Hari Ini 8

Seminggu 8

Sebulan 3384

Jumlah 12134794

Pertanian

Maksudnya : Dia lah Yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya. Surah an-Nahl 16:10

+ Lagi
  • Kemaskini Terkini : Jumaat 08 Jun 2018, 15:42:30.

TERMA RUJUKAN PANEL PAKAR MUAMALAT

 

TERMA RUJUKAN

PANEL PAKAR MUAMALAT

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

 

Pendahuluan 

Penubuhan Panel Pakar Muamalat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi, Jakim pada 7 November 2016.

2.  Dalam usaha untuk memantapkan peranan dalam bidang muamalat di Malaysia, Jakim telah mengadakan kunjung hormat kepada YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri, di Jabatan Perdana Menteri pada 1 April 2016. Dalam pertemuan tersebut satu persetujuan telah dicapai bagi menubuhkan sekumpulan pakar atau panel khas yang berperanan untuk membantu kerajaan khususnya Jakim dalam hal berkaitan dengan muamalat di Malaysia.

Nama

3.  Nama panel ini ialah Panel Pakar Muamalat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

 

Tafsiran

4.  Dalam Terma Rujukan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain:

“Panel” ertinya Panel Pakar Muamalat.

“Pakar” ertinya mereka yang mempunyai kepakaran, ilmu dan arif dalam bidang muamalat, fiqh, usul fiqh, kewangan, dan ekonomi Islam.

“Muamalat ” ertinya aktiviti yang melibatkan perhubungan manusia dengan manusia yang berkaitan dengan  tatacara atau peraturan dalam perhubungan untuk      memenuhi keperluan masing-masing berlandaskan syariah Allah SWT yang melibatkan ekonomi sosial Islam seperti jualbeli, hutang piutang, sewa menyewa, upah mengupah, bergadai, pinjam meminjam, pelaburan, pengurusan harta dan sebagainya.

“Kewangan Islam” ertinya aktiviti yang melibatkan perbankan Islam, pasaran wang antara bank secara Islam, insurans Islam atau takaful, pasaran modal Islam serta institusi kewangan khusus yang menyediakan sumber pembiayaan alternatif dan semua yang dinyatakan adalah tertakluk dalam bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

OBJEKTIF  

5.  Objektif panel adalah untuk memberi nasihat dan pandangan kepada Jakim dalam penyelarasan dan pemantauan aktiviti muamalat.   

 

FUNGSI

6. Fungsi panel adalah seperti yang berikut:

(a) Mengkaji dan membincangkan isu-isu muamalat untuk merumuskan satu pendapat yang selaras dengan hukum syarak.

(b) Memberi pandangan dari sudut dalil dan hujah terhadap sesuatu isu muamalat sebelum mensabitkan hukum berkenaan.

(c) Memberi ulasan, nasihat dan pandangan terhadap kajian berkaitan isu-isu semasa muamalat yang dilaksanakan oleh Jakim atau pihak-pihak lain.

(d) Menjadi rujukan dan memberi khidmat nasihat dalam isu-isu semasa muamalat supaya selaras dengan tuntutan syarak.

 

KEANGGOTAAN

7.  Anggota panel terdiri daripada:

   (a) Seorang Pengerusi.

   (b) Seorang Timbalan Pengerusi.

   (c) Seorang Setiausaha, iaitu Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim.

   (d) 15 orang ahli yang terdiri daripada:

          i. Dua orang Mufti daripada kalangan Mufti Negeri.

          ii. Seorang Yang Amat Arif Hakim Syarie.

          iii. 12 orang ahli yang berpakaran dalam bidang syariah, fiqh, kewangan, muamalat, ekonomi Islam, perbankan Islam, undang-undang dan perakaunan Islam.

8.  Anggota panel dilantik oleh Yang Berhormat Menteri (Hal Ehwal Islam) di Jabatan Perdana Menteri.

9.  Anggota panel dilantik dalam tempoh dua tahun. Anggota boleh dilantik semula setelah tempoh pelantikannya tamat. Seseorang anggota boleh meletakkan jawatan atau ditamatkan keanggotaannya atas sebab-sebab yang munasabah.

10.  Panel ini boleh menubuhkan pasukan petugas khas bagi melaksanakan tugas-tugas tertentu yang diputuskan oleh panel dalam tempoh tertentu. Ahlinya boleh terdiri daripada ahli panel ini atau pihak lain yang dilantik.

 

MESYUARAT PANEL 

Kuorum 

11.  Tiada urusan, kecuali mengenai penangguhan, boleh dilakukan dalam sesuatu mesyuarat, dan tiada ketetapan atau tindakan panel yang dibuat atau dilaksanakan dalam sesuatu mesyuarat adalah sah melainkan jika sekurang-kurangnya satu perdua daripada anggota, termasuk pengerusi mesyuarat, hadir dalam mesyuarat itu.

 

Kekerapan Mesyuarat 

12.  Mesyuarat panel hendaklah diadakan dengan tetap sekurang-kurangnya dua kali setahun.

13.  Pengerusi, atau dalam masa ketidakhadirannya, Timbalan Pengerusi, hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat panel.

14.  Jika Pengerusi dan Timbalan Pengerusi tidak hadir dalam sesuatu mesyuarat, anggota yang hadir hendaklah memilih seorang daripada kalangan mereka secara majoriti untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

 

Mengundang Orang Lain Untuk Menghadiri Mesyuarat

15. Pengerusi atau Jakim boleh mengundang mana-mana orang lain untuk menghadiri mesyuarat panel atau pertimbangan panel bagi maksud menasihatinya tentang apa-apa perkara yang sedang dibincangkan.

16.  Mana-mana orang yang menghadiri mesyuarat di bawah perkara ini tidak berhak untuk mengundi dalam mesyuarat atau pertimbangtelitian itu.

 

Etika

17.  Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli-ahli panel perlu menjaga etika menghadiri mesyuarat sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 6 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

18.  Dalam menjaga tatakelakuan dan kerahsiaan tentang apa-apa perkara yang dibincangkan, anggota panel adalah tertakluk di bawah peruntukan-peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Pindaan 1986) sebagaimana yang telah ditandatangani. 

 

PINDAAN 

19.  Terma Rujukan ini tidak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan ahli mesyuarat dan Ketua Pengarah Jakim.

 

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

4 April 2017.

 

 

Cetak Emel