Pematuhan Syariah Perkukuh Ekonomi Ummah

 
Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia(MPS) merupakan program tahunan yang telah bermula sejak 2004. Pada kali ini, MPS telah dianjurkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) pada hari Khamis, 19 Jun 2014 di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia
 
Penganjuran muzakarah kali yang ke-10 ini bertemakan  “Pematuhan Syariah Perkukuh Ekonomi Ummah” digagaskan bagi mencapai objektif seperti berikut :
 
a.    Meningkatkan kerjasama dan penyelarasan di peringkat kebangsaan dalam bidang Syariah dan mencapai harmonisasi Syariah dalam sektor kewangan Islam;
 
b.    Membincangkan tajuk-tajuk terpilih berkaitan isu-isu Syariah yang relevan dalam kewangan Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu Syariah tersebut;
 
c.    Mendapatkan cadangan dan pandangan, strategi-strategi berkesan serta pandangan bernas dan realistik sebagai input dalam usaha JAKIM membantu negara untuk muncul sebagai pusat kewangan Islam di peringkat antarabangsa.
 
Muzakarah ini telah dirasmikan oleh Y.B. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Manakala ucaptama Muzakarah disampaikan oleh Datuk Dr. Mohd Daud bin Bakar, Pengerusi Majlis Penasihat  Syariah, Bank Negara Malaysia & Suruhanjaya Sekuriti.
           
Menerusi muzakarah ini, sebanyak 4 kertas kerja dibentangkan dengan fokus untuk mengintegrasikan antara sektor kewangan Islam dan juga industri halal yang sedang giat berkembang di negara ini khususnya dan di peringkat antarabangsa umumnya. Kertas kerja  Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 telah dibentangkan oleh  Pn. Nurul Izza binti Idris dari Jabatan Perbankan Islam dan Takaful, Bank Negara Malaysia. Kertas Kerja Pematuhan Syariah dalam Operasi Syarikat bagi Industri Halal pula di bentangkan oleh Dr. Lokman bin Ab. Rahman dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, JAKIM. Manakala En. Mohd Nazri Bin Chik (Penolong Pengurus Besar BIMB) membentangkan kertas kerja dengan tajuk Peranan Kewangan Islam dalam Memajukan Ekonomi Ummah dan kertas kerja Peranan Kewangan Islam dalam Industri Halal disampaikan oleh Dr. Syahida binti Abdullah dari Akademi Kajian Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA).
 
Dalam MPS pada kali ini, seramai 170 peserta telah hadir sepanjang muzakarah ini yang terdiri daripada Ahli Panel Penasihat Syariah dan Eksekutif Syariah mewakili Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), ahli akademik dan agensi-agensi yang berkaitan. Muzakarah diakhiri dengan bacaan resolusi yang disampaikan oleh YBhg. Tuan Haji Mohamad bin Saari, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, JAKIM.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
  
 
  
 
  
 
  
 
 
 
 
 
Disediakan oleh:
 
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia