Soalan-soalan Lazim (FAQ)

Umum (15)
Muamalat ialah aktiviti yang melibatkan perhubungan manusia dengan manusia. Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariah Allah s.w.t yang melibatkan ekonomi dan sosial Islam.
 
Muamalat dewasa ini lebih popular digunakan untuk aktiviti dalam sistem kewangan dan ekonomi Islam. Islam memberi kelonggaran kepada manusia bagi menggunakan akal fikiran yang diberikan oleh Allah bagi mencari cara-cara yang sesuai dengan kehendak manusia dan kemampuannya untuk mencapai kehidupan yang baik dan selesa selaras dengan prinsip Syarak.
Portal ini diwujudkan untuk menjadi salah satu platform dalam menyebarkan maklumat yang berguna kepada orang ramai khususnya berhubung dengan muamalat dan kewangan Islam.
Setiap aktiviti muamalat yang dilakukan oleh setiap muslim perlulah mengikut prinsip-prinsip utama muamalat Islam. Ia merupakan asas etika dalam perbuatan manusia. Prinsip tersebut menjamin agar setiap tindakan yang dilakukan sentiasa tepat dengan kehendak Islam dan sesuai dengan keinginan manusia yang sentiasa inginkan kebaikan dan keselesaan dalam kehidupan. Antara prinsip-prinsip dalam muamalat ialah prinsip kebenaran, prinsip amanah, prinsip keikhlasan, prinsip keadilan, prinsip persaudaraan dan prinsip pengetahuan. 
Muamalah secara umum ialah aturan-aturan (hukum) Allah untuk mengatur kehidupan manusia dengan urusan duniawi atau dalam pergaulan sosial. Secara khususnya, Muamalah bermaksud aturan-aturan Allah yang wajib ditaati yang mengatur hubungan manusia dengan manusia dalam kaitannya dengan cara memperoleh dan mengembangkan harta. Oleh itu, muamalat dan muamalah mempunyai kaitan kerana ia melibatkan aktiviti manusia sesama manusia untuk mendapatkan kehendak dan keperluan hidup serta berlandaskan syariah.
Pelaksanaan sistem muamalat adalah untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Muamalat yang dijalankan berlandaskan syariat Islam akan melahirkan masyarakat yang aman dan jauh daripada sebarang penipuan, pemerasan, penindasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya. Selain itu, ianya juga dapat memastikan semua kegiatan ekonomi yang dijalankan bebas daripada sebarang perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t. Seterusnya membolehkan manusia menikmati kurniaan Allah dengan cara yang betul dan diredhainya. 
Sistem Ekonomi Islam adalah berteraskan akidah kerana dengan akidah inilah, sistem ekonomi Islam dapat terlaksana dengan sempurna dan memaksimumkan manfaatnya. Ini kerana pelaksana kepada sistem ekonomi Islam ini sewajarnya mengetahui segala tindakan yang dibuat mestilah selari dengan kehendak Allah, dan akhirnya akan mendapat keredaan daripada-Nya.Secara umumnya, ekonomi Islam mementingkan perkara-perkara berikut:
  1. Semua aktiviti yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan syariat Allah kerana dengan berpandukan kepada-Nya kita akan memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi.Usaha ini memerlukan kepada pengetahuan dan pemahaman yang betul berkenaan soal halal dan haram sesuatu aktiviti. Justeru, segala urusan yang dilakukan wajiblah diniatkan semata-mata untuk mendapatkan keredaan-Nya.
  2. Mementingkan konsep keadilan dan kepentingan sejagat. Perkara ini sangat penting kerana setiap manusia mempunyai hak-hak tertentu yang perlu dipenuhi dengan saksama. Sama ada kaya atau miskin, setiap daripada manusia itu mempunyai haknya yang tersendiri. Konsep keadilan ini boleh diterjemahkan melalui aktiviti zakat dimana mereka yang berharta menzakatkan hartanya atau menginfakkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
  3. Keikhlasan dalam memperjuangkan sistem ekonomi Islam. Nilai ini mesti bergerak seiring dengan semua aktiviti agar ia akan membuahkan hasil yang cukup cemerlang dan lumayan yang bersesuaian dengan pandangan syariah Islam.
Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memperjuangkan sistem ekonomi Islam ini sebagai salah satu cabang dalam Muamalat Islam. Ia bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan atau meningkatkan taraf hidup umat Islam, malah yang lebih penting, ia adalah sebagai memenuhi tuntutan akidah Islam itu sendiri. 
JAKIM  merupakan agensi yang bertanggungjawab bagi pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia turut bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri serta agensi pusat dalam urusan berkaitan muamalat dan kewangan Islam. Selaras dengan visi dan misi JAKIM, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan khususnya SM memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah semasa berdasarkan fungsi berikut:
  1. Menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan dengan sistem muamalat dan sosio ekonomi yang terdapat di Malaysia.
  2. Menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap pembangunan muamalat dan sosio ekonomi dari perspektif Islam; dan
  3. memperakukan hasil kajian kepada agensi-agensi pusat yang berkaitan dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk diterima pakai serta dilaksanakan.
 
