Hari Ini 49

Seminggu 241

Sebulan 1878

Jumlah 12163037

Memutuskan Janji

Maksudnya : (Iaitu) orang-orang Yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara Yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. mereka...

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 08 Jun 2018, 15:42:30.

Kewangan Islam: Cabaran dan Harapan

Sektor kewangan Islam pada masa ini, walaupun berkembang dengan pesat, tetapi masih terlalu kecil berbanding dengan potensinya yang sebenar. Pasaran sektor ini ke atas umat Islam di seluruh dunia itu sendiri masih belum diterokai sepenuhnya. Salah satu penyebab utama yang menghalang pertumbuhan kewangan Islam ialah kurangnya kesedaran di kalangan masyarakat berhubung alternatif yang ditawarkan dalam perbankan, insurans, pasaran modal dan pelaburan.

Oleh: Ybhg. Dato' Wan Mohamad Bin Dato' Sheikh Abd Aziz
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 

Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillahi rabbil-`alamin, wassalatu wassalamu `ala sayyidina Muhammadin wa `ala aalihi wa sahbihi ajma`in. 

Sidang hadirin yang saya muliakan, 

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjat kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya, kita dapat berhimpun dalam satu lagi majlis yang, pada saya, penuh bermakna pada hari ini. 

Dengan besar hati saya mengalu-alukan tetamu-tetamu kehormat kita dari luar negara ke Kuala Lumpur sempena Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2010 kali ke 5. 

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada CERT, Tetuan Hisham Sobri & Kadir, International Institute of Islamic Finance Incorporated, Association of Islamic Banking Institution Malaysia (AIBIM) serta Malaysian Takaful Association selaku penganjur bersama, kerana menjemput saya untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2010 kali ke 5. 

Muzakarah kita pada kali ini yang memberikan fokus utama kepada produk perbendaharaan patuh Shariah, Sukuk dan isu-isu kewangan global, disertai oleh pelbagai pihak yang sememangnya berminat dalam perkara-perkara yang akan dibincangkan. Sambutan yang diterima daripada sidang hadirin sekelian menunjukkan semangat dan komitmen semua pihak untuk bersama-sama meningkatkan prestasi, tahap ekonomi, imej dan kedudukan industri kewangan Islam di Malaysia khususnya, dan di peringkat global umumnya. 

Seperti yang sedia maklum, peranan ulama’ dan sarjana Islam adalah cukup penting dalam memastikan pematuhan produk dan perkhidmatan kewangan Islam kepada prinsip-prinsip Shariah yang telah digariskan oleh Al-Qur’an dan Sunnah serta dikembangkan oleh ulama’ Islam terdahulu. Peranan ini menjadi lebih penting kerana ulama’ dan sarjana Islam yang bergelar Penasihat Shariah diberikan amanah juga untuk membantu membentuk produk-produk baru supaya lebih inovatif dan setanding dengan produk-produk konvensional. Malah, tidak keterlaluan kalau disebutkan bahawa masyarakat Islam juga mengharapkan para Penasihat Shariah di institusi-institusi kewangan Islam menjadi "penjaga" kemaslahatan kewangan Islam kepada semua pihak iaitu pelanggan, pihak pengurusan, pihak penyelia dan masyarakat umumnya. Ketiga-tiga peranan ini mesti berjalan serentak untuk memaksimumkan "nilai baik" kewangan Islam kepada industri dan negara secara menyeluruh. 

Sektor kewangan Islam pada masa ini, walaupun berkembang dengan pesat, tetapi masih terlalu kecil berbanding dengan potensinya yang sebenar. Pasaran sektor ini ke atas umat Islam di seluruh dunia itu sendiri masih belum diterokai sepenuhnya. Salah satu penyebab utama yang menghalang pertumbuhan kewangan Islam ialah kurangnya kesedaran di kalangan masyarakat berhubung alternatif yang ditawarkan dalam perbankan, insurans, pasaran modal dan pelaburan. 

Oleh yang demikian, untuk mengatasi masalah ini, industri kewangan Islam mestilah secara berterusan mendekati dan mendidik masyarakat. Untuk cara ini menjadi lebih efektif, institusi kewangan Islam itu sendiri mestilah berpengetahuan dan faham tentang apa itu kewangan Islam dan apa kemampuan kewangan Islam. 

Institusi kewangan Islam perlu memperbanyakkan kajian dan penyelidikan yang melibatkan semua peringkat meliputi pengawal selia, pengamal dan ahli akademik bagi memperkukuhkan kefahaman. Pada masa yang sama, pelaburan terhadap modal insan turut perlu diberi tumpuan kerana kurangnya pengetahuan dalam kewangan Islam yang sering dikaitkan dengan kekurangan pakar berkelayakan dalam bidang berkenaan. Justeru itu, ia telah memberi kesan kepada inovasi produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang diperkenalkan. 

Terdapat juga keperluan yang mendesak untuk mewujudkan kesedaran yang lebih meluas dalam kalangan peserta pasaran melalui penyelidikan, pendidikan dan latihan. Selain dari itu, mana-mana perkara yang mempunyai perbezaan pendapat yang meluas haruslah disemak dan dinilai semula dalam usaha untuk mencapai penyelesaian yang lebih baik. 

Inovasi produk dan perkhidmatan kewangan Islam semakin bertambah hebat dan dengan integrasi kewangan Islam ke dalam sistem kewangan global, ianya imperatif untuk asas kepada kewangan Islam ini tidak terjejas. Ini kunci untuk mengekalkan daya tahan sistem kewangan Islam di dalam industri kewangan antarabangsa yang serba mencabar. 

