Hari Ini 139

Seminggu 3151

Sebulan 4379

Jumlah 55294049

Menunaikan Perjanjian, Akad Dan Sumpah

Maksudnya : Bahkan (Mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa Yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertaqwa. Surah Ali ‘Imran 3:76

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 14 Februari 2020, 12:20:52.

BURSA SUQ AL-SILA’: PLATFORM PENGURUSAN KECAIRAN TUNAI

Mekanisme Bursa Suq Al-Sila’ adalah berteraskan konsep murabahah dan tawarruq. Model Bursa Suq Al-Sila’ telah mendapat kelulusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti pada 5 Februari 2008 dan Majlis penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada 30 Julai 2008.

 

By: Syahnaz Sulaiman  

Selaras dengan hasrat untuk mendukung insiatif Malaysia sebagai pusat kewangan antarabangsa atau Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC), Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia Berhad telah membangunkan pasaran komoditi yang dikenali sebagai Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) bagi memenuhi keperluan industri kewangan Islam. 

BSAS telah dilancarkan secara rasmi pada 17 Ogos 2009 oleh pihak Bursa Malaysia. Pelaksanaan Bursa Suq Al-Sila’ turut mendapat sokongan padu daripada beberapa pihak lain seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia/Malaysian Palm Oil Board (MPOB), Pertubuhan Minyak Sawit Malaysia/Malaysia Palm Oil Association (MPOA) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia/Malaysia Palm Oil Council (MPOC). 

Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) merupakan gabungan perkataan bahasa arab iaitu bursah (platform), suq (pasaran) dan al-sila’(barangan/komoditi). Secara umumnya BSAS berperanan sebagai platform yang menjalankan urus niaga perdagangan komoditi. Pada peringkat awal ia dikenali sebagai Commodity Murabahah House. 

BSAS dibangunkan bagi memudah cara transaksi, menyediakan kemudahan pengurusan kecairan kewangan dan penstrukturan produk kewangan seperti deposit, pembiayaan, pelaburan dan lindung nilai bagi industri kewangan Islam. BSAS dilaksanakan menerusi aplikasi atas talian bagi urus niaga perdagangan komoditi seperti minyak sawit mentah dan Polyethelyne (Plastic Resin) dalam Ringgit Malaysia dan mata wang asing. 

Di sinilah terletaknya keunikan BSAS kerana melibatkan kombinasi perdagangan aset fizikal menerusi aplikasi elektronik secara maya, merentasi sempadan dan dapat diakses dari seluruh dunia. Bagi menjadikan pasaran lebih berdaya maju dan berdaya saing, urus niaga akan turut dikembangkan kepada penawaran komoditi-komoditi lain dalam jangkamasa terdekat. 

Mekanisme Bursa Suq Al-Sila’ adalah berteraskan konsep murabahah dan tawarruq. Model Bursa Suq Al-Sila’ telah mendapat kelulusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti pada 5 Februari 2008 dan Majlis penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada 30 Julai 2008. 

Antara ciri-ciri utama Bursa Suq Al-Sila’ialah urus niaga yang dijalankan adalah berdasarkan kontrak tawarruq dan murabahah.Manakala aset pendasar bagi transaksi ini ialah minyak sawit mentah dan polyethelyne (plastic resin) yang mempunyai spesifikasi yang khusus. 

Bentuk spesifikasi tersebut ialah komoditi tersebut wujud dan boleh dikenal pasti, boleh dimiliki sebelum dijual, kualiti boleh ditentukan dari segi intipati, piawaian dan nilai dan boleh dihantar dan diserahkan kepada pembeli. Selain itu, peserta pasaran dalam BSAS adalah pihak-pihak yang telah diluluskan untuk berurus niaga di BSAS yang terdiri daripada pembekal minyak sawit mentah dan polyethelyne (plastic resin), broker dan institusi-institusi kewangan Islam. 

Mekanisme transaksi Bursa Suq Al-Sila’ adalah seperti berikut: 

  1. Pelanggan yang memerlukan pembiayaan menghubungi pihak bank.  
  2. Bank mendapatkan persetujuan pelanggan mengenai fasiliti pembiayaan yang dikehendaki misalnya RM100,000.00.Bank menyertai platform Bursa Suq Al-Sila’ dengan membeli komoditi dengan nilai RM100,000.00 daripada Pembekal A.
  3. Seterusnya bank menjual komoditi tersebut kepada pelanggan dengan harga RM110,00.00 secara tangguh (termasuk keuntungan bank). Pada ketika ini, pelanggan berhak untuk mengambil komoditi tersebut sekiranya dia berhasrat untuk menyimpan komoditi. Walau bagaimanapun, memandangkan pelanggan ingin mendapatkan tunai, pelanggan boleh menjual terus komoditi kepada Bursa (sekiranya pelanggan adalah ahli Bursa Malaysia Islamic Services) ataupun melantik bank sebagai wakil untuk menjual komoditi berkenaan kepada Bursa Suq Al-Sila’ (sekiranya pelanggan adalah bukan ahli Bursa Malaysia Islamic Services).
  4. Bank bertindak sebagai wakil pelanggan menjual komoditi kepada Bursa pada harga RM100,000.00 secara tunai dan seterusnya Bursa menjual komoditi kepada pasaran secara rawak.

Ilustrasi di atas menunjukkan transaksi Bursa Suq Al-Sila’ menjadi platform kepada urus niaga komoditi bagi membolehkan pihak bank mendapatkan kecairan bagi memenuhi keperluan tunai pelanggan secara cekap dan efisien. 

Sungguhpun pelbagai isu syariah telah dibangkitkan oleh fuqaha kontemporari mengenai mekanisme Bursa Suq Al-Sila’, kewujudan BSAS sebenarnya adalah tertakluk kepada pematuhan parameter syariah yang ketat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bersandarkan kepada faktor keperluan industri perbankan dan kewangan Islam tempatan dan antarabangsa. 

Dalam hal ini, BSAS telah dibangunkan sebagai platform alternatif kepada broker London Metal Exchange (LME) memandangkan broker LME dikhuatiri tidak memenuhi aspek pematuhan syariah.  Sedangkan dalam BSAS, aspek penyerahan (taking delivery) komiditi ditetapkan sebagai salah satu syarat sah urus niaga jual beli dalam BSAS. Kewujudan BSAS juga dapat mengurangkan pengaliran tunai ke luar negara. 

Pembangunan Bursa Suq Al-Sila’ merupakan hasil gabungan idea, kreativiti dan inovasi pelbagai pihak ke arah melahirkan sistem kewangan Islam yang berdaya maju serta mampu menarik minat peserta di peringkat tempatan mahupun global. Kewujudan BSAS jelas menggambarkan kesungguhan dan keupayaan Bursa Malaysia sebagai pengurus pasaran yang dinamis. 

Rentetan itu, BSAS telah menerima beberapa anugerah antaranya anugerah “Most Outstanding Islamic Finance” dalam 7thKuala Lumpur International Islamic Finance Forum (KLIFF) dan Anugerah Inovasi Islam bagi kategori “Muamalat Financial Management System Innovative Product” oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan turut meraih anugerah “Market innovation” daripada majalah The Asset Triple A. Pengiktirafan ini merupakan manifestasi sokongan dan suntikan semangat yang bakal melahirkan lebih banyak produk patuh syariah yang berprestasi tinggi dan berdaya saing dalam sistem kewangan Islam. 

Dengan penyertaan melibatkan 32 peserta pasaran tempatan dan luar negara termasuk Arab Saudi, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu dan Singapura semenjak dari awal penubuhannya setahun yang lalu, BSAS akan terus mengorak langkah bagi menawarkan mekanisme pengurusan kecairan secara telus dan kompeten kepada pelanggan pasaran. Aspek pematuhan syariah akan terus diberikan perhatian bagi memastikan penawaran perkhidmatan dan mekanisme BSAS adalah menepati ruh serta prinsip-prinsip syariah.   

*Penulis merakamkan ucapan pengharagaan dan terima kasih keapda En. Asharul Huzairi Mohd Mansor dan Ustaz Muhammad Hadi Abdullah dari Bursa Malaysia kerana telah menyemak artikel ini.

Cetak Emel