Kajian, analisis saham amat penting

Tarikh Disiarkan: 
15 Jun, 2016
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
Oleh: Zuraida Zakaria
 
Pernahkah anda terlintas atau mengetahui tentang ‘petua’ saham (atau dalam Bahasa Inggeris disebut tips) yang tidak pasti kesahihan dan sumber-nya tetapi digembar-gemburkan kepada orang ramai yang inginkan jalan pintas untuk meraih keuntungan di pasaran saham Bursa Malaysia?
 
Kegiatan memukul canang atau menggembar-gemburkan petua saham yang kononnya dapat memberikan keuntu-ngan segera lagi lumayan bukan sesuatu yang baharu. Ia semakin popular dengan adanya aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram selain media sosial Facebook. Ada yang memberikan secara percuma dan ada yang dikenakan yuran langganan bulanan.
 
Pelabur saham lebih-lebih lagi pedagang saham yang aktif dan kurang pengetahuan asas-asas analisis teknikal serta fundamental akan cenderung untuk mengikuti saranan petua saham ini.
 
Para pengikut yang melihat pergerakan harga saham naik daripada senarai saham yang diberikan akan mula membeli saham-saham tersebut. Petua demi petua diberikan secara percuma yang disiarkan di laman sosial Facebook atau dihantar menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram.
 
Selepas para pengikut atau follower menjadi yakin dan percaya ke atas beberapa petua saham yang ‘menjadi’, caj bulanan akan diuar-uarkan dan sebagai permulaan yuran bulanan dikenakan agak minimum.
 
Maka, dengan kemasukan ahli-ahli atau follower ke dalam kumpulan petua berbayar ini, petua-petua saham akan diberikan secara aktif hampir setiap hari.
Sama ada pengikut tersebut untung atau rugi mengikuti petua saham yang diberikan, ia merupakan tanggungjawab sendiri dan tiada pihak yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya petua saham tersebut tidak ‘menjadi’.
 
Latar belakang si pemberi petua saham ini boleh diketahui dan ada juga yang tidak diketahui kerana menggunakan nama samaran selain tiada profail dan latar belakang. Si pemberi petua saham sukar dikenakan tindakan undang-undang jika disabit kesalahan insider trading atau ‘perdagangan orang dalam’.
 
Petua saham yang diberikan itu juga berpotensi tidak menjadi disebabkan pergerakan pasaran saham merupakan satu pergerakan turun dan naik dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Banyak sebab dan alasan tentang penyebaran petua saham ini.
 
Ada yang mendakwa kononnya ingin berkongsi maklumat atau rezeki dalam kalangan ahli. Tetapi tidak dinafikan pendapatan daripada penyebaran petua saham ini lebih-lebih lagi dengan mengenakan bayaran bulanan boleh dikatakan agak lumayan walaupun ahli yang mengikuti saranan senarai saham-saham berpotensi naik tidak dijanjikan 100 peratus ketepatan dan semua risiko ditanggung sendiri.
 
Bagi mereka yang meraih keuntungan secara mengikuti saranan petua-petua saham sememangnya merasakan yuran bulanan yang dikenakan itu merupakan satu jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan keuntungan yang diperoleh daripada petua saham yang diberikan.
 
Tetapi bila para pengikut mengalami kerugian saham, saya percaya ia bukan satu kerugian yang sedikit malah boleh menjadi satu kerugian yang besar jika pengikut membeli saham di dalam kuantiti yang besar.
 
Saya pernah diberitahu oleh seorang rakan Facebook yang telah mengalami kerugian di atas kertas sebanyak RM20,000 kerana mengikuti petua jalanan ini. Beliau telah membeli saham tersebut berpandukan petua diberikan yang kononnya berpotensi naik, tetapi akhirnya saham tersebut telah digantung daripada urus niaga dan diberikan status PN17.
 
Pelabur baharu dinasihatkan untuk mempunyai pengetahuan tentang asas-asas pelaburan saham, analisis fundamental serta teknikal serta membuat kajian saham.
 
Jangan terus membeli sesuatu saham yang didengar tanpa membuat analisis dan kajian terlebih dahulu kerana kebiasaan-nya pihak yang memberikan petua saham ini awal-awal lagi telah menyatakan tidak akan bertanggungjawab jika keadaan berlaku sebaliknya.
 
Pelabur dan pedagang saham juga boleh meminta nasihat dan pandangan daripada individu yang layak dan diiktiraf seperti penganalisis pasaran serta meru-
juk maklumat saham yang diberikan itu kepada pihak broker saham.
 
Selalulah berbincang bersama rakan-rakan saham atau remisier dan dealer. Pelabur yang bijak dan matang akan berfikir terlebih dahulu bahawa untuk menjadi kaya tiada jalan pintas. Bukan sahaja di dalam bidang saham tetapi di dalam apa bidang sekalipun.
 
PEMBACA boleh menghubungi talian 03-27102388 atau emel pmlink2u@pmsecurities.com.my atau mengikuti Facebook Cikgu Saham.
 
* Artikel ini dipetik secara langsung dari Akhbar Utusan Malaysia Online, yang disiarkan pada 15hb. Jun, 2016