Hari Ini 206

Seminggu 2472

Sebulan 9423

Jumlah 17798341

Pengurusan Masa

Maksudnya; Dari Abi Bazrah al-Aslami katanya: Rasulullah SAW bersabda, tidak akan melangkah kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanyakan mengenai umurnya pada apa ia habiskan, mengenai ilmunya pada apa...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Selasa 06 Ogos 2019, 12:37:35.

Menyuntik ‘Nyawa’ Baharu PKS

 

Redzuan Yusof

MUKADIMAH

KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) memudahkan pinjaman kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) bukanlah petanda bahawa sektor itu mengalami tempoh yang sukar sebelum ini. Sebaliknya, ia menunjukkan satu bentuk sokongan kerajaan terhadap PKS yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara.

Dalam hal itu, Menteri Pembangunan Usahawan, DATUK SERI MOHD. REDZUAN YUSOF berkata, inisiatif berkenaan akan memberi impak positif kepada ekosistem PKS sekali gus memberi kesan baik kepada aliran tunai dan operasi perniagaan mereka.

“PKS adalah komponen penting dalam ekonomi, mencakupi 98.5 peratus entiti perniagaan di Malaysia. Mereka menyumbang 37.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2017 dan menyumbang 66 peratus daripada tenaga kerja dan 17.3 peratus daripada eksport,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM baru-baru ini.

UTUSAN: Apakah isu-isu yang sedang membelenggu PKS ketika ini dan kesan yang dihadapi mereka akibat ketentuan ekonomi global?

MOHD. REDZUAN: Bukan hanya PKS, tetapi seluruh ekonomi global menghadapi masa yang mencabar. Terdapat beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan sektor ini iaitu:

Pertumbuhan teknologi yang begitu pantas.

Ini menyukarkan PKS untuk mengejarnya. Kebanyakan mereka tidak terlibat dalam aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) kerana pelaburan modalnya melebihi kemampuan selain menggunakan tenaga kerja tidak mahir menyebabkan mereka sukar bergerak ke dalam aktiviti tambah nilai yang lebih tinggi.

Tidak sepadan dengan pasaran modal insan

Para usahawan kebanyakannya enggan menghantar pekerja mereka untuk latihan kerana dikhuatiri boleh mengganggu dalam aktiviti kerja.

Kebanyakan usahawan sukar untuk mengekalkan kesetiaan pekerja kerana tawaran ganjaran rendah dan faedah yang tidak kompetitif.

Akses pembiayaan

Usahawan perusahaan mikro terutamanya menghadapi cabaran untuk mendapatkan pembiayaan bank kerana kekangan  kelayakan kredit yang lemah, rekod kewangan yang tidak baik atau kekurangan daya saing perniagaan.

Akses pasaran

Di pasaran domestik, usahawan mempunyai akses terhad untuk mendapatkan perolehan kerajaan atau syarikat-syarikat besar kerana terdapat persepsi negatif bahawa produk dan perkhidmatan PKS adalah berkualiti rendah. Mereka juga kurang fokus dalam strategi pemasaran dan jenama sekali gus menyukarkan mereka untuk menjual produk dan perkhidmatan dalam jumlah banyak.

Persekitaran undang-undang dan peraturan

Cabaran usahawan masih berkisar soal pendaftaran perniagaan dan mendapatkan lesen dan permit selain kesukaran mematuhi peraturan-peraturan tertentu.

Di samping itu, ada undang-undang tertentu yang menyekat pembentukan perniagaan dan pertumbuhan usahawan seperti Undang-undang Kebankrapan dan juga rejim cukai. Dengan prospek ekonomi yang tidak menentu, usahawan tempatan juga menghadapi cabaran kenaikan harga komoditi, kadar pertukaran, peningkatan perbelanjaan perniagaan dan perdagangan global yang perlahan. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global, namun ekonomi Malaysia masih diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih cepat sebanyak 4.9 peratus berbanding 4.8 peratus pada 2018.

Berdasarkan kaji selidik 3Q 2018 SME Corp Malaysia baru-baru ini, kebanyakan PKS menjangkakan pertumbuhan perniagaan mereka pada tahun ini sebanyak 44 peratus dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Selain itu, di bawah Bajet 2019, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM17.94 bilion yang akan memberi manfaat kepada PKS. Bajet ini sangat menyokong PKS dan dijangka akan terus meningkatkan prestasi perniagaan sektor itu yang merupakan enjin pertumbuhan penting bagi negara.