Pengambilan deposit secara haram adalah suatu perbuatan menerima, mengambil, atau menyetujuterima deposit (wang, logam berharga, batu berharga, apa-apa artikel lain dan sebagainya) daripada orang awam atau pelabur, yang menjanjikan pembayaran semula deposit tersebut biasanya dengan faedah atau pulangan atau dengan sebarang balasan yang berupa wang atau nilaian wang, tanpa mempunyai satu lesen yang sah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA). 
Urus niaga mata wang asing haram ialah aktiviti membeli atau menjual mata wang asing di antara dua orang dan tiada seorang daripada mereka adalah seorang peniaga yang diberi kuasa melainkan jika orang itu telah mendapatkan kebenaran daripada Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW).
 
Aktiviti ini juga termasuk membeli atau menjual mata wang asing oleh seorang pemastautin yang bukan seorang peniaga yang diberi kuasa dengan seorang di luar Malaysia melainkan jika orang itu telah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW. 
 
Menurut Islam, wajib membayar upah kepada pihak yang memberikan khidmat sebaik sahaja selesai tugasan yang diberikan. Ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdillah bin Umar RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
 
أَعْطُوا الاَجِيرَ أَجْرَهُ قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ
Bermaksud:
 “Berilah kepada pekerja upahnya sebelum kering peluhnya”.
 
Harus mengenakan caj tambahan kerana lewat bayar bil di atas kecuaian pengguna. Keharusan ini adalah kerana pengguna ingkar membayar pada masanya dan menyebabkan timbul kerugian kepada pihak yang menyediakan perkhidmatan. Apatah lagi jika pengguna itu mampu membuat pembayaran tetapi sengaja melewat-lewatkan pembayaran tersebut. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
 
مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ
Bermaksud:
“Kemungkiran orang yang kaya (dalam membayar hutang) adalah satu kezaliman”
 
Walaubagaimanapun, Syarikat utiliti hanya boleh mengiktiraf kos kerugian sebenar sebagai pendapatan dan selebihnya perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan.
 
 
Untung atas angin adalah sebarang aktiviti yang dilakukan oleh individu dalam urusniaga yang menyebabkannya memperolehi keuntungan tanpa melalui usaha ataupun modal. Ia biasanya dilakukan oleh mereka yang menjadi perantaraan sesuatu urusan atau lebih dikenali sebagai ‘orang tengah’. Keuntungan yang diperolehi itu disebut dengan pelbagai istilah seperti imbuhan, insentif, komisen dan sebagainya.
 
 
Aktiviti perniagaan pengurup mata wang tertakluk di bawah Akta Pengawalan Pertukaran Wang 1953. Perniagaan mata wang asing ini tergolong di dalam bay’ al-sarf iaitu jual beli mata wang dengan mata wang lain termasuk emas dan perak. Oleh itu, ia perlu memenuhi syarat-syarat perniagaan bay’ al-sarf sebagaimana berikut:
  1. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item  (matawang yang dijual dan yang dibeli) sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
  2. Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
  3. Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-syart.
     
Menurut syariah, hukum urus niaga Forex adalah tertakluk kepada syarat-syarat umum jual-beli dan syarat-syarat khusus bagi bay’ al-sarf.
 
