Wacana Kewangan Islam Peringkat Negeri Melaka Tahun 2015

 
Melaka, 21hb. Mei, 2015 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan (Seksyen Muamalat) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) telah berjaya menganjurkan program Wacana Kewangan Islam Peringkat Negeri Melaka tahun 2015 bertempat di Auditorium Masjid Al-Azim, Negeri Melaka. Wacana ini telah disertai seramai 650 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, agensi swasta, ahli akademik, jawatankuasa masjid/surau dan orang awam. Wacana ini bertemakan “Pematuhan Syariah Perkukuh Ekonomi Ummah”.
 
Objektif utama Wacana Kewangan Islam Peringkat Negeri Melaka tahun 2015 ini adalah untuk menjelaskan konsep-konsep yang menjadi dasar kepada sistem kewangan dan perbankan Islam serta membetulkan pandangan negatif sebahagian masyarakat terhadap perbankan Islam. Selain daripada itu, wacana ini turut memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan Muamalat Islam dalam menghindari perkara-perkara yang haram dan diragui kehalalannya serta dapat mewujudkan suasana perpaduan dan harmoni segenap lapisan masyarakat melalui amalan perbankan Islam.
 
Majlis perasmian penutup wacana ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Haji Yaakub bin Md. Amin, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mewakili YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir. Haji Idris bin Haji Haron. Antara amanat penting Timbalan Pengerusi MAIM ialah beliau menyarankan supaya pihak masjid memastikan dana-dana masjid hendaklah disimpan di bank-bank yang patuh syariah. Di samping itu, pihak pengurusan masjid digesa memperkasakan sosio ekonomi melalui pelbagai aktiviti. Turut hadir dan memberi ucapan aluan ialah YBhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabudin Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) mewakili Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Tuan Haji Ismail bin Hamad, Pengarah JAIM, Encik Yusry bin Yusof, Pengarah Eksekutif AIBIM dan Encik Azli bin Munani, Ketua Pengarah Eksekutif merangkap setiausaha Eksekutif, MTA.
  
Menerusi wacana ini sebanyak empat (4) kertas kerja telah dibentangkan antaranya Pembentang pertama “Falsafah dan Prinsip Kewangan Islam” yang disampaikan oleh YBhg. Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi (Ketua Jabatan syariah, Bank Muamalat Malaysia Berhad). Pembentang kedua dengan tajuk “Aplikasi dan Produk Kewangan Islam” telah disampaikan oleh YBhg. Ustaz Mohd Faiz bin Ibrahim dari Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). “Peranan Masjid Dalam Pembangunan Ekonomi Ummah” pula dibentangkan oleh YBhg. Dr. Lokman bin Ab. Rahman dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, JAKIM dan juga selaku Ketua Penyelaras Wacana Kewangan Islam sebagai pembentang ketiga. Pembentang keempat dengan tajuk “Takaful : Perlindungan Secara Islam” yang disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Wan Mohd Fadzullah bin Wan Abdullah dari Hong Leong MSIG Takaful.
 
Sepanjang berlangsungnya wacana ini juga, pameran dan khidmat nasihat dari institusi-institusi kewangan Islam turut diadakan di ruang legar Auditorium Masjid Al-Azim, Melaka dengan tujuan untuk memberi ruang kepada para peserta mendapatkan maklumat dan mengenali produk-produk perbankan Islam dan Takaful dengan lebih mendalam dan jelas.
 
Semoga dengan pelaksanaan wacana ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat mengenai sistem kewangan Islam dan diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Sesi pendaftaran peserta Wacana Kewangan Islam peringkat Negeri Melaka tahun 2015
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Para peserta yang hadir dalam menjayakan Wacana Kewangan Islam peringkat Negeri Melaka tahun 2015
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Pembentangan kertas kerja oleh para pembentang yang berkaliber
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Majlis perasmian penutup  disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Haji Yaakub bin Md. Amin, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mewakili YAB. Datuk Seri Ir. Haji Idris bin Haji Haron, Ketua Menteri Melaka