Hari Ini 210

Seminggu 1788

Sebulan 4912

Jumlah 12145552

Orang-Orang kaya

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) Yang mengatakan: bahawasanya Allah miskin dan Kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 08 Jun 2018, 15:42:30.
Isnin, 04 April 2016 11:28

Malaysia kini peneraju industri halal

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tarikh Disiarkan: 4 Apr, 2016
Sumber: Utusan Malaysia Online
Oleh: Azman Mahmud

MALAYSIA kini jelas berada di barisan hadapan dalam industri Halal. Persijilan Halal negara telah mendapat pengiktirafan di peringkat global. Berdasarkan Thomson Reuters State of Global Islamic and Economic Report 2015/2016, Malaysia telah dinobatkan sebagai negara Islam terbaik di kalangan 73 buah negara, yang telah berjaya membangunkan ekonominya dengan maju.

Laporan yang sama juga turut meletakkan Malaysia di tempat pertama dalam kategori Makanan Halal, Kewangan Islam dan Pelancongan Halal serta berada di dalam kedudukan lima negara teratas bagi kategori farmaseutikal dan kosmetik.

Kini, negara berada di fasa akhir Pelan Induk Industri Halal (2008-2020) untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi, pengeluaran dan perdagangan produk dan perkhidmatan halal.

Negara kini di landasan yang tepat untuk menjadi Pusat Rujukan Global bagi Integriti dan Pusat Inovasi Produk dan Perdagangan melalui strategi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020).

Ia dikukuhkan lagi dengan penubuhan Majlis Halal Malaysia yang telah diumumkan pada bulan Februari lepas. Penubuhan yang membawa kepada penyelarasan yang lebih baik dalam pembangunan industri halal ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk menjadi pemimpin halal dunia.

Banyak syarikat asing telah memanfaatkan ekosistem halal yang telah dibangunkan sejak sekian lama. Antara syarikat-syarikat terkemuka yang menjadikan Malaysia sebagai pangkalan bagi pembuatan produk halal termasuk Charoen Pokphand (CP) Holdings, Nestle, Kerry Ingredients, PureCircle, Cargill, Adeka Foods, Rikevita, Kewpie, IFFCO, Kellogg dan Ajinomoto.

Malah, Nestle Malaysia telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Halal (COE) bagi kumpulan syarikatnya. Melalui COE berkenaan, Nestle mengeksport kepakaran dan pengetahuan halal ke cawangan lain di seluruh dunia.

Baru-baru ini semasa berlangsungnya Persidangan Halal Dunia 2016 (WHC2016), BRF S.A, syarikat makanan terkemuka dari Brazil yang juga merupakan pengeluar utama makanan berasaskan ayam di bawah jenama “Sadia”, satu jenama halal yang terkenal di Asia Barat telah mengumumkan penubuhan Pejabat Pelaburan dan Pembangunan mereka di Malaysia. BRF memegang 14 peratus perdagangan produk berasaskan ayam dunia pada tahun 2015.

MIDA telah beberapa kali mengadakan perbincangan awal dengan syarikat tersebut untuk menarik pelaburan mereka ke Malaysia. BRF akhirnya menubuhkan sebuah pejabat di sini untuk mengumpul maklumat kritikal serta mempercepatkan usaha pembangunan perniagaan dan kajian kemungkinan untuk melabur di Malaysia.

MIDA yakin BRF akan mendapati Malaysia sebagai batu loncatan global strategik mereka untuk pasaran pengguna Halal global.

Selain syarikat asing, syarikat-syarikat Malaysia juga turut menempa nama di pasaran tempatan dan antarabangsa. Antaranya Ramly Food Processing, Mamee Double Decker, Dewina Food Industries, Felda Global Ventures (FGV) dan Chemical Company of Malaysia (CCM).

Pada tahun 2015, MIDA telah meluluskan tambahan 51 projek bagi industri pembuatan makanan dengan pelaburan sebanyak RM2.6 bilion dan menjana lebih 2,900 peluang pekerjaan. Majoriti projek yang diluluskan dan telah dilaksanakan adalah bagi pembuatan makanan Halal.

Penglibatan MIDA di Persidangan Halal Dunia 2016 (WHC 2016) baru-baru ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha promosi pelaburan MIDA untuk memberikan maklumat dan pandangan secara langsung berhubung kedudukan Malaysia sebagai Gerbang Halal pasaran global.

Sesi pleno yang dianjurkan oleh MIDA semasa WHC 2016 berjaya menarik lebih daripada 50 peserta yang terdiri daripada syarikat tempatan dan asing.

Berlandaskan kejayaan yang lalu, Malaysia akan terus merintis jalan mempercepatkan pertumbuhan industri halal daripada aspek produk dan aktiviti baharu dan yang bernilai di tambah tinggi.

MIDA yakin sesi pleno tersebut akan diterjemahkan kepada perkongsian strategik yang akan membawa industri Halal di Malaysia ke tahap lebih tinggi. 


Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Read 270 times