Syarat-syarat umum jual beli:
  1. Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (ahliyyah  al-ta`aqud);
  2. Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;
  3. Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli; dan
  4. Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penangguhan serahan serta sighah ijab dan qabul mestilah selari dari semua aspek termasuk dari segi jumlah/kadar barang pertukaran.
Syarat-syarat khusus Bay’ al-Sarf:
 Berlaku taqabud (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
  1. Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
  2. Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-syart.
Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012, hukum perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (Individual Spot Forex) melalui Platfom Elektronik adalah haram kerana mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian.
 
Selain itu, ia juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953, adalah satu kesalahan untuk seseorang individu di Malaysia membeli atau menjual mata wang asing atau melakukan apa-apa tindakan yang melibatkan, berhubung dengan, atau persediaan untuk, membeli atau menjual mata wang asing dengan mana-mana orang, selain daripada peniaga berdaftar. Di bawah Akta ini juga, adalah satu kesalahan untuk seseorang itu membantu atau bersubahat dengan orang lain untuk membeli atau menjual mata wang asing dengan mana-mana orang, kecuali orang tersebut ialah peniaga yang dibenarkan.
 
Kunci harga adalah salah satu unsur janji atau wa`d dalam transaksi urusniaga. Wa`d  boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa`d dari sebelah pihak dan bukannya muwa`adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa`d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat janji untuk membeli emas dengan harga tertentu. Janji untuk  membeli ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan yang dilarang dalam transaksi jual beli barang ribawi.
 
Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan Selain itu, konsep al-rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.
 
Perbankan (11)
Institusi kewangan dalam sesebuah ekonomi adalah nadi penggerak kepada pemesatan kegiatan ekonomi. Ia bertindak sebagai pengantara di antara pihak pendeposit yang mempunyai lebihan wang dan pihak yang defisit yang memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti ekonomi. Peranan institusi kewangan sangatlah penting dalam membangun dan memantapkan sesebuah ekonomi melalui penawaran produk dan perkhidmatan kepada pelanggan berteraskan kepada Syariah. 
Perbezaan Sistem Kewangan Islam dan Konvensional boleh dilihat kepada konsep dan operasi. Konsep Kewangan Islam merujuk kepada prinsip-prinsip syariah yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang seperti riba, gharar (keraguan), maisir (judi), tadlis (penipuan), penindasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya. Manakala konsep sistem kewangan konvensional pula adalah sebaliknya.
 
Dari sudut operasi pula, Sistem Kewangan Islam adalah berteraskan akad yang telah dipersetujui oleh Syarak seperti Bai’ Bithaman Ajil (BBA), Wadi’ah, Mudarabah, Musyarakah dan sebagainya. Manakala sistem kewangan konvensional pula operasinya adalah tidak berteraskan akad-akad yang sah dari sudut Syarak dan kebanyakkannya terlibat dalam sistem pinjaman yang berteraskan riba.
 
 Antara produk-produk yang ditawarkan dalam institusi perbankan Islam pada masa kini ialah:
 
  1. Produk deposit
  • Wadi’ah (simpanan) yang digunakan dalam produk-produk berasaskan deposit.
  • Mudarabah (perkongsian keuntungan)  yang digunakan dalam produk-produk berasaskan pelaburan.
  2. Produk Pembiayaan
  • Bai Bithaman Ajil – BBA (penjualan dengan harga tertangguh) yang diaplikasikan dalam pelbagai produk pembiayaan.
  • Murabahah seperti mana BBA, Musyarakah (usaha sama) yang diaplikasikan dalam produk pembiyaan usaha sama.
  • Ijarah Thumma Bai’ (sewa beli) digunakan dalam membiayai barangan pengguna terutamanya pembiayaan kenderaan dan sebagainya.
Antara kesan bertransaksi dengan sistem konvensional yang berteraskan riba ke atas individu, keluarga dan masyarakat adalah:
  1. Hidup tidak diberkati Allah.
  2. Doa tidak dimakbulkan.
  3. Sukar mendapat petunjuk dan hidayah Allah.
  4. Berhak mendapat bala daripada Allah.
  5. Sukar mendapat ilmu.
  6. Susah mengerjakan ibadah.
  7. Mendapat azab yang pedih di akhirat.
  8. Membawa kepada pergaduhan dan permusuhan.
  9. Melahirkan sebuah masyarakat yang tidak aman.
  10. Melahirkan individu yang bersikap mementingkan diri sendiri.
Ya, muzakarah telah memutuskan status insurans konvensional seperti berikut:
 
