Hari Ini 31

Seminggu 1249

Sebulan 7167

Jumlah 17794276

Khianat

Maksudnya : Dan jika Engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka Dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Selasa 06 Ogos 2019, 12:37:35.

Islam Mengambil Berat Tentang Pemilikan Harta

Harta merupakan suatu perkara yang amat penting dalam hidup manusia. Ia adalah teras dalam kehidupan dan juga sebagai sumber kekuatan sesebuah individu dan ummah sama ada dalam waktu berlakunya peperangan mahupun semasa damai.

Oleh: Abdul Muhaimin Mahmood
Penolong Pengarah
Cawangan Muamalat dan Sosio Ekonomi
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim 

Harta merupakan suatu perkara yang amat penting dalam hidup manusia. Ia adalah teras dalam kehidupan dan juga sebagai sumber kekuatan sesebuah individu dan ummah sama ada dalam waktu berlakunya peperangan mahupun semasa damai. Manusia tidak berupaya untuk hidup dengan kehidupan yang selesa dan tidak mampu untuk mempertahankan diri dan menjaga kedaulatan tanah air yang diduduki melainkan jika mereka mempunyai harta. Harta tidak dapat dipisahkan dari manusia mahupun ummah. Allah SWT telah menerangkan dalam al-Quran betapa kasihnya manusia kepada harta dan mereka senantiasa berkeinginan untuk mendapatkannya sebagaimana mereka ghairah untuk mendapatkan perhiasan hidup yang lain. 

Manusia akan sentiasa berbangga dan bermegah-megah dengan harta serta perhiasan hidup yang mereka peroleh. Allah SWT berfirman dalam surah al-Fajr ayat 20 maksudnya: “serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!”, dan dalam ayat lain Allah SWT berfirman, mafhum nya: “dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga) (surah Ali Imran, ayat 14)

Oleh sebab harta mempunyai kedudukan yang amat tinggi dalam diri manusia, dan sangat berperanan dalam kelangsungan hidup mereka, maka Islam sebagai agama yang lengkap sempurna tidak terlepas dari memberikan perhatian mengenainya dan dalam pada itu menunjukkan tatacara pengawasan dan penjagaan yang tiada tolok bandingnya. Untuk itu,  maka Islam menetapkan hukum hakam yang dapat menjamin pemilikan harta. Mengambil dan memakan harta orang lain dengan cara batil adalah diharamkan sama sekali dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 29, mafhum nya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri”. 

Bukan setakat itu, cara mendapatkan harta turut dijelaskan dalam Islam. Perbuatan mendapatkan harta dengan cara yang tidak syarie seperti merampas, meragut, mencuri dan sebagainya adalah diharamkan sama sekali.  Bagi memastikan kehormatan harta terpelihara, Islam telah menetapkan hukuman (uqubah) setimpal yang dapat mencegah dan menghalang pembuatan mendapatkan hak milik dengan cara mencerobohi hak milik orang lain seperti mencuri. Bagi yang melakukan perbuatan tersebut, mereka akan dijatuhkan hukuman potong tangan berpandukan firman Alah SWT dalam surah al-Maidah ayat 38, maksudnya: “dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potong lah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah.” 

Syariat Islam telah menjadikan redha dan kehendak hati yang ikhlas sebagai asas sah atau sebaliknya sesuatu muamalah antara manusia. Bukan hanya sekadar itu, Islam turut menggariskan tatacara (sistem) akad dari akad-akad muamalat. Pada setiap jenis akad muamalat tersebut ditetapkan rukun, syarat dan hukum-hakam yang tertentu tanpa ada sebarang kekurangan sedikit pun dari segenap sudut dan penjuru. Dalam perihal ini, para ulama dan fuqaha sangat memainkan peranan penting dalam melakukan kajian, penelitian dalam membahaskan semua jenis akad yang umum sama ada ia adalah jual beli, upah, gadaian, syarikat dan sebagainya. 

Menurut al-Shātibī, harta merupakan salah satu dari lima maslahat yang diberikan perhatian dalam maqasid al-syariyyah selain dari maslahat menjaga agama, menjaga nyawa atau jiwa, menjaga akal fikiran (intelek), dan menjaga keturunan atau kehormatan.Dimaksudkan dengan al-darūriyyātialah ia merupakansesuatu keperluan yang wajib dan perlu wujud untuk menjamin kemaslahatan agama dan kelangsungan hidup manusia di dunia. Sekiranya kemaslahatan tersebut hilang nescaya hidup manusia di dunia akan menjadi pincang, bukan setakat itu bahkan akan mendatangkan kerosakan, permusuhan dan fitnah yang membinasakan kehidupan manusia di dunia. Ia juga menyebabkan manusia keciciran untuk mendapat kejayaan dan kenikmatan di akhirat dan kembali dengan kerugian yang amat nyata(al-Shātibī, 2001, al-Muwāfaqāt, Jld. 2, hlm. 18.). 

Kesimpulannya, harta adalah merupakan perkara yang sangat diperlukan dan sangat dikasihi oleh naluri semulajadi manusia. Menyedari kedudukan harta disisi manusia, maka Allah SWT telah mengariskan panduan dan tatacara yang jelas, baik dari segi mendapatkan dan membelanjakannya. Semuanya adalah bagi memastikan kesejahteraan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

Cetak Emel