Wacana Kewangan Islam Peringkat Negeri Kedah

WACANA KEWANGAN  ISLAM  KEPADA PEGAWAI DAN KAKITANGAN KERAJAAN DAN AHLI JAWATANKUASA MASJID DAN SURAU PERINGKAT NEGERI KEDAH
 
Penganjuran wacana kewangan Islam telah mula diperkenalkan sejak tahun 2008. Seminar sehari ini merupakan anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah(JHEAIK) serta Institut Tadbir Awam Kampus Wilayah Utara (INTURA). Objektif wacana ini diadakan adalah untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai kebaikan pelaksanaan Sistem Kewangan Islam, konsep asas dan isu-iu terkini sistem Kewangan Islam serta perbezaannya dengan sistem kewangan.
 
Pada tahun ini, penganjuran wacana ini telah berjaya diadakan pada 25 Mei 2014 bertempat di Wisma Darul Aman, Kedah. Tema wacana pada kali ini ialah ”Pematuhan Syariah Perkukuh Ekonomi Ummah”. Seramai 600 orang peserta terdiri dari Pegawai Dan Kakitangan Kerajaan Dan Ahli Jawatankuasa Masjid Dan Surau Peringkat Negeri Kedah telah menyertai wacana ini dan borang soal selidik telah diedarkan kepada peserta bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berkenaan pemahaman terhadap isu yang dibincangkan.
 
Pembentangan kertas kerja wacana ini telah dibuat oleh 2 orang tokoh iaitu YBhg. Ustaz Mohd Hafiz bin Haji Fauzi (Ketua Jabatan Syariah, Bank Muamalat  Malaysia Berhad) dengan dua kertas kerja bertajuk Perbezaan Produk Perbankan Islam dan Konvensional: Satu Analisis Kritikal serta Falsafah & Prinsip Kewangan Islam. Pembentangan yang ketiga dibuat oleh Y.Bhg. Dr. Lokman bin Ab. Rahman ( Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Muamalat & SosioEkonomi, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, JAKIM) dengan kertas kerja bertajuk Masjid: Pusat Pembangunan Ekonomi Ummah
 
Wacana ini telah dirasmikan oleh Y.B Dato’ Haji Mohd Rawi bin Abd. Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Kedah mewakili Y.A.B Menteri Besar Kedah. Turut hadir dan memberi ucapan aluan ialah YBhg. Tuan Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM mewakili Ketua Pengarah JAKIM. Menerusi ucapan yang disampaikan, beliau menegaskan peranan dan penglibatan JAKIM dalam gerak kerja pembangunan ekonomi ummah serta menyokong sistem kewangan Islam yang diamalkan di Malaysia.
 
Berdasarkan kenyataan tersebut, institusi-institusi agama seperti Majlis Agama Islam negeri-negeri serta masjid, surau dan individu-individu perlulah memastikan akaun mereka dipindahkan dari institusi perbankan konvensional dan mendepositkan ke akaun-akaun yang diwujudkan di bawah sistem perbankan Islam.
 
Sesi soal jawab bagi ketiga-tiga pembentangan ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta. Peserta juga dapat mengenali sistem kewangan Islam dengan lebih dekat melalui pameran daripada institusi-institusi perbankan yang bernaung di bawah AIBIM
 
Semoga dengan pelaksanaan wacana ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman para pegawai kerajaan mengenai sistem kewangan Islam dan membantu untuk mengukuhkan lagi sistem kewangan Islam di Malaysia.
 
Pendaftaran peserta yang hadir
 
 
 
 
 
 
Pembentangan kertas kerja oleh tokoh-tokoh berpengalaman
 
 
"Penyampaian cenderahati kepada "Tuan Rumah"
 
VIP sempat beramah mesra dengan hadirin.