Dosa tidak berzakat

Tarikh Disiarkan: 
25 Jan, 2012
Sumber: 
Utusan Malaysia Online

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
 
http://www.utusan.com.my/pix/2012/0125/Utusan_Malaysia/Bicara_Agama/ba_02.1.jpg
Pembayar zakat bukan sahaja menunaikan rukun Islam keempat tetapi juga membersihkan harta daripada hak orang lain.- Gambar hiasan

 
Hati mana yang tidak sedih melihat paparan di media berkenaan kemiskinan dan kemelaratan yang berlaku dalam masyarakat. Dalam dunia moden hari ini, masih lagi terdapat orang yang tinggal dalam kotak, menginap bawah jambatan, dalam kandang haiwan dan sebagainya.
 
Diberitakan juga kisah-kisah pesakit kronik yang terlantar tanpa bantuan, orang kelainan upaya dan kanak-kanak terbiar tanpa perlindungan. Demikianlah episod-episod sedih dalam sebuah kehidupan di alam realiti.
 
Bagi membendung masalah kemiskinan dan kemelaratan hidup, Islam telah mendatangkan penyelesaian yang sangat tepat dan berkesan. Islam telah menjadikan zakat sebagai kewajipan kepada umat sehingga ia termasuk dari rukun Islam.
 
Zakat adalah ketetapan Ilahi. Ini bererti, tidak sempurna keislaman seseorang itu apabila enggan mengeluarkan zakat setelah cukup syarat-syaratnya.
 
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Islam dibina atas lima: Bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan dan haji ke baitullah bagi sesiapa yang mampu mengunjunginya. (riwayat Muslim)
 
Sebab itu, Abu Bakar As-Siddiq r.a telah mengisytiharkan perang kepada golongan yang enggan membayar zakat walaupun mereka menunaikan kewajipan yang lain seperti solat.
 
Walaupun tindakan Abu Bakar untuk memerangi mereka itu tidak dipersetujui oleh para sahabat di peringkat awal, tetapi akhirnya mereka bersetuju secara ijmak setelah diberikan penjelasan oleh Abu Bakar.
 
Allah SWT sering menggandingkan kewajipan mengeluarkan zakat bersama dengan perintah mendirikan solat.
 
Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Dan dirikan solat, serta tunaikan pembayaran zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk. (al-Baqarah: 34)
 
Islam telah mengajar kita cara berekonomi dan penggemblengan modal menerusi pengumpulan dana sama ada yang bersifat sukarela (derma dan wakaf) atau wajib (berzakat). Sehingga Allah menjanjikan ganjaran yang amat besar sekali kepada mereka yang melakukannya dan azab yang amat dahsyat kepada yang mengingkarinya.
 
Ia sebagaimana firman-Nya menegaskan: Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu, sebab itu akan Aku sediakan bagi mereka yang bertaqwa, mereka yang mengeluarkan zakat dan mereka yang beriman dengan keterangan-keterangan Kami (Allah). (al-A'raf: 156)
 
Walaupun kutipan zakat melalui pusat-pusat zakat semakin bertambah dari tahun ke tahun, namun ia masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan.
 
Jumlah zakat dilihat tidak seimbang dengan bilangan masyarakat Islam yang berkemampuan di negara kita. Ini menunjukkan kesedaran tentang pembayaran zakat perlu diperluaskan dan diperhebatkan lagi untuk memberikan kefahaman dan untuk memurnikan salah faham tentang zakat.
 
Sebagai contoh, terdapat golongan yang beranggapan bahawa zakat yang diwajibkan hanyalah zakat fitrah yang ditunaikan pada bulan Ramadan.
 
Sedangkan banyak lagi jenis-jenis zakat yang difardukan kepada mereka yang telah memenuhi syarat-syaratnya seperti zakat pendapatan, simpanan, perniagaan, tanaman, haiwan ternakan, galian, emas dan perak.
 
Orang yang tidak mengeluarkan zakat sedangkan mempunyai kemampuan yang cukup akan dikenakan seksaan yang amat pedih di akhirat kelak.
 
Penderitaan tersebut dikenakan kepada mereka disebabkan sikap pentingkan diri sendiri yang ada dalam diri sehingga sanggup untuk melihat kemiskinan terhampar di hadapan matanya, padahal mereka mempunyai kemampuan dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (al-Taubah: 34-35)
 
Begitu juga dengan ancaman berat yang diberikan oleh Nabi SAW terhadap mereka yang enggan mengeluarkan zakat. Hadis nabi SAW yang bermaksud: Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50,000 tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hamba-Nya. (riwayat Muslim)
 
Zakat agih kekayaan
 
Zakat dengan konsepnya yang tersendiri mampu mengatasi masalah pengagihan kekayaan dalam masyarakat. Lapan asnaf yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam ayat di atas adalah segmen-segmen penting dalam masyarakat untuk diprioritikan bantuan kepada mereka.
 
Mereka adalah golongan yang perlu diberi perhatian sebagai sebagai sebuah komponen yang unik dalam masyarakat.
 
Zakat juga penting bagi tujuan pembinaan ekonomi negara. Ini adalah kerana, zakat dapat menjadi sumber kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan modal.
 
Modal ini boleh digunakan sebagai permulaan untuk perniagaan bagi menjana pendapatan. Pusat Zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri menyediakan pula khidmat nasihat dan pemantauan terhadap operasi perniagaan mereka dari masa ke semasa.
 
Apabila mereka sudah mencapai tahap yang memuaskan dalam perniagaan yang dijalankan, maka tibalah giliran mereka pula untuk mengeluarkan zakat bagi membantu asnaf-asnaf lain.
 
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat di kalangan golongan asnaf yang tidak mampu untuk bekerja kerana penyakit kronik atau kecacatan anggota badan.
 
Justeru, zakat yang dikumpulkan akan digunakan bagi menyara kehidupan mereka termasuklah makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan kos perubatan.
 
Kesimpulannya, zakat adalah penting sebagai sumber perekonomian masyarakat Islam. Ia bukan sahaja dapat membantu golongan yang tidak bernasib baik, bahkan ia juga dapat merancakkan kegiatan dan pertumbuhan ekonomi umat Islam.
 
Apa yang berbaki adalah, sama ada kita yakin atau tidak.
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 25 Januari 2012.