Untuk mencapai maksud ini, kita mestilah bersikap terbuka dalam menerima inovasi berasaskan Shariah dalam pembangunan produk kewangan Islam. Dalam pasaran kewangan yang semakin sofistikated sekarang, inovasi adalah faktor utama untuk kekal berdaya saing. Keadaan ekonomi yang lemah sekarang telahpun menunjukkan bahawa inovasi yang terlalu kompleks dan tidak terkawal boleh mengakibatkan ketidakstabilan yang kemudiannya mengakibatkan gangguan besar di dalam sistem kewangan. Oleh yang demikian, ianya penting untuk inovasi kewangan berpegang kepada objektif Shariah dan sentiasa patuh kepada prinsip-prinsip Shariah. Dengan cara ini, inovasi berasaskan Shariah boleh menyumbang terhadap penghasilan produk-produk kewangan Islam yang mempunyai nilai-nilai berlainan dengan kekuatan dalaman yang terbit daripada ciri-ciri penting Shariah. 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berperanan sebagai agensi pusat dalam perancangan pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan ummah juga tidak mahu ketinggalan dari segi ini dan JAKIM akan berusaha dan memberi komitmen dan sokongan sepenuhnya dalam membangunkan industri kewangan Islam yang mempunyai satu sistem pemantauan dan penguatkuasaan "bertaraf dunia" untuk memastikan imej Malaysia dapat dimartabatkan.

Oleh itu, pihak JAKIM dan agensinya akan sentiasa membantu Kerajaan dan pihak berkaitan untuk terus bertahan dalam menghadapi cabaran dalam memartabatkan industri kewangan Islam di Malaysia melalui program-program yang relevan. Hal ini telah direalisasikan menerusi jalinan kerjasama yang erat yang telah sedia terjalin dengan pelbagai agensi seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, ISRA dan AIBIM. 

Penganjuran Muzakarah Ahli-Ahli Penasihat Syariah Industri Kewangan Islam di Malaysia oleh JAKIM yang menghimpunkan pembuat dasar, pakar-pakar kewangan syariah dan pengamal industri kewangan Islam merupakan salah satu platform bagi mencerna dan menyelaras isu-isu semasa berkaitan kewangan Islam ke arah keberhasilan keputusan yang bernas dan tuntas untuk diaplikasikan oleh pihak industri kewangan Islam. 

Sebagai strategi jangka panjang ke arah melahirkan modal insan serta tenaga pakar dalam bidang muamalat dan kewangan Islam yang berlatarbelakang tahfiz al-Quran, JAKIM melalui Dar al-Quran telah menawarkan program Diploma Tahfiz Wal Muamalat yang telah bermula pada 25 April 2010 yang lalu melibatkan 40 orang pelajar. 

Di samping itu, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menawarkan pelbagai program latihan dalam bidang kewangan Islam malah ILIM pada ketika ini sedang menggubal Modul Sijil Tinggi Muamalat melibatkan tenaga pakar daripda IPTA dan ISRA. Program sijil ini dijangka akan ditawarkan di ILIM dalam sedikit masa lagi. 

Menerusi kapasiti yang ada pada JAKIM sebagai agensi agama yang menyelaras di peringkat pusat, JAKIM turut memainkan peranan menyebarlusakan maklumat berhubung sistem kewangan dan perbankan Islam menerusi kempen kesedaran dan seminar kepada segenap lapisan masyarakat sama ada kakitangan kerajaan atau orang awam bagi memberikan kefahaman yang jelas kepada masyarakat tentang kepentingan beramal dan menyokong sistem kewangan Islam yang telah bertapak selama lebih 25 tahun di negara ini. 

Penyebaran informasi dan maklumat ini telah diperluas menerusi pelbagai media dan capaian seperti melalui Portal e-Muamalat JAKIM dan penerbitan makalah ilmiah seperti Jurnal Muamalat JAKIM, Himpunan Glosari Muamalat dan Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Berhubung Isu-isu Muamalat. 

Hadirin yang Dihormati Sekalian, 

Menerusi pembudayaan semangat kreativiti dan inovasi, sistem kewangan Islam wajar terus ditegakkan di atas landasan keadilan dan ketelusan bagi membolehkannya bersaing secara harmoni dengan sistem konvensional. Justeru, sistem kewangan Islam wajar diperkasa kedudukan dan peranannya berteraskan prinsip Islamik yang tidak membebankan pengguna, mesra pelanggan, menyekat sebarang bentuk penindasan malah menjadi sistem pilihan bukan sahaja kepada umat Islam malah kepada bukan Islam. Ciri-ciri inilah yang harus dinobatkan bagi menggambarkan sistem kewangan yang benar-benar holistik dan syumul selaras dengan ajaran Islam yang suci. 

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyarankan semua yang terlibat dalam industri ini supaya mengambil inisiatif bagi menerajui industri kewangan Islam ini ke arah yang lebih mampan dan jitu. Sebagai warga yang bertanggungjawab, kita bukan sahaja berusaha mencari keuntungan material tetapi turut mempunyai tanggungjawab untuk memberi sumbangan kepada kesejahteraan negara dan umat Islam amnya. Penghayatan terhadap usaha memantapkan lagi industri kewangan Islam ini hendaklah disemai dan ditanam dalam jiwa masing-masing agar ia menjadi satu amalan yang berterusan. 

Dengan kata-kata itu dan lafaz Bismillahir rahmanir Rahim, saya dengan ini merasmikan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2010 kali ke-5 

Sekian. 

Wabillahittaufik walhidayah
Wasalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

[Artikel ini adalah, teks ucaptama Perasmian Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam (KLIFF) 2010, Kali Ke 5, 5 Ogos 2010, Hotel Nikko Kuala Lumpur, Malaysia]

Cetak Emel