Kaji sistem pinjaman perumahan Islam

Tarikh Disiarkan: 
20 Jun, 2016
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
Oleh: Siti Norhawa binti Mohd Ali
 
  Nadzim Johan
 
KUALA LUMPUR 17 Jun - Bank Negara dan Majlis Fatwa Kebangsaan digesa untuk mengkaji semula sistem pinjaman perumahan Islam yang ditawarkan oleh institusi perbankan kepada orang ramai.
 
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana pinjaman perumahan yang sepatutnya meringankan beban itu dilihat lebih ‘zalim’ daripada sistem konvensional kerana peminjam lebih berisiko untuk jatuh muflis.
 
“Jangan berselindung di sebalik nama ‘Islam’ jika anda sebenarnya mempunyai agenda licik untuk merampas harta orang Islam yang bermasalah bagi membuat bayaran balik pinjaman.
 
“Bank Negara perlu mengkaji semula adakah pinjaman Islam ini dimanipulasi dan sudah tidak mengikut terma-terma perbankan syariah Islam, malah membebankan peminjam,” katanya dalam program bertajuk Gerakan Kuasa Pengguna di stesen televisyen Astro semalam.
 
Isu itu diutarakan ekoran sema­kin banyak bank konvensional yang menawarkan sistem perbankan Islam tetapi dilihat semata-mata untuk menarik pe­langgan menggunakan nama Islam namun hak pengguna tidak dibela mengikut terma syarat Islam.
 
Jelas Nadzim, sesetengah bank mengambil kesempatan daripada tuntutan akad yang dibuat.
 
“Contohnya terdapat satu kes yang mana projek rumah tersebut terbengkalai. Sistem perbankan Islam mengenakan kadar muflis sebanyak RM175,000 sedangkan sistem konvensional mengenakan kadar muflis sebanyak RM65,000.
 
“Peminjam terpaksa membayar balik walaupun projek rumah terbengkalai, pemaju lari, rumah tidak siap dan sebagainya berdasarkan akad yang dibuat. Akhirnya pengguna yang menjadi mangsa sekiranya gagal membayar sejumlah wang yang dituntut,” katanya.
 
Tambah Nadzim, bakal pemin­jam baharu yang ingin memilih pinjaman perumahan Islam di institusi perbankan komersial harus meneliti surat perjanjian sebelum menandatanganinya.
 
“Ada beberapa perkara yang kita tidak nampak atau tidak diberitahu secara jelas tentang peraturan-peraturan yang ditulis yang kemudiannya akan menjadikan peminjam muflis ‘dengan mudah’.
 
“Secara sedar atau tidak sedar, pinjaman itu boleh mengakibatkan peminjam kehilangan harta yang dimiliki walaupun harta tersebut mempunyai nilai lebih tinggi daripada jumlah pinjaman jika diban­dingkan dengan pinjaman secara konvensional,” katanya.
 
* Artikel ini dipetik secara langsung dari Akhabr Utusan Malaysia Online, yang disiarkan pada 18hb. Jun, 2016