Logo halal Jakim, MAIN beri keyakinan pengguna

Tarikh Disiarkan: 
6 Jan, 2012
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
 
http://www.utusan.com.my/pix/2012/0106/Utusan_Malaysia/Dalam_Negeri/dn_16.1.jpg
JAMIL Khir Baharom (dua, kiri) merasmikan majlis pelancaran Kempen Kesedaran Halal APD 2011 di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

 
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Pengusaha produk makanan dan perkhidmatan dinasihatkan mendapatkan logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis agama Islam negeri-negeri (MAIN) sahaja bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk mereka.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, menerusi Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang telah diluluskan Parlimen, hanya logo halal daripada Jakim serta MAIN diterima pakai, manakala logo halal keluaran pihak lain tidak sah.
 
Katanya, pihak industri diberi tempoh selama setahun sehingga 31 Disember 2012 untuk beralih kepada logo halal yang dikeluarkan Jakim dan MAIN.
 
"Pengeluaran logo halal daripada Jakim dan MAIN amat signifikan kerana ia bukan bermatlamat keuntungan seperti pihak swasta sebelum ini.
 
"Akta yang baru ini memberi kerajaan kekuatan dari segi penguatkuasaan dan seramai 62 orang pegawai Jakim telah dilatih untuk menguatkuasakan dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Halal APD 2011 di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.
 
Menurut Jamil, Jakim memiliki kelengkapan makmal dan kaedah saintifik untuk mengesahkan produk halal dan jumlah penguat kuasa juga akan ditambah dari semasa ke semasa bagi mempergiatkan penguatkuasaan.
 
"Kalau syarikat-syarikat makanan atau farmaseutikal masih lagi menggunakan logo yang tidak diiktiraf, saya berharap mereka akan segera tukar kerana logo halal Jakim ini memberi nilai tambah kepada produk mereka," katanya.
 
Jelasnya, beliau yakin kempen tersebut akan mendapat sambutan daripada syarikat-syarikat swasta kerana sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,679 permohonan logo halal diterima oleh Jakim.
 
Katanya lagi, urusan peralihan kepada logo halal Jakim itu bukan bebanan kepada pihak industri kerana pihak Jakim dan MAIN akan membantu memudah cara proses tersebut.
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 6hb Januari 2012