Hari Ini 82

Seminggu 5604

Sebulan 3304

Jumlah 55263042

Pertanian

Maksudnya : Dia lah Yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya. Surah an-Nahl 16:10

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 14 Februari 2020, 12:20:52.
Sabtu, 27 Februari 2016 12:14

Institusi perbankan manipulasi kelemahan sistem

Written by
Rate this item
(0 votes)

Tarikh Disiarkan: 27 Feb, 2016
Sumber: Utusan Malaysia Online
Oleh: Ahmad Shazwan Md. Yusof

image 1KUALA LUMPUR 29 Feb. - Kerajaan perlu memperbaiki sistem kewangan dan perbankan bagi mengelakkannya daripada terus dimanipulasi institusi perbankan yang akhirnya membawa kepada peningkatan kadar individu muflis di negara ini.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, institusi perbankan ketika ini diberikan kebebasan sewenang-wenangnya memberikan pinjaman termasuk peribadi, kenderaan dan kad kredit tanpa kawalan.

Natijahnya, kata beliau, peminjam atau pemegang kad kredit terbeban dengan jumlah hutang yang tinggi sehingga menyebabkan mereka diisytiharkan bankrap.

“Sistem kewangan dan perbankan di negara ini perlu dilihat semula secara menyeluruh termasuklah memperketatkan syarat pinjaman dan kad kredit kerana mereka dilihat memberikan pinjaman dan kad kredit secara semberono sehingga menyebabkan peminjam bankrap.

“Hari ini sistem menjahanamkan ekonomi kita. Pihak perbankan serta institusi kewangan tidak memikirkan penyelesaian kreatif bagi mengelakkan peminjam daripada muflis dan dari sinilah punca segala masalah itu berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri Jumaat lalu memberitahu, sebanyak 276,753 individu membabitkan mereka yang berumur 25 hingga 44 tahun diisytiharkan bankrap sehingga Disember 2015.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, hanya 46,109 individu muflis telah mendapat pelepasan dan pembatalan bankrap melalui mahkamah bagi tempoh yang sama.

Katanya, punca utama menyebabkan kes bankrap berlaku adalah gagal menjelaskan bayaran sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, kad kredit dan pinjaman perniagaan.

Dalam pada itu, Amir Hussin berkata, pihak berwajib termasuk Bank Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) perlu duduk semeja memikirkan jalan terbaik dalam menambah baik sistem kewangan, institusi perbankan dan pengurusan individu bankrap.

Selain itu, kata beliau, individu yang berdepan tindakan diisytiharkan muflis oleh mahkamah perlu diberikan ruang untuk mempertahankan diri serta menjelaskan punca mengapa dia gagal membayar hutang.

“Institusi perbankan sepatutnya tidak memberikan alasan lapuk bahawa peminjam sudah berpindah dan bertukar alamat tanpa pengetahuan mereka. Sepatutnya, mereka perlu mengambil masa untuk mencari peminjam dan bukannya terus menghadapkan mereka ke mahkamah tanpa sebarang makluman.

“Inilah kelemahan yang jelas dalam sistem perbankan dan kewangan negara hari ini. Kita perlukan penyelesaian yang konkrit supaya sistem kewangan dan perbankan negara tidak goyah. Kalau ramai individu khususnya orang muda muflis, bagaimana negara pada masa depan?” tegas beliau.

Read 576 times Last modified on Sabtu, 26 Ogos 2017 05:21