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979 telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:
  1. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
  2. Mengandungi unsur judi.
  3. Mengandungi muamalah riba.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 telah membincangkan Kajian Hukum Insurans Am. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam.
Akta-akta yang berkaitan dengan kewangan dan perbankan Islam di Malaysia antaranya ialah Akta Perbankan Islam 1983, Akta Takaful 1984, Akta Institusi Kewangan dan Perbankan 1989, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, dan Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Bank Negara Malaysia (BNM) ialah pihak yang bertanggungjawab dalam mengawalselia dan mengawasi institusi-institusi Perbankan Islam dan takaful di Malaysia dan dalam masa yang sama sebagai Bank Pusat bagi Malaysia. BNM turut berperanan  mewujudkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Antara institusi lain yang bertanggungjawab mengawalselia sistem kewangan Islam termasuklah Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang bertindak sebagai pemantau Pasaran Modal Islam di Malaysia.
Hukumnya adalah harus berdasarkan kepada Resolusi Syariah yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat ke-4 bertarikh 14 Februari 1998, mesyuarat ke-95 bertarikh 28 Januari 2010 dan mesyuarat ke-101 bertarikh 20 Mei 2010 telah memutuskan bahawa pengenaan caj pembayaran lewat oleh institusi kewangan Islam yang merangkumi kedua-dua konsep gharamah (denda atau penalti) dan ta`widh (ganti rugi) adalah dibenarkan, tertakluk kepada perkara berikut:
  1. Ta`widh boleh dikenakan ke atas kelewatan pembayaran obligasi kewangan yang terhasil daripada akad-akad pertukaran (seperti jual beli dan sewaan) dan qard;
  2. Ta`widh hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh pelunasan hutang yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berkontrak;
  3. Institusi perbankan Islam boleh mengiktiraf ta`widh sebagai pendapatan atas dasar ia dikenakan sebagai ganti rugi atas kerugian sebenar yang dialami oleh institusi perbankan Islam; dan
  4. Gharamah tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan, sebaliknya perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan tertentu.
 
 
 
Menggunakan perkhidmatan dan produk perbankan konvensional adalah haram kerana terlibat dengan riba, gharar dan judi. Justeru mempromosikan produk bank konvensional seperti kad kredit adalah haram. Ini berdasarkan hadis Rasulullah:
 
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ
Bermaksud:
“Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, yang memberi makan, 2 orang saksi dan jurutulisnya, kedudukan mereka itu semuanya sama”
 
Garis Panduan Mengenai Pembiayaan Islam Oleh Koperasi yang dikeluarkan di bawah seksyen 86B dan subseksyen 51(1) Akta Koperasi 1993 ada menyatakan mengenai caj perkhidmatan bagi pinjaman tanpa faedah.
 
Mengenakan caj perkhidmatan adalah harus namun hendaklah mengikut kadar perbelanjaan sebenar bagi perkhidmatan yang disediakan sahaja. Ini adalah bagi menampung perbelanjaan pengurusan yang dijalankan. Adalah lebih baik jika amaun perbelanjaan sebenar ini ditetapkan oleh pihak ke tiga atau Jawatankuasa Syariah koperasi”.
 
 
Dalam konteks kewangan Islam, ibra’ atau  Da` wa ta`ajjal merujuk kepada rebat (pelepasan hak) yang diberikan oleh satu pihak kepada satu pihak lain dalam urusan mua`malah seperti jual beli dan sewaan. Misalnya, pihak institusi kewangan Islam akan memberikan ibra’ kepada pelanggan yang melunaskan hutang lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui semasa akad dimeterai. Ibra’ dalam konteks pelepasan hak untuk menuntut hutang (sama ada sebahagian atau keseluruhan hutang) oleh pemberi pinjaman merupakan suatu perkara yang digalakkan oleh Islam. Hak tersebut merupakan tanggungan (dzimmah) pihak lain yang perlu dilaksanakan terhadapnya. Da` wa ta`ajjal pula merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk perbuatan mengurangkan sebahagian hutang apabila penghutang menyelesaikan hutang lebih awal.
 