Apakah faktor-faktor kemerosotan pinjaman PKS?

Mengikut kajian SME Corp Malaysia juga mendapati antara sebab-sebabnya ialah masalah aliran tunai serta masalah pembayaran oleh penghutang yang diakui sebanyak 37.7 peratus responden dalam kajian itu. Sebanyak 69.8 peratus pula menyatakan ia disebabkan oleh kos perniagaan yang tinggi manakala 43.0 peratus disebabkan pembayaran lewat oleh pelanggan.

Ia memberikan masalah lebih besar apabila pihak bank mengenakan kompaun kepada mereka tanpa memberikan kelonggaran yang sepadan. Selain itu, masalah aliran tunai juga berlaku disebabkan peningkatan kos pembiayaan dan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selain tekanan kadar pertukaran Ringgit yang lebih rendah.

Bagaimanakah Datuk melihat kelonggaran BNM ini membantu PKS?

Langkah untuk melonggarkan garis panduan pinjaman oleh BNM ini memberi kesan positif kepada ekosistem PKS. Di bawah garis panduan terdahulu, PKS yang membuat penjadualan semula pinjaman mereka akan diklasifikasikan sebagai terjejas di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS). Mereka juga tidak dapat memperoleh pendanaan lanjut walaupun perniagaan mereka berdaya maju. Ini seterusnya akan menjejaskan aliran tunai dan operasi perniagaan PKS.

Oleh itu, melalui langkah ini, PKS yang menghadapi kesusahan sementara akan dapat memperoleh pembiayaan yang diperlukan dan meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa. Oleh itu, langkah ini amat penting dan proaktif dalam membantu PKS untuk terus bertahan meskipun menghadapi cabaran semasa terutama jika ia disebabkan oleh faktor luaran yang boleh menjejaskan kemampuan mereka untuk membayar balik pinjaman mereka.

Apakah langkah-langkah lain yang boleh dicadangkan kepada kerajaan untuk membantu PKS?

Kerajaan terus menyokong agenda jangka panjang bagi pembangunan PKS melalui pelaksanaan Pelan Induk PKS. Inisiatif sokongan lain termasuklah Dasar Keusahawanan Kebangsaan (DKN) yang baru dilancarkan. Ia turut memberi tumpuan dan galakan pembentukan perniagaan melalui pembudayaan keusahawanan terutamanya dalam kalangan belia dan wanita. Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan produktiviti PKS dengan menggalakkan peralihan ke arah automasi dan inovasi perniagaan.

BNM boleh turun padang bertemu dengan para usahawan PKS mengenai garis panduan pinjaman ini serta moratarium yang dikenakan. Ini akan mewujudkan kesedaran kepada para usahawan yang memerlukan penjadualan semula pinjaman disebabkan oleh masalah aliran tunai sementara.

Apakah langkah baharu yang diperkenalkan kerajaan bagi pembiayaan alternatif PKS?

Kerajaan telah mengesahkan lapan langkah baharu bagi meningkatkan lagi pertumbuhan KDNK PKS termasuk mekanisme pembiayaan alternatif pada Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 April lalu.Di bawah langkah ini, kerajaan akan memperkenalkan program untuk memacu pertumbuhan pendanaan awam (equity crowdfunding), memperkenalkan mekanisme pembiayaan alternatif baharu seperti penyediaan pinjaman terbuka antara rakan setara atau Peer-to-Peer (P2P) selain menyesuaikan skim manfaat rebat oleh industri seperti aeroangkasa dan bioteknologi.

Kerajaan juga menjalankan kajian analisis pembiayaan dana alternatif yang dilaksanakan negara lain untuk PKS bersaing serta meningkatkan produk dan mekanisme pembiayaan alternatif untuk PKS dengan kerjasama BNM, Suruhanjaya Sekuriti dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Dengan langkah-langkah baharu ini, PKS digalakkan untuk memilih pembiayaan alternatif sebagai sumber pembiayaan.

 

artikel asal boleh dilayari menerusi paulan: https://www.utusan.com.my/rencana/utama/menyuntik-nyawa-baharu-pks-1.944125

Cetak Emel