Bendung kenaikan hutang isi rumah

Tarikh Disiarkan: 
15 Jun, 2016
Sumber: 
Utusan Malaysia Online
Oleh: Kamaruddin Mohd Nor
 
PERANGKAAN yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kadar hutang isi rumah meningkat kepada 89.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 berbanding 86.8 peratus pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini meletakkan Malaysia dalam kelompok negara di Asia yang mempunyai kadar hutang isi rumah yang tinggi.
 
Pertumbuhan pendapatan isi rumah yang agak lemah serta kenaikan harga yang tidak selari adalah antara faktor yang turut menyumbang kepada isu ini. Fenomena ini mendorong masyarakat khususnya yang berpendapatan rendah terpaksa menanggung bebanan hutang yang agak tinggi.
 
Kecenderungan masyarakat terutamanya golongan muda dalam berbelanja dan berhutang melebihi pendapatan turut menyumbang kepada kenaikan hutang isi rumah secara keseluruhan. Peningkatan kes muflis kebelakangan ini juga adalah petanda awal tentang tahap permasalahan berkaitan isu ini.
 
Kenaikan harga rumah serta kekurangan penawaran rumah dalam kategori rumah mampu milik turut menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah sejak beberapa tahun lalu. Faktor ini mendorong pembeli memperuntukkan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk melunaskan bayaran ansuran perumahan.
 
Akibatnya, pendapatan boleh guna menjadi berkurangan dan mendorong sebahagian mereka mendapatkan pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit untuk membiayai perbelanjaan bulanan sekali gus menyebabkan kadar hutang isi rumah meningkat.
 
Fenomena peningkatan hutang isi rumah juga terdedah kepada pergerakan semasa kadar faedah pinjaman di pasaran. Risiko kenaikan kadar faedah akan secara langsung meningkatkan kos hutang dan seterus­nya mengurangkan pendapatan boleh guna.
 
Keadaan ini boleh menjejaskan kadar penggunaan semasa dan masa depan serta memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara.
 
Bagi golongan yang cenderung untuk melabur, mereka seharus­nya memastikan kedudukan kewangan mereka stabil sebelum membuat sebarang keputusan berhubung sebarang pelaburan. Ini adalah kerana pelaburan adalah satu kegiatan yang berisiko dan mempunyai kebarangkalian menyebabkan kerugian.
 
Dana untuk pelaburan sepatutnya datang dari sumber lebihan daripada pendapatan boleh guna. Sekiranya orang ramai memilih untuk meminjam bagi membiayai pelaburan, mereka perlu meneliti dan memahami risiko yang dihadapi.
 
Kadar pulangan pelaburan seperti dividen dan keuntungan lazimnya tidak menentu malah, mungkin lebih rendah daripada kadar faedah yang perlu dibayar untuk pinjaman tersebut.
 
Membuat pelaburan dengan menggunakan duit pinjaman adalah sesuatu yang berisiko tinggi dan sepatutnya hanya dilakukan untuk pelaburan yang tidak ada kemungkinan berlaku kerugian.
 
Apa yang lebih penting, pelabur haruslah berwaspada terhadap pelaburan yang mereka sertai dan jangan mudah tertipu dengan skim cepat kaya yang berselindung di sebalik pelbagai topeng termasuk pelaburan mata wang, emas, Bitcoin serta perniagaan hotel. Skim-skim seperti ini menjanjikan pulangan yang tinggi kepada golongan pelabur iaitu antara 10 hingga 30 peratus sebulan.
 
Walau bagaimanapun, pulangan yang dijanjikan tersebut hakikatnya bukanlah hasil daripada sebarang aktiviti perniagaan atau pelaburan seperti yang digembar-gemburkan. Sebaliknya, ia adalah dana yang dijana daripada ­pe­nyertaan pelabur baharu.
 
Apabila skim cepat kaya terbabit diambil tindakan oleh pihak berkuasa, sudah tentu pelabur tidak akan menerima sebarang pulangan langsung. Lebih memburukkan keadaan, mereka yang meminjam untuk membiayai pelaburan skim cepat kaya akan terbeban kerana terpaksa mencari sumber kewangan lain untuk melunaskan hutang.
 
Justeru, kesedaran dan pendidikan kewangan boleh diterapkan dalam pelbagai aspek seperti perancangan kewangan yang baik serta keperluan dalam membuat penilaian dan keputusan untuk berhutang.
 
Individu yang celik kewangan berupaya mengelakkan masalah hutang tidak berbayar serta muflis. Masyarakat juga perlu diberi pemahaman bahawa tujuan meminjam adalah bagi me­menuhi keperluan dan bukannya untuk bermewah-mewah.
 
Agensi yang terlibat seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) perlu mempergiatkan lagi usaha membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan kewangan yang baik di samping memberi bimbingan tentang cara mengurus kewangan isi rumah secara berhemat.
 
Pendidikan kewangan seharusnya diterapkan pada awal usia dan dimulakan di rumah. Tabiat pengurusan kewangan yang baik harus dipupuk supaya menjadi satu budaya dalam masyarakat. Ibu bapa sewajarnya menunjukkan teladan yang baik dan memainkan peranan ­penting dalam memupuk tabiat menabung dalam diri anak-anak.
 
PENULIS ialah Ketua Ekonomi, MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
 
* Artikel ini dipetik secara langsung dari Akhbar Utusan Malaysia Online, yang disiarkan pada 15hb. Jun, 2016