 
Takaful (6)
Takaful ialah, suatu skim yang berdasarkan prinsip ta`awun, jamin menjamin atau bantuan bersama. Ia memberikan perlindungan bersama aset dan harta serta menawarkan perkongsian risiko bersama sekiranya salah seorang ahlinya mengalami kerugian.
Ya, Takaful adalah sebahagian daripada institusi kewangan Islam yang menyediakan perkhidmatan perlindungan kewangan berlandaskan Islam. Ia adalah sebahagian daripada kerangka Sistem kewangan yang ada seperti perbankan Islam dan Pasaran Modal Islam.
 
 Terdapat beberapa perbezaan antara Operasi Takaful dan insurans konvensional  adalah berdasarkan prinsip-prinsip kebersamaan, di mana setiap peserta membuat sumbangan untuk dana takaful. Sekiranya terjadi kerugian, peserta akan menerima jumlah tuntutan tersebut. Tidak seperti insurans konvensional, di mana risiko dipindahkan daripada pemilik insurans kepada syarikat insurans, risiko takaful dikongsi bersama-sama oleh para peserta.
 
Perbezaan antara takaful dan insurans konvensional adalah seperti jadual berikut:
 
Jadual: Perbezaan antara takaful dan insurans konvensional
 
Bil
Perkara
Takaful
Insurans
1
Konsep
Berasaskan semangat kerjasama dan tolong- menolong (ta’awun) dan tabarru'
Semata-mata berdasarkan faktor-faktor komersial
2
Akad
Wakalah, mudharabah
Jual beli
3
Prinsip
Bebas daripada 'riba', 'gharar' dan 'maisir'
Banyak terlibat dengan 'riba, 'gharar', dan 'maisir'
4
Operasi
Di pantau oleh Majlis Penasihat Syariah (SAC)
Tiada Majlis Penasihat Syariah (SAC)
5
Keuntungan
Keuntungan akan dikongsi  antara pengendali (syarikat) dan peserta berasaskan Mudharabah
Mempraktikkan riba (faedah)
Industri takaful dikawalselia oleh Akta Takaful 1984 yang memberi garis panduan supaya aktiviti takaful selari dengan kehendak Islam.
Pada asasnya, sistem Takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan para pesertanya.  Dalam erti kata lain, ia merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama bagi membantu mereka yang memerlukannya. Oleh kerana terdapat beberapa amalan insurans konvensional yang bercanggah dengan prinsip syarak seperti riba (faedah), maisir (perjudian) dan gharar (ketidakjelasan), maka masyarakat wajib untuk memilih skim takaful yang diiktiraf sebagai patuh syariah. Amalan Takaful yang dipraktikkan sekarang menggunakan gabungan dua jenis akad (kontrak) utama. Ianya adalah kontrak Tabarru’ (derma) dan Wakalah (egensi) yang bebas daripada sebarang unsur riba, maisir  dan gharar.
 
Hukum asal menggunakan produk insurans konvensional adalah haram kerana terdapat beberapa amalan insurans konvensional yang bercanggah dengan prinsip syarak seperti riba (faedah), maisir (perjudian) dan gharar (ketidakjelasan). Sungguhpun begitu, pengecualian diberikan dalam keadaan ini berdasarkan kepada kaedah fiqh:
 
الضرورة تبيح المحظورات
Maksudnya:
            Keperluan mengharuskan sesuatu yang dilarang.
 
Walaubagaimanapun, pengecualian ini adalah tertakluk sehingga ada syarikat takaful menyediakan perlindungan takaful kepada kenderaan-kenderaan ini. Pengecualian ini adalah berdasarkan kepada kaedah:
 
Maksudnya:
         Keperluan adalah ditentukan oleh setakat mana pentingnya ia.
 
