setelah Malaysia dikenali sebagai peneraju kewangan Islam di dunia seperti yang dilaporkan dalam ‘State of Global Islamic Economy Report 2015’.

Aspek pematuhan syariah secara menyeluruh sentiasa menjadi tunjang kepada kejayaan ini kerana ia mencorak masa depan sistem kewangan Islam itu sendiri.

Dengan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai undang-undang dan peraturan yang menyeluruh berkenaan pematuhan syariah untuk kewangan Islam dengan menetapkan jumlah denda yang tinggi kepada mana-mana pihak yang sengaja melanggar prinsip-prinsip syariah.

Tambahan lagi setiap institusi kewangan Islam diwajibkan untuk menubuhkan panel syariah bagi menasihati setiap operasi dan pengurusan mereka.

Seperti yang diketahui, pematuhan syariah adalah perkara asas yang perlu dipantau dari semasa ke semasa oleh Institusi Kewangan Islam (IKI) bagi memastikan segala transaksi yang dilakukan tidak keluar daripada landasan syariah.

Pelaksanaan dan pemantauan secara tidak serius boleh mengakibatkan transaksi yang dilakukan menjadi batal dan seterusnya memberikan persepsi yang negatif kepada masyarakat mengenai kredibiliti sistem kewangan Islam.

Walau bagaimanapun, elemen syariah inilah yang menjadikan sistem kewangan Islam itu unik berbanding sistem kewangan konvensional di mana setiap perkara yang ingin dilakukan perlu diteliti secara terperinci dan telus supaya tidak menggugat kepentingan pihak-pihak yang berkontrak.

Bagi mencapai matlamat pematuhan syariah yang menyeluruh, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah pada tahun 2011 yang wajib dipatuhi oleh setiap IKI berlesen.

Ia bertujuan memastikan setiap fungsi di dalam IKI bertanggungjawab bagi mewujudkan persekitaran operasi perniagaan yang sentiasa patuh kepada prinsip syariah justeru dapat mempertingkatkan keyakinan masyarakat dan pasaran kewangan terhadap kredibiliti operasi kewangan Islam.

Seperti yang termaktub di dalam rangka kerja tersebut, pihak pengurusan IKI perlu memantau dan melaksanakan setiap keputusan dan resolusi yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah BNM dan juga Jawatankuasa Syariah IKI.

Pematuhan terhadap dua badan syariah ini sangat penting kerana mereka bertindak dengan autoriti yang telah diberikan dalam memutuskan setiap perkara berkaitan kewangan sama ada ianya halal atau pun haram pada pandangan syarak.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan IKI juga harus menyediakan maklumat yang tepat dan lengkap mengenai sesuatu perkara yang dibangkitkan kepada Jawatankuasa syariah.

Ketelusan terhadap perkara yang memerlukan penjelasan lanjut oleh Jawatankuasa Syariah perlu diberikan bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas secara efektif dan tidak membuat sebarang kesilapan dalam mengeluarkan resolusi.

Kegagalan berbuat demikian dapat menyumbang kepada implikasi besar seperti kontrak tidak sah, pelaburan menjadi haram, pendapatan yang tidak diiktiraf di sisi syarak dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, pihak pengurusan IKI juga perlu menerapkan budaya pematuhan syariah yang holistik merangkumi cara kendalian terhadap keseluruhan operasi perniagaan dan bukan sekadar produk sahaja. Penerapan ini boleh dilakukan dengan memberi peringatan kepada semua kakitangan yang terlibat mengenai kepentingan syariah dan juga kesan kepada IKI sekiranya prinsip atau praktis syariah tidak dipatuhi.

IKI juga perlu menjadikan syariah sebagai keperluan menyeluruh dalam membuat sebarang prosedur atau aktiviti yang berkaitan dengan kewangan Islam yang akan dilakukan supaya sebarang kemungkinan isu syariah dapat diatasi dari peringkat awal lagi.

Tidak cukup dengan itu, rangka kerja tadbir urus syariah ini juga menekankan supaya semua kakitangan yang relevan perlu mahir dan fasih mengenai produk yang ditawarkan oleh IKI termasuk pemahaman mengenai kontrak asas syariah, persamaan dan juga perbezaan di antara produk dan konsep kewangan Islam dan konvensional.

Pemahaman menyeluruh ini diperlukan bagi memberikan penjelasan terbaik kepada masyarakat dan seterusnya dapat mengelakkan salah faham terhadap kewangan Islam.

Rangka Kerja Urus Tadbir Syariah ini juga telah menggariskan secara jelas tanggungjawab yang perlu dipikul oleh lembaga pengarah dan Jawatankuasa Syariah dalam memastikan keberkesanan syariah dalam setiap operasi IKI.

Tambahan lagi, IKI perlu mewujudkan fungsi semakan syariah, sadit syariah, pengurusan risiko syariah dan sekretariat syariah supaya sebarang isu syariah dapat dihadapi dengan efektif.

Melihat kepada peranan IKI dalam pematuhan syariah, kita sebagai umat Islam seharusnya berasa yakin dan menyokong setiap produk yang ditawarkan oleh IKI kerana inilah satu jihad muamalah yang dituntut oleh agama iaitu membebaskan diri daripada kongkongan riba.

Mohd. Hafizal Elias 
adalah Ketua Unit Syariah, 
Pengurusan Strategik & 
Syariah Great Eastern Takaful Berhad.

Read 288 times Last modified on Sabtu, 26 Ogos 2017 03:48