 
Skim Cepat Kaya (6)
Satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko. Antara aktiviti Skim Cepat Kaya ialah pengambilan deposit secara haram atau menjalankan urus niaga mata wang asing tanpa kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW). Contoh Skim Cepat Kaya yang diharamkan seperti Pak Man Telo dan Swiss Cash.
Pelaburan internet yang berasaskan Skim Cepat Kaya adalah melibatkan syarikat atau institusi  yang tidak dilesenkan atau diberikan kuasa oleh Bank Negara Malaysia untuk mengambil deposit atau membuat urus niaga mata wang asing. Aktiviti sedemikian lazimnya menawarkan pulangan pelaburan yang menarik atau peluang pelaburan yang membabitkan kadar pulangan yang tidak realistik dan tanpa risiko atau berisiko rendah.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 di Johor Bahru telah membincangkan Hukum Skim Cepat Kaya dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
 
Hukum terhadap Skim Cepat Kaya adalah haram kerana ia mengandungi unsur-unsur judi, riba, gharar dan tadlis dan umat Islam dilarang daripada terlibat dengan skim ini.
 Antara ciri-ciri pelaburan cepat kaya antaranya ialah:
 
  1. Seseorang pelabur boleh melabur seberapa banyak wang yang dikehendaki dan pihak pengurus skim akan membayar balik keuntungan mengikut peratus yang ditetapkan. 
  2. Semua pelaburan yang dibuat selalunya dicatatkan dalam buku senarai pelabur dan resit akuan terima wang juga tidak dikeluarkan. Urus niaga skim ini berdasarkan prinsip percaya mempercayai dan tiadasurat perjanjian khusus tentangnya.
  3. Semua pelaburan adalah dibuat dalam bentuk wang tunai.
  4. Pihak pengurus skim juga melantik wakil-wakil dan ajen-ajen di beberapa tempat bagi mendapatkan pelabur-pelabur baru. Setiap wakil    atau ajen mendapat bayaran sagu hati mengikut kadar yang dipersetujui berasaskan jumlah pelaburan yang dipungut.
  5. Pihak pengurus skim tidak terikat untuk membayar balik wang pelabursekiranya pelaburan berkenaan mengalami kerugian.
  6. Skim ini akan terus beroperasi sekiranya pada setiap masa ada pelabur baru yang melabur. Jika tiada, pihak pengurus akan menghadapi masalah untuk membuat pembayaran keuntungan kepada pelabur yang sedia ada. Apabila hal ini terjadi (tiada lagi pelabur baru) maka pelabur yang sedia ada yang baru menyertai skim ini tidak akan mendapat pulangan dan akan kehilangan wang yang telah dilaburkan.
  7. Tiada bukti menunjukkan pihak pengurus skim ini melaburkan wang yang terkumpul ke dalam mana-mana institusi kewangan atau pelaburan saham dalam atau di luar negara.
Bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan Skim Cepat Kaya terdapat beberapa perkara yang wajar diberikan perhatian antaranya:
 
  1. Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesendan peniaga mata wang asing yang di beri kuasa;
  2. Berhati-hatilah dengan pelaburan yang dibuat melalui internet;
  3. Semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkaitan;
  4. Jangan gopoh atau membiarkan diri dipaksa untuk melabur;
  5. Berwaspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis; dan
  6. Jika suatu pelaburan telah dibuat, simpan kesemua dokumen yang  berkaitan dengan pelaburan dan komunikasi dengan selamat.
  7. Jangan terpengaruh dengan sesuatu promosi atau skim yang menawarkan pulangan yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal atau “too good to be true” kerana berkemungkinan besar ia merupakan satu penipuan. 
Sila hantar maklumat lanjut atau aduan anda beserta dengan dokumen berkaitan kepada Bank Negara Malaysia seperti berikut:
 
Unit Penyiasatan Khas     
Bank Negara Malaysia      
Jalan Dato' Onn      
50480 Kuala Lumpur         
Faksimili: 03-26987467     
E-mel: upkinfo@bnm.gov.my
               Tel.: 03-2691 5090 / 2698 4163 / 2691 0824 / 2692 6482 / 2694 2143 
Zakat (3)
 
Zakat pendapatan merupakan perkara yang tidak dinyatakan dengan dalil yang jelas, maka ia bergantung kepada fatwa yang dikeluarkan oleh mufti di negeri masing-masing. Bagi negeri yang memfatwakan zakat pendapatan adalah  tidak wajib, maka tidak menjadi kewajipan kepada penduduk di negeri tersebut untuk mengeluarkannya.
 
 
Pemberian modal perniagaan daripada wang zakat kepada  asnaf-asnaf adalah harus. Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat merupakan kumpulan usahawan asnaf fakir dan miskin yang dikenal pasti mempunyai kemampuan dan keinginan untuk maju serta berdaya saing.  Para usahawan ini diberikan modal oleh pihak institusi zakat dan mereka juga diberi latihan berkaitan sebelum dan semasa menjalankan perniagaan, termasuklah kursus asas keusahawanan, kewangan, pemasaran dan ceramah motivasi.
 
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Professional. Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat  apabila cukup haul dan nisabnya.
 
 
Pelaburan (3)
Sekiranya terdapat elemen janji antara dua pihak (muwa`adah untuk syarikat membeli balik emas pada masa tertentu, maka ia menyalahi syarak, dan menyamai jual beli emas bertempoh yang dilarang syarak. Namun jika syarikat tidak memberikan apa-apa janji untuk membeli balik emas pada tempoh tertentu, maka dari sudut hukum asalnya ia adalah tidak menyalahi syarak.
 
Pemberian hibah yang dilakukan secara sukarela dan tidak membawa kepada unsur riba adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, pemberian hibah akan menjadi riba sekiranya pembelian emas hanya semata-mata hilah bagi menutup pinjaman yang dijamin dipulangkan. Dengan kata lain, sekiranya maksud pembeli ialah menyimpan sejumlah wang dengan syarikat, dan wang tersebut dijamin akan dipulangkan dalam jumlah yang sama, dan mengharapkan faedah dalam bentuk pemberian hibah oleh syarikat, maka dalam kes sebegini, emas adalah semata-mata hilah yang dimasukkan untuk menghalalkan transaksi riba. Kemasukan hillah dalam transaksi jual beli boleh diketahui jika sekiranya kewujudan emas sebagai subjek jual beli adalah tidak dimaksudkan. Sebaliknya yang dimaksudkan ialah penerimaan hibah daripada pelaburan sejumlah wang yang dijamin.
 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah  bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.
 
Hukum melabur dalam bank konvensional adalah haram kerana pelaburan tersebut tidak dibangunkan mengikut konsep pelaburan Islam dan turut melabur di dalam sektor-sektor tidak patuh syariah yang melibatkan perjudian, riba  dan gharar
Perniagaan Multi Level Marketing (MLM) (1)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 25-26 Februari 2006 telah memutuskan bahawa:
 
"Konsep, struktur dan undang-undang perniagaan multi-level marketing (MLM) yang diluluskan oleh Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam".
 
Kriteria MLM yang diharuskan adalah selaras dengan Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (MLM) yang diperakui oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16 hingga 18 Jun 2011. Kriterianya adalah seperti berikut :
 
  1. Syarikat hendaklah melantik Penasihat Syariah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua orang Islam.
  2. Produk MLM hendaklah selaras dengan syarak.
  3. Berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965 dan mempunyai lesen yang sah untuk menjalankan perniagaan jualan langsung di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.
  4. Kontrak jualan langsung secara bertulis yang mengandungi terma dan syarat yang jelas dan hendaklah difahami dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
  5. Tempoh bertenang iaitu tempoh tidak kurang daripada sepuluh hari bekerja dari tarikh penyertaan yang membenarkan seseorang peserta membatalkan atau menarik balik penyertaan dalam perniagaan jualan langsung.
  6. Yuran keahlian pada kadar yang minimum meliputi kos pengurusan dan bahan-bahan bercetak yang dimasukkan dalam suatu kelengkapan jualan yang mengandungi pelan pemasaran dan kod etika syarikat dan bukan pada kadar yang tidak munasabah dan begitu tinggi.
  7. Tujuan menjadi peserta syarikat jualan langsung mestilah jelas dan selaras dengan ketetapan syarak iaitu untuk menikmati keistimewaan dan insentif yang telah ditetapkan.
  8. Akad dalam perniagaan jualan langsung antara syarikat dengan peserta hendaklah ditentukan dengan jelas.
  9. Aktiviti pemasaran (marketing) hendaklah dilakukan secara patuh syariah, tiada elemen paksaan dan desakan, beradab dan tidak mengelirukan